Isti’azah
Lafaz isti’azah bukan dari ayat al-Quran. Hukum membacanya adalah sunat yang sangat dituntut ketika hendak memulakan bacaan dalam setiap keadaan; sama ada di awal atau di pertengahan surah.
فَإِذَا قَرَأۡتَ ٱلۡقُرۡءَانَ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ
Apabila kamu membaca al-Quran, hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk. (AnNahl: 98)
Lafaz yang masyhur adalah lafaz yang diucapkan oleh malaikat Jibrail:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
Diharuskan membaca mana-mana lafaz yang seumpamanya:
أعوذ بالله العظيم من الشيطان الرجيم
أعوذ بالله من الشيطان
أعوذ بالله السميع العليم من الشيطان الرجيم
Lafaz isti’azah hendaklah dilantangkan kecuali pada beberapa keadaan:
1. ketika di dalam solat bagi imam dan makmum.
2. ketika membaca al-Quran secara perlahan.
3. ketika di dalam halaqah tadarus sekiranya bukan pembaca yang pertama.
Sekiranya bacaan terputus dengan tidak sengaja (batuk, menguap atau bersin) atau dengan perkara berkaitan dengan al-Quran (menerangkan hukum tajwid atau memberikan tafsir ayat), maka tidak perlu mengulangi isti’azah.
Sekiranya bacaan terputus dengan perkara yang tidak berkaitan dengan al-Quran (menjawab salam, bercakap dan lain-lain), maka hendaklah mengulangi isti’azah.
Basmalah
Basmalah adalah kata ringkas bagi kalimah بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ .
Rasulullah s.a.w. tidak dapat memastikan ayat terakhir sesuatu surah itu sehingga diturunkan kepadanya basmalah.
Basmalah hendaklah dibaca di awal surah dan ketika menyambung bacaan di antara dua surah; kecuali pada surah at Taubah.
Membaca basmalah di awal surah al-Fatihah adalah wajib pada mazhab asah Shafi’e kerana ia dianggap sebagai satu ayat pada surah tersebut.
Ketika memulakan bacaan dipertengahan surah, diharuskan untuk membaca basmalah atau tidak membaca basmalah. Namun tidak harus membaca basmalah sahaja tanpa membaca isti’azah terlebih dahulu.
Sekiranya memulakan bacaan pada ayat yang bermula dengan gantinama kepada Allah, maka hendaklah membaca basmalah.
ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ
وَهُوَ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ بِٱلۡحَقِّۖ
Sekiranya memulakan bacaan pada ayat yang berkaitan dengan kaum kafir, munafiq, syaitan atau berkaitan dengan ancaman azab atau neraka, maka lebih utama untuk tidak membaca basmalah.
Terdapat 3 wajah bacaan basmalah di antara dua surah selain dari surah at Taubah:
1. Waqaf pada akhir surah dan waqaf pada basmalah dan kemudian membaca awal surah berikutnya.
2. Waqaf pada akhir surah dan wasal pada basmalah dengan awal surah berikutnya.
3. Wasal kesemua akhir surah, basmalah dan awal surah berikutnya.
Tidak harus wasal akhir surah dengan basmalah dan kemudian waqaf pada basmalah kerana yang demikian itu akan menjadikan basmalah sebagai penamat bagi surah tersebut.
Tidak harus juga untuk menyambung antara dua surah tanpa basmalah (selain dari surah at-Taubah).
Terdapat 3 wajah untuk menyambung surah al-Anfal dan surah at-Taubah:
إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمُۢ ٧٥ بَرَآءَةٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦٓ إِلَى ٱلَّذِينَ عَٰهَدتُّم مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ١
1. Waqaf pada akhir surah al Anfal dan memulakan awal surah at-Taubah tanpa basmalah.
2. Saktah pada akhir surah al Anfal dan awal surah at-Taubah. Saktah tersebut adalah dengan tanwin, bukan dengan mad aridh lissukun.
3. Wasal pada akhir surah al-Anfal dan awal surah at-Taubah dengan menunaikan hukum iqlab di akhir surah al-Anfal.
Untuk memulakan bacaan dari awal surah at-Taubah, diharuskan membaca isti’azah terlebih dahulu.
Terdapat 4 wajah untuk memulakan bacaan dengan isti’azah dan basmalah:
1. Waqaf kesemuanya.
2. Waqaf pada isti’azah, kemudian wasal pada basmalah dan ayat.
3. Wasal pada isti’azah dan basmalah, kemudian memulakan bacaan ayat dengan nafas baru.
4. Wasal kesemuanya.