Pengertian Ilmu Tajwid
Dari segi bahasa tajwid bermaksud mengelokkan. Dari segi istilah pula tajwid bermaksud suatu ilmu untuk mengetahui cara melafazkan huruf-huruf Al-Quran dengan betul.
Sesetengah ulama mentakrifkan Tajwid sebagai menunaikan hak huruf dan apa yang sepatutnya bagi sesuatu huruf Al-Quran, seperti menunaikan apa yang sepatutnya bagi makhraj sesuatu huruf, sifat-sifatnya, dengungnya, panjangnya, tebal atau tipisnya sebutan sesuatu huruf dan lain-lain hal yang bersabit dengan ilmu Tajwid.
Hukum Ilmu Tajwid
Mempelajari ilmu Tajwid adalah fardu kifayah. Mempraktikkannya dalam bacaan pula adalah fardu ain.
Satu perkara yang telah disepakati oleh para ulama dari kalangan salaf dan khalaf ialah, mengamal dan mempraktikkan ilmu tajwid dalam pembacaan al-Quran adalah wajib, iaitu fardu ain ke atas setiap muslim sama ada lelaki atau perempuan.
Walaubagaimanapun tiada suatu ilmu pun yang mungkin dapat diperolehi kecuali dengan mempelajarinya. Pembacaan al-Quran yang betul tidak mungkin dapat diketahui, apatah lagi dikuasai kecuali dengan jalan mempelajarinya.
Begitulah dengan ilmu Tajwid, walaupun pada dasarnya mempelajari ilmu tajwid itu hanyalah fardu kifayah hukumnya, tetapi kerana tuntutan membaca al-Quran dengan tajwid yang betul itu adalah fardu ain bagi setiap pembaca al-Quran, maka mempelajarinya ilmu tajwid yang pada asalnya adalah sunnat telah menjadi wajib kerana tuntutan tersebut.
Faedah Mempelajarinya
Ilmu Tajwid adalah ilmu yang berhubung terus dengan seagung-agung kitab, iaitu al-Quran. Justeru tidah dapat dinafikan lagi tentang faedah mempelajarinya.
Antaranya adalah seperti berikut:
- Memelihara daripada kesalahan-kesalahan dalam membaca Al-Quran. Dengan mempelajari ilmu Tajwid, seseorang itu akan terpelihara daripada melakukan kesalahan-kesalahan yang merosakkan bacaan.
Kesalahan dalam bacaan itu dapat dibahagikan kepada dua:
Kesalahan Nyata: اللحن الجلي
Kesalahan nyata bermaksud kesalahan yang dilakukan pada struktur perkataan, sama ada kesalahan itu mencacatkan makna perkataan atau tidak.
Ia berlaku apabila terdapat kesalahan pada sebutan huruf atau perubahan pada tanda baris, sama ada membawa kepada perubahan makna atau tidak. Kesalahan ini dihukumkan haram dan berdosa. Jika kesalahan ini berlaku dalam bacaan solat, maka tidak sah atau tidak sempurnalah solat tersebut.
Hukum melakukan kesalahan nyata seperti ini adalah haram secara ijmak Ulama, tidak kira ia disengajakan atau tidak.
Kesalahan Tersembunyi: اللحن الخفي
Kesalahan tersembunyi bermaksud kesalahan yang dilakukan pada sebutan, di mana ia menyalahi cara sebutan yang telah ditetapkan bagi sesuatu ayat al-Quran.
Kesalahan ini tidak membawa kepada perubahan makna, seperti meninggalkan dengung, tidak dapat menentukan kadar harakat mad dengan sempurna atau tidak. Kesalahan ini tidak sampai mencacatkan solat, namun begitu, para pembaca Al-Qur’an patut meninggalkannya.
Hukum melakukan kesalahan tersembunyi seperti ini dalam bacaan, adalah haram jika dilakukan dengan sengaja atau mempermudah-mudahkannya. Sebahagian Ulama menghukumnya sebagai Makruh.
Perbezaan antara Ilmu Tajwid dan Ilmu Qiraat
Ilmu Tajwid ialah ilmu yang membicarakan asas-asas kaedah dan hukum sebutan huruf-huruf al-Quran seperti yang diwarisi sebutan tersebut dari Rasulullah s.a.w. Ilmu tajwid itu biasanya disusun sesuai dengan Qiraat sesuatu bacaan itu.
Ilmu Qiraat ialah ilmu cara bacaan al-Quran yang berbagai-bagai (mazhab bacaan) berdasarkan bacaan Imam yang mula-mula mengambil cara bacaan tersebut dari para sahabat r.a. dan Rasulullah s.a.w.