Bay al-Inah

muamalat

Dr. Azizi Abu Bakar

Definisi Bay al-Inah

Perkataan al-Bay secara literalnya bermaksud pertukaran sesuatu barangan dengan sesuatu barangan yang lain. Ia merupakan perkataan yang berlawanan dengan perkataan al-Syira atau pembelian. Walau bagaimanapun perkataan al-Bay turut digunakan untuk membawa maksud al-Syira. Al-Bay dari segi syara dihuraikan sebagai pertukaran harta dengan harta yang lain melalui prosedur tertentu atau proses pertukaran sesuatu barangan yang disukai dengan sesuatu yang setimpal dengan cara tertentu yang sempurna.

Berdasarkan takrifan ini dapat disimpulkan al-Bay sebagai satu kontrak penukaran harta dengan harta melalui prosedur tertentu iaitu yang mengandungi penawaran dan penerimaan (ijab dan qabul) yang melibatkan pemberian dan penerimaan milik serta mendapat persetujuan daripada kedua belah pihak. Sementara al-Inah diambil daripada perkataan al-Ain yang bermaksud al-Naqd iaitu wang tunai. Bay al-Inah telah didefinisikan dalam belbagai definisi oleh para Sarjana Islam. Namun antara takrifan yang mashyur mengenai Bay al-Inah ialah satu keadaan dimana seseorang yang berkehendakkan wang tunai datang kepada seseorang yang lain untuk memohon pinjaman. Pihak pemiutang (al-Muqrid) enggan memberikan pinjaman kecuali beliau akan mendapat keuntungan daripada pinjaman itu dan dalam masa yang sama beliau menyedari keuntungan itu akan menyebabkan kepada berlakunya riba yang jelas diharamkan oleh Islam.

Sehubungan itu dalam usaha untuk mengelak daripada berlaku proses pinjaman wang berfaedah yang ternyata haram disisi Islam, pemiutang bertindak sebagai penjual dengan menjual serta mewujudkan sesuatu barangan kepada penghutang dengan harga tertentu secara kredit. Selepas berlakunya proses penyerahan, penjual (pemiutang) membeli semula barangan yang telah dijualnya atau pembeli menjual kembali barangan tersebut kepada penjual asal secara tunai dengan harga yang lebih rendah. Oleh itu, transaksi ini mengandungi dua kontrak jual beli dimana setiap kontrak mempunyai harganya yang tersendiri.

Natijah dari transaksi ini penjual asal atau pemiutang dalam konteks sebenar akan mendapat faedah berdasarkan perbezaan harga kredit dan harga tunai. Transaksi ini diistilahkan sebagai al-Inah kerana pemiutang telah melakukan hilah dengan berpindah daripada kontrak pinjaman kepada kontrak jual beli barangan bagi mengelak riba.

Sehubungan itu, Wahbah al-Zuhaily (1989) menjelaskan hilah ini bermaksud jalan keluar daripada kesulitan. Contohnya seperti seseorang itu mencuri menggunakan tongkatnya lalu tidak mencuri kerana berhilahkan tongkatnya yang mencuri. Hilah merupakan suatu sistem yang negatif, namun dari segi istilah dan secara ilmiyyah ianya merupakan satu mekanisme yang boleh digunakan untuk tujuan yang betul mahupun untuk tujuan yang salah. Dari segi sejarah, amalan hilah ini tidak pernah berlaku dalam zaman Rasulullah s.a.w., pada zaman Para Sahabat serta sebahagian besar zaman tabi’in. Malah Rasulullah sendiri melarang keras penggunaan hilah dalam kehidupan.

Menurut Ibn. Rusyd (1988), salah satu daripada kontrak yang kontroversi dalam kalangan Sarjana Islam Klasik dan moden kerana dikatakan termasuk dalam hilah yang buruk ialah kontrak Bay al-Inah. Bay al-Inah ini dikatakan jenis hilah yang paling kerap berlaku dalam permasalahan muamalat maliyyah berbanding dengan perkara atau kontrak yang lain. Tiada satu definisi dalam bentuk frasa yang konkrit menjelaskan mengenai kontrak Bay al-Inah ini. Ia ditakrifkan sebagai seseorang menjual milikannya dengan harga tertangguh kemudiannya membelinya semula dalam majlis yang sama dengan harga tunai yang berbeza kadarnya untuk mengelakkan daripada berlakunya riba.

Dalam menjelaskan lagi beberapa istilah dalam bidang muamalat, Ibn. al-Qayyim (t.t) menjelaskan hubungkait antara Bay al-Inah, al-Tawarruq dan Muhallil alRiba. Al-Tawarruq ialah seseorang membeli sesuatu barangan daripada penjual dengan harga RM 1 000 secara tangguh dan kemudiannya menjual kembali barangan yang dibelinya kepada orang lain (bukan penjual asal) dengan harga RM 900 tunai. Sehubungan itu, beliau akan memperolehi RM 900 yang dikehendakinya dengan segera dan dalam masa yang sama beliau kekal menjadi penghutang kepada penjual asal sebanyak RM 1 000. Perbezaannya dengan Bay al-Inah ialah barangan tersebut dijual semula oleh pembeli kepada penjual asal.

Sekiranya barangan dijual kembali kepada penjual asal dinamakan Bay al-Inah, sementara sekiranya barangan tersebut dijual kepada pihak ketiga dinamakan al-Tawarruq. Maka Muhallil al-Riba difahami apabila pihak ketiga menjual kembali barangan tersebut kepada penjual pertama. Kontrak ini menyerupai Muhallil al-Nikah.

Hukum Bay al-Inah Menurut Perspektif Hukum Muamalat Islam

Bay al-Inah sebagaimana yang dinyatakan ialah seseorang menjual asetnya dengan harga bertangguh, kemudian membelinya semula dengan harga yang lebih tinggi bagi tempoh jual beli yang lebih lama. Secara umumnya Para Sarjana Islam bersepakat Bay al-Inah tidak diharuskan sekiranya penjualan kedua disyaratkan dalam kontrak penjualan pertama dan begitu juga sekiranya kedua-dua pihak yang berkontrak melahirkan secara jelas motif untuk melakukan hilah ribawiyyah melalui perantaraan jual beli.

Sehubungan itu Para Sarjana berselisih pendapat dalam menentukan hukum Bay al-Inah sekiranya kontrak kedua tidak disyaratkan dalam kontrak pertama dan tidak terdapat motif yang jelas bahawa kedua-dua pihak melakukan hilah untuk melakukan hilah ribawiyyah. Secara umumnya terdapat dua pandangan fuqaha yang akan dihuraikan.

Pandangan pertama yang menyatakan kontrak Bay al-Inah ini batil dan fasid walaupun secara zahirnya kedua-dua kontrak tersebut sempurna rukun dan syarat jual belinya. Pandangan ini didokongi oleh Jumhur Fuqaha (majoriti fuqaha) yang terdiri daripada Hanafiyyah, Malikiyyah dan Hanabilah. Di kalangan Para Sahabat, antara yang berpendapat sedemikian ialah Saidatina Aishah, Ibn. Abbas dan Anas Ibn. Malik. Manakala di kalangan Tabi’in pendapat ini disokong oleh al-Hassan, Ibn. Sirin, Sya’bi dan Nakhai’e.

Sementara pandangan kedua yang terdiri daripada fuqaha Malikiyyah dan fuqaha al-Syafii’yyah yang berpendapat kontrak Bay al-Inah adalah sah dan diharuskan sekiranya mencukupi rukun dan syarat jual beli tetapi hukumnya bertukar menjadi makruh sekiranya disertai niat fasid. Selain daripada fuqaha Malikiyyah dan fuqaha al-Syafii’yyah, pandangan ini turut disokong oleh sebahagian fuqaha Hanafiyyah seperti Abu Yusoff dan Muhammad Hassan al-Syaibani.

Pihak pertama yang berpendapat kontrak Bay al-Inah adalah haram berhujahkan dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w yang memberi amaran keras (taghliz) terhadap muamalah Bay al-Inah.

إِذَا تَبَايَعْتُمْ بِالْعِينَةِ ، وَأَخَذْتُمْ أَذْنَابَ الْبَقَرِ ، وَرَضِيتُمْ بِالزَّرْعِ ، وَتَرَكْتُمْ الْجِهَادَ ، سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ ذُلًّا لَا يَنْزِعُهُ حَتَّى تَرْجِعُوا إِلَى دِينِكُمْ

Maksudnya : “Sekiranya manusia tamak dengan dinar dan dirham dan berjual beli dengan Inah serta mereka mengikuti ekor-ekor lembu di samping meninggalkan jihad pada jalan Allah. Maka Allah akan menurunkan ke atas mereka bala dan Allah tidak akan mengangkatnya sehinggalah mereka kembali ke jalan Allah”.

Al-Syatibi (1996) turut menjelaskan bahawa pengharaman Bay al-Inah ini juga berdasarkan kaedah Sad al-Dhara’i yang berasakan tiga alasan iaitu :-

1. Kontrak Bay al-Inah secara kebiasaannya membawa kepada menghalalkan riba. Ini kerana majoritinya pihak yang berkontrak itu mempunyai niat untuk memperolehi riba;

2. Kontradiksi (kaedah Usul Fiqh) antara dua prinsip utama iaitu jual beli yang pada asalnya diharuskan dan prinsip memelihara manusia dari kemudharatan. Apabila timbulnya pertentangan antara dua prinsip ini, Islam lebih mengutamakan prinsip kedua iaitu memelihara manusia dari kemudharatan (daf’u al-mudarrat muqaddam jalb manfa’ah);

3. Terdapat banyak nas yang mengharamkan sesuatu perkara walaupun pada asalnya diizinkan sebab ianya selalu menimbulkan keburukan walaupun secara tidak pasti. Contohnya larangan terhadap wanita bermusafir tanpa muhramnya.

Sehubungan itu, pengharaman Bay al-Inah ini adalah berdasarkan bentuk transaksi jual beli tersebut dianggap membawa kepada kontrak pinjaman secara riba yang memberi manafaat kepada pihak penjual pertama ataupun diistilahkan sebagai pemiutang dalam konteks yang sebenarnya. Perkara ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w : Maksudnya :

كل قرض جر نفعاً فهو ربا

“Setiap hutang yang membawa manfaat material kepada pemiutang adalah riba”.

Sementara pihak kedua yang berpendapat Bay al-Inah ini adalah harus bersandarkan kepada dalil-dalil daripada al-Quran, al-Sunnah dan Qiyas.

وَاَحَلَّ اللّٰهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبٰواۗ 

Maksudnya : “Dan Allah telah menghalalkan jual beli serta mengharamkan riba”.

Wajah istidlal bagi ayat di atas ialah Bay al-Inah dikategorikan sebagai jual beli yang dihalalkan dan bukannya riba berdasarkan kehendak umum ayat ini. Sehubungan itu, golongan ini telah berpegang kepada zahir nas / ayat dengan melihat sesuatu kontrak itu secara zahirnya mencukupi rukun dan ayatnya. Golongan ini juga turut menqiyaskan Bay al-Inah dengan penjualan senjata kepada pemberontak (qati al-tariq) dan menjual anggur kepada pembuat arak berdasarkan persamaan illah yang wujud antara keduanya. Illah yang dimaksudkan ialah apabila sesuatu kontrak itu mencukupi rukun dan syaratnya, maka ianya tidak dikira fasid.

Di samping itu, mereka juga berpendapat bahawa keburukan yang timbul dalam Bay al-Inah adalah lebih ringan berbanding dengan keburukan yang lahir daripada penjualan senjata dan buah anggur. Ini disebabkan implikasi penjualan senjata boleh memudaratkan nyawa dan harta orang ramai, manakala implikasi penjualan anggur memberi kesan kepada hilang akal. Sebaliknya implikasi Bay al-Inah hanya memberi kesan dari sudut kehartaan sahaja.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *