Definisi Riba
i. Dari sudut bahasa adalah pertambahan (الزيادة)
Allah berfirman:
اهْتَزَّتْ وَرَبَتْۗ
Terjemahan: bergeraklah tanahnya serta suburlah tanamannya. (Fussilat 41:39)
ii. Dari sudut istilah adalah sebarang tambahan dalam item-item tertentu (ribawi) dan tambahan ke atas hutang akibat penangguhan tempoh. la merangkumi riba yang terhasil daripada jual beli barangan ribawi (makanan dan mata wang) dan juga merangkumi riba yang terhasil daripada hutang.
Hukum riba adalah haram dan ianya termasuk dosa besar.
Sebagaimana firman Allah :
اَلَّذِيْنَ يَأْكُلُوْنَ الرِّبٰوا لَا يَقُوْمُوْنَ اِلَّا كَمَا يَقُوْمُ الَّذِيْ يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطٰنُ مِنَ الْمَسِّۗ ذٰلِكَ بِاَنَّهُمْ قَالُوْٓا اِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبٰواۘ وَاَحَلَّ اللّٰهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبٰواۗ فَمَنْ جَاۤءَهٗ مَوْعِظَةٌ مِّنْ رَّبِّهٖ فَانْتَهٰى فَلَهٗ مَا سَلَفَۗ وَاَمْرُهٗٓ اِلَى اللّٰهِ ۗ وَمَنْ عَادَ فَاُولٰۤىِٕكَ اَصْحٰبُ النَّارِ ۚ هُمْ فِيْهَا خٰلِدُوْنَ يَمْحَقُ اللّٰهُ الرِّبٰوا وَيُرْبِى الصَّدَقٰتِ ۗ وَاللّٰهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ اَثِيْمٍ
Terjemahan: Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa. (Al-Baqarah 2:275-276)
Dan sebagaimana sabdaan Nabi :
عن جابر بن عبدالله رضي الله عنهما قال: لعَن رسول الله صلى الله عليه وسلم آكل الربا وموكله، وكاتبه وشاهديه، وقال: هم سواءٌ؛ رواه مسلم
Terjemahan: Daripada Jabir r.a dia telah berkata: Rasulullah saw telah melaknat orang yang memakan riba, orang yang menyuruh buat riba, penulisnya, dan dua orang saksinya, dan Nabi saw telah bersabda: Mereka itu semua adalah sama. (HR Imam Muslim)
Illat Riba
Panduan asas berkenaan riba dan itemnya diambil dari hadis Nabi :
عن عبادة بن الصامت قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ , وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ , وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ , وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ , وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ , وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ , مِثْلًا بِمِثْلٍ يَدًا بِيَدٍ , فَإِذَا اخْتَلَفَتْ فِيهِ الْأَصْنَافُ , فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ
Terjemahan: Ubadah bin ash-Shomiti ra meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda: “Apabila ditukar emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, mestilah sama (timbangan atau sukatannya) dan tunai (serah terima dalam majlis akad), dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang kamu sukai bila kedua belah pihak melaksanakan serah terima (dalam majlis)”.
Perkara-perkara yang disebut oleh Nabi di atas telah dibahagikan oleh fuqaha kepada dua kategori (illat) seperti berikut:
Item Ribawi
- ILAT – Makanan
JENIS
- Gandum
- Barli
- Kurma
- Garam
- ILAT – Emas Perak / Wang
JENIS
- Emas
- Perak
- Matawang
Pembahagian Riba
Riba boleh terhasil dari dua bentuk transaksi (akad) iaitu jual beli dan hutang apabila membabitkan perkara-perkara di atas. Oleh yang demikian, para fuqaha telah membahagikan riba kepada dua bahagian:
A. Riba ad-Duyun (muncul daripada hutang)
laitu kadar lebihan faedah (riba) yang terhasil disebabkan tempoh. Ia pula terbahagi kepada dua jenis iaitu:
- Riba al-Qardh : Iaitu kadar atau sebarang manfaat tambahan yang disyaratkan atas pemberian jumlah pinjaman pokok. Syarat ini dibuat di awal kontrak pinjaman (loan contract), dikenakan oleh pemberi pinjam ( دائن ) kepada peminjam ( مدین )
- Riba al-Jahiliyyah : Iaitu kadar atau sebarang manfaat tambahan yang lebih daripada jumlah pinjaman pokok yang dikenakan akibat si peminjam gagal membayar jumlah pinjaman yang ditetapkan pada tempoh yang dipersetujui. Akibatnya, pemberi pinjam akan mengenakan kadar denda ke atas si peminjam kerana meminta tangguh pembayaran hutang atau gagal membayar hutang dalam waktu yang ditetapkan.
B. Riba al-Buyu’ (muncul daripada jual beli barangan ribawi)
Iaitu ketidaksamaan pada berat atau kuantiti pertukaran dua barang ribawi, atau pertukarannya dibuat secara bertangguh. Ia pula terbahagi kepada dua jenis:
- Riba an-Nasiah : Iaitu berjual beli atau bertukar antara dua barangan ribawi yang sama jenis secara bertangguh (tidak disempurnakan dalam satu masa).
Contohnya:
a) Segram emas dijual dengan harga RM2000 secara bertangguh.
b) 10kg beras ditukar dengan 15kg gandum secara bertangguh.
Riba akan terjadi apabila transaksi di atas berlaku secara bertangguh. Dalam konteks semasa, riba akan berlaku apabila seseorang itu membeli emas secara tangguh pembayaran. Ia adalah termasuk riba an-Nasiah.
- Riba al-Fadhl : Iaitu berjual beli atau bertukar antara dua barangan ribawi yang sama jenis dengan berbeza kadar berat (jika dijual secara timbang) atau berbeza kuantitinya (jika dijual secara bilangan kuantiti)
Contohnya:
a) Menukar 5 gram emas 916 dengan 6 gram emas 750. Transaksi ini, adalah haram kerana sepatutnya kedua-duanya itu 5 gram. Bagi perbezaan jenis kualiti pula, ianya tidak memberikan kesan kepada hukum.
b) Menukar atau menjual 10 kg beras Basmathi dengan bayarannya 15 kg beras Super Tempatan. Ia juga haram kerana kedua-duanya itu sepatutnya 10 kg. Perbezaan ini akan menyebabkan ianya terjatuh ke dalam kategori riba al-Fadhl.
Berdasarkan kedua-dua contoh di atas, terdapat dua syarat yang wajib dipenuhi agar terhindar daripada riba al-Fadhl dan an-Nasiah , iaitu:
Pertama: Beratnya mestilah sama (walaupun berbeza kualiti dan nilai).
Kedua: Transaksi pertukaran itu mestilah dilakukan dalam satu masa atau satu majlis (ertinya, kedua-dua penjual dan pembeli tidak boleh berpisah sebelum menyerahkan barangan masing-masing).
Ancaman bagi pemakan riba
Imam an-Nawawi berkata, “Telah ijma’ seluruh ulama Islam mengenai pengharaman riba dan ia termasuk dalam kategori dosa besar dan dikatakan juga riba diharamkan oleh semua agama. Antara yang berpendapat demikian adalah Imam al-Mawardi (rujuk Al-Majmu’, 9/391).
Di antara ancaman bagi pemakan harta riba adalah firman Allah :
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اتَّقُوا اللّٰهَ وَذَرُوْا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبٰوٓا اِنْ كُنْتُمْ مُّؤْمِنِيْنَ فَاِنْ لَّمْ تَفْعَلُوْا فَأْذَنُوْا بِحَرْبٍ مِّنَ اللّٰهِ وَرَسُوْلِهٖۚ وَاِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوْسُ اَمْوَالِكُمْۚ لَا تَظْلِمُوْنَ وَلَا تُظْلَمُوْنَ
Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Al-Baqarah 2:278-279)
Ibnu Abbas menafsirkan:
يقال يوم القيامة لآكل الربا: خذ سلاحك للحرب
Imam Abu Hanifah berkata: “Inilah ayat didalam al-Quran yang paling menakutkan”,
Imam Malik bin Anas berkata:
إني تصفحت كتاب الله وسنة نبيه فلم أر شيئا أشد من الربا لأن الله تعالى آذن فيه بالحرب
Terjemahan: “Aku telah menulusuri kitab Allah dan sunnah NabiNya lalu tidakku dapati sesuatu (maksiat) yang lebih dahsyat dari riba. Ini kerana Allah telah mengisytiharkan perang ke atasnya.“
Berkata Imam Qatadah : Allah dan menjanjikan ahli riba dengan hukuman bunuh. .
Dan sabdaan Nabi pula menyatakan:
الربا اثنان وسبعون بابا أدناها مثل إتيان الرجل أمه .
Terjemahan: Riba mempunyai 72 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya. (7/158: al-Hakim)
” اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ ”. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا هُنَّ قَالَ ” الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلاَتِ ”.
Terjemahan: “Jauhilah tujuh dosa besar, sahabat berkata: Wahai Rasullullah, apakah itu? Rasullullah bersabda ianya adalah syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan berzina (tanpa saksi yang adil)”. (HR Bukhari dan Muslim)
Daripada Ibn Mas’ud, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa.” (Riwayat Ahmad)
Sementara di akhirat nanti, setiap amalannya di dunia tidak diterima. Berkatalah Ibn Abbas: “Tidak diterima daripada pemakan riba (yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya.’
Riba Dalam Bentuk Semasa
Unsur Riba Dalam Perbankan Konvensional
Riba dalam akaun simpanan dan pelaburan. la berlaku apabila pelanggan meletakkan wang di dalam:
a) Akaun pelaburan dengan pulangan tetap (fixed deposit account).
b) Akaun simpanan biasa (ordinary savings account).
Keterangannya seperti berikut :
A) Akaun pelaburan dengan pulangan tetap (fixed deposit account).
Dalam akaun ini, individu A meletakkan wangnya di dalam conventional fixed deposit account. Menurut kontrak dan perjanjian yang ditandatangani, pihak pengendali/bank akan mengumpulkan wang individu A tadi bersama dengan wang pendeposit atau penyimpan yang lain.
Kemudian, sejumlah wang yang terkumpul itu digunakan bagi melabur ke dalam syarikat yang kukuh bagi mendapatkan pulangan yang menguntungkan ataupun digunakan untuk memberi pinjaman secara riba kepada syarikat-syarikat yang datang kepada bank bagi membantu perniagaan mereka.
Sebagai imbalan kepada para pelabur atau penyimpan, pihak bank akan menetapkan kadar faedah tertentu (fixed intrest atau fixed return). Sebagai contoh 3% diberikan kepada penyimpan atau pelabur (tambahan ke atas wang modalnya) bagi suatu tempoh matang antara satu hingga sebelas bulan. Penentuan jumlah faedah adalah menurut budi bicara pihak pengurusan bank. Pada kebiasaannya, bank akan membuat kira-kira untuk menentukan kadar faedah yang ingin diberinya.
Menurut hukum Islam, kadar 3% daripada “fixed deposit account” tadi adalah Riba al-Duyun daripada jenis al-Qardh . Hal ini adalah kerana, disiplin pelaburan Islam (iaitu mudharabah ataupun musyarakah) tidak membenarkan penetapan pulangan keuntungan pada awal kontrak sama sekali. Hanya nisbah pembahagian keuntungan sahaja yang dibenarkan seperti nisbah 70:30 (70% keuntungan untuk bank dan 30% untuk pelanggan).
B) Akaun simpanan biasa (ordinary savings account).
Manakala dalam akaun simpanan konvensional (ordinary savings account) pula, terdapat riba secara pasti. Ini kerana bank akan memberikan kadar faedah tetap sekitar 0.1 atau 0.2 peratus. Dalam keadaan ini, bank pula dikira meminjam wang daripada pelanggan untuk digunakan bagi tujuan pelaburan kecil-kecilan dan pelanggan dianggap seolah-olah telah menetapkan pulangan tetap atas pinjaman (simpanan) yang diberikan oleh pelanggan kepada bank itu. Jadi, bank mesti membuat pembayaran tambahan (faedah) menurut kadar yang telah ditetapkan tadi walau dalam apa keadaan sekalipun. Sekiranya bank memperoleh keuntungan yang amat lumayan hasil penggunaan wang simpanan tadi, bank tetap hanya perlu membayar kadar kecil tadi dan pelanggan pastinya akan mengalami kerugian. Sebaliknya, sekiranya bank menghadapi kerugian, pelanggan tetap akan mendapat kadar faedah itu tanpa mengira sama ada ia akan menambah beban kerugian pihak bank ataupun tidak.
Hasilnya, penindasan berlaku dalam kedua-dua bentuk akaun simpanan dan pelaburan konvensional di atas, sama ada kepada bank (apabila rugi tetapi tetap perlu membayar faedah riba) atau pelanggan (apabila bank untung tetapi pelanggan cuma mendapat nisbah kecil).”
Unsur Riba Dalam Insurans Konvensional
Riba wujud dalam insurans ini apabila syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada si pencarum yang terkena musibah. Ia dianggap riba kerana wang daripada pencarum akan dibalas dengan wang daripada syarikat dengan jumlah yang berbeza, padahal wang merupakan barangan ribawi sebagaimana enam barangan yang telah disebutkan oleh Nabi di dalam hadisnya.
Nabi Muhammad mensyaratkan apabila berurusan di antara dua barangan ribawi yang sama jenis (contoh di sini adalah wang daripada pencarum dengan wang daripada syarikat insurans) ia mestilah terikat dengan syarat:
1. Sama nilai ( مثلا بمثل ).
2. Diserahkan ketika mu’amalah dilakukan (يدا بيد).
Maka setiap perbezaan nilai (dalam barangan ribawi) dianggap riba al-Fadhl yang diharamkan. Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza maka berlakulah riba al-fadhl iaitu tidak ada kesamaan nilai dalam urus niaga dua barangan ribawi.
Manakala pembayaran bertangguh dalam dua bayaran ribawi adalah riba an-Nasiah yang diharamkan secara jelas oleh Allah di dalam al-Quran.
Dalam hal insurans sudah tentulah berlaku penangguhan iaitu apabila pencarum terkena musibah, barulah akan dibayar dengan jumlah yang tertentu. Inilah yang dinamakan riba an-Nasiah.
Unsur Riba Dalam MLM
Riba dalam MLM terjadi apabila ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan. Tugasnya hanyalah mencari orang bawahannya (downline) dan setiap kali dia mendapat ahli baru, beberapa peratus daripada yuran ahli atau pembelian wajib akan diberikan kepadanya. Maknanya, semakin ramai anggota baru yang dapat dicari maka semakin banyak jumlah bonus yang akan diperolehinya.
Perniagaan ini mempunyai unsur riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapatkan sejumlah wang yang lebih banyak pada masa hadapan. Ia merupakan satu bentuk riba an-Nasiah dan riba al-Fadhl.
Unsur Riba Dalam Jual Beli Perhiasan Emas Dan Perak
Riba an-Nasiah akan terjadi dalam jual beli perhiasan emas dan perak apabila pembelian tersebut dibuat secara ansuran dan hutang kerana syarat dalam pembelian emas dan perak tidak boleh secara bertangguh. Perkara ini sama sahaja walaupun ia telah dibentuk menjadi rantai dan sebagainya, kerana ia tidak akan terkeluar daripada sifat emasnya.
Unsur Riba Dalam Pertukaran Mata Wang
- Menukar wang
Ramli ingin membeli wang rupiah sebanyak Rp100,000 daripada Amir dengan harga RM30.00 dengan cara bertangguh selama 30 hari. Setiap hari Ramli akan membayar sebanyak RM1.00. Bagaimana hukumnya?
Jawab: Hukumnya adalah haram kerana Ramli dan Amir berpisah sebelum serah terima wang selesai. Akad yang mereka berdua buat itu menjadi batal atau tidak sah.
Sebagaimana sabdaan Nabi :
كل شرط ليس في كتاب الله فهو باطل وإن كان مئة شرط , قضاء الله أحق وشرط الله أوثق
Terjemahan: Setiap syarat yang bercanggah dengan kitabullah adalah batil, walaupun terdapat seratus syarat. Ketentuan Allah lebih benar dan syarat yang ditetapkan Allah lebih kuat.
- Memberi hutang dengan mata wang ringgit dan membayarnya dengan mata wang dollar Singapura
Ahmad menetap di Malaysia dan mempunyai hutang dengan kawannya yang bekerja di Singapura sebanyak $SD500 iaitu bersamaan RM950 apabila ditukar kepada ringgit Malaysia. Mereka berdua tidak membuat perjanjian bila akan dibayar dan berapa jumlahnya. Setelah berlalu beberapa hari Ahmad ingin membayar hutang tersebut dan dia mendapati mata wang Singapura telah naik yang mana wang Malaysia RM950 nilainya bersamaan $SD400 dan $SD500 nilainya bersamaan RM1300. Oleh itu, manakah yang perlu dibayar kepada kawannya?
Jawapan: Kawannya wajib menerima bayaran hutang dengan wang dollar Singapura kerana itulah wang yang diberi hutang. Tetapi kalau mereka berdua setuju membayar hutang menggunakan wang Malaysia maka tidak mengapa. Maksudnya boleh menerima wang Malaysia tetapi nilainya tidak lebih daripada RM1300, dan boleh juga dia menerima wang Singapura tetapi tidak boleh mengambil lebih dari jumlah $SD500, kerana ia akan mengambil untung yang bukan pada tempatnya. Akan tetapi, tidak mengapa (menurut Islam) kalau dia mengambil kurang dari hutang yang diberi kerana dia telah mengambil sebahagian haknya dan yang sebahagian lagi dianggap sebagai pemberian (إبراء) .
Dalil keharusan membayar hutang dengan mata wang lain (اعتياض)
Ibnu Umar berkata: “Kami menjual unta di Baqi’ dengan harga beberapa dirham tetapi kami terima bayarannya dengan dinar. Dan kami menjual wang dinar tetapi kami terima bayarannya wang dirham.” Kemudian Nabi bersabda: “Tidak salah engkau mengambil wang lain dengan harga pada hari itu selama kamu belum berpisah dan diantara kamu saling ada sesuatu ( تقابض ).”
- Mengambil manfaat dari wang yang dihutangkan
Abu ingin meminjam wang sebanyak RM500 daripada Arif, tetapi Arif hanya akan memberi hutang sekiranya Abu sanggup memberi sebidang kebunnya sebagai jaminan dan separuh daripada hasil kebun itu nanti akan menjadi milik Arif.
Bagaimana hukum pinjaman bersyarat seperti ini?
Jawapan: Hukumnya adalah haram kerana mensyaratkan sesuatu yang mengeluarkan tujuan asal dalam memberi hutang yakni untuk membantu (إرفاق). Pensyaratan ini jelas menunjukkan bahawa pemberi hutang ingin mengambil kesempatan daripada kesusahan orang yang berhutang dengan cara mengambil separuh daripada hasil kebunnya. Hal ini bererti bahawa dia telah mengambil manfaat atau keuntungan dari wang yang dihutangkan.
Sebagaimana sebuah hadis berbunyi:
كل قرض جر منفعة فهو ربا
Terjemahan: Setiap hutang yang mendatangkan keuntungan adalah riba.
Sumber & Rujukan
Faham Muamalat Seharian Anda