Hukum Qat’u

waqaf dan ibtida

Qat’u (القطع) dari segi bahasa bermaksud memutuskan. Qat’u yang dimaksudkan dalam istilah ilmu Tajwid ialah memutuskan bacaan untuk tujuan berhenti kerana sesuatu yang tiada kaitan dengan bacaan, seperti menyelesaikan bacaan bagi waktu tersebut.

Sebaik-baiknya hendaklah memutuskan bacaan pada waqaf tam atau waqaf kafi kerana meraikan sempurnanya lafaz dan makna bacaan alQuran.

Tidak disukai untuk memutuskan bacaan di pertengahan ayat tanpa sebab kecuali terlupa semasa solat atau lain-lain perkara darurat.

Perbezaan antara Waqaf dengan Qat’u ialah Waqaf berhenti kerana mengambil nafas baru sedangkan Qata’ ialah berhenti kerana selesai membaca. Oleh itu pembaca al-Quran dituntut membaca Isti’azah jika hendak memulakan semula bacaan.

Perkara-perkara yang perlu diperhatikan apabila menyudahkan bacaan al-Quran untuk sesuatu tempoh ialah:

  • Menamatkan akhir sesuatu Surah.
  • Menamatkan akhir sesuatu Juz.
  • Menamatkan akhir sesuatu Hizb atau Rubu’.
  • Menamatkan akhir sesuatu ayat.

Diriwayatkan oleh Imam al-Jazari dengan sanad yang bersambung kepada ‘Abdullah bin Abi al-Huzail katanya yang bermaksud:

“Jika seseorang dari kamu telah memulakan bacaan dari sesuatu ayat, janganlah disudahkan bacaan itu hinggalah selesai akhir ayat tersebut”

kata Ibn Abi al- Huzaili lagi yang bermaksud: Adalah para sahabat r.a tidak suka membaca sesuatu ayat kemudian meninggalkan setengah daripadanya.

Dalam al-Quran – ada 30 juzuk.
Pembahagian juzuk ini dilakukan berdasarkan jumlah hari pada bulan Ramadan di mana 1 juzuk al-Quran dibaca setiap hari sampai cukup 30 hari.

Setiap satu juzu’ – ada 2 hizb.
Bermaksud satu al-Quran ada 60 hizb. Hizb – tanda yang menunjukkan permulaan kisah atau cerita yang baru.

Setiap satu hizb – ada 4 rubu’
(suku 1/4 hizb, 1/2 hizb, 3/4 hizb dan 1 hizb penuh)

Dalam satu kitab al-Quran – ada 240 maqra’ @ pecahan.
Maqra ditandai dengan huruf ain ( ع )

Dalam satu kitab al-Quran – ada 240 rubu’.
Rubu’ = 1/4

Dalam al-Quran – ada 114 surah, 6236 ayat dan 77439 perkataan serta 321 250 huruf (sebahagian ulama’).

Bilangan muka surat keseluruhan dalam al-Quran – ada 604, 1 juzuk bersamaan 20 muka surat dan 1 muka surat bersamaan 15 baris.

Paling mudah untuk tahu ada perkataan hizb ( حزب). Kerapkali anda akan berjumpa dengan tanda, 1/4, 1/2, 3/4 dan hizb penuh. Apabila anda menjumpai hizb itu (tanda bintang), yang bermakna/merupakan tanda yang menunjukkan permulaan kisah atau cerita yang baru.

Sebagai contoh, ayat 123 surah Al-Baqarah dan sebelumnya menceritakan tentang perihal Bani Israel. Petunjuk hizb: terdapat tanda bunga/bintang selepas ayat 123. Bermula ayat 124 surah yang sama, Allah menceritakan pula tentang kisah nabi Ibrahim dan Ismail.

Tanda-tanda ini boleh digunakan untuk dua tujuan:

  • Pertama, sebagai petanda jalan (milestones) untuk mengetahui kedudukan bacaan anda.  Jika anda melihat hizb 20, maknanya anda berada di bahagian kedua juzu’ 10.  Jika berada di ¾ rubu’ 11, maknanya ada menghampiri pertengahan juzuk ke 6.
  • Kedua, panduan ini boleh digunakan sebagai sasaran bacaan alquran harian untuk khatam dalam tempoh tertentu:

 Khatam sekali sebulan : Baca 1 Juzuk sehari
 Khatam dua bulan sekali : Baca 1 Hizb sehari
 Khatam empat bulan sekali : Baca 2 Rubu’ sehari
 Khatam lapan bulan sekali : Baca 1  Rubu’ sehari.

5/5 - (2 votes)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *