“Menjadi ahli logik yang baik adalah jauh lebih berharga daripada menjadi atlet yang baik; kerana logik mengajar kita bagaimana bertaakul dengan betul, dan penaakulan memberikan kita pengetahuan, dan pengetahuan seperti kata Lord Bacon adalah kuasa.” – Jevons
Logik merupakan kaedah yang benar bagi proses bertaakul, iaitu proses menggunakan akal. Ia bertujuan menghasilkan pengetahuan yang benar daripada sekadar anggaran-anggaran kepada teori dan undang-undang tertentu.
Serumit manapun suatu lontaran fikiran, ia bermula dengan konsep-konsep kecil. Konsep-konsep ini hanya wujud dalam minda. Apabila diungkapkan, ia terzahir sebagai terma. Terma atau perkataan adalah batu asas dalam pembinaan konsep yang lebih besar dan rumit, digunakan sebagai bahan mentah pertukaran idea sesama manusia dan dalam minda seseorang yang berfikir. Seperti yang akan kamu lihat selepas ini, subjek terma akan dibahaskan dengan mendalam sehingga bab ini menjadi yang terpanjang dalam buku ini. Contoh mudah bagi terma antaranya ialah ‘langit’. Kamu punyai idea tertentu berkaitan ‘langit; apabila diucapkan dengan terma yang benar, barulah ia menjadi jelas bagi orang lain akan apa yang cuba kamu sampaikan.
Apabil satu terma dijalinkan dengan terma yang lain, ia membentuk unit baru yang dinamakan sebagai unjuran. Unjuran dalam bentuk logikal sekurang-kurangnya dibina dengan dua terma bersama atau tanpa satu kata hubung antara kedua-duanya. “Langit itu berubah-ubah warna” merupakan satu unjuran positif. Ia bersifat mengesahkan sesuatu dengan kata hubung ‘itu’. “Langit itu tidak kekal biru” juga merupakan unjuran, cuma saja ia bersifat negatif atau menafikan. Dua contoh mudah ini meski kelihatan ringkas dan barangkali membosankan, menguasai perbezaan antara kedua-duanya akan membawa kamu kepada unit ketiga dalam Logik iaitu – Silogisme.
Jika jalinan dua terma yang benar menghasilkan satu unjuran, dua unjuran yang benar menghasilkan satu silogisme. Dalam proses inilah anjakan penaakulan berlaku. Daripada dua fakta yang sedia diketahui, fakta ketiga dijangkau oleh minda lalu terhasillah satu kesimpulan baru. Jika detik eureka berlaku kepada kamu, ia akan berlaku dalam fasa ini. Kamu akan dapat menghargai hal ini dengan lebih baik apabila kamu sampai kepada bab berkaitan satu anjakan istimewa; aku terjemahkan ia sebagai “penerkaan’. Ambil saja contoh sebelum ini “Langit itu berubah-ubah warna. Katakan pada satu hari kamu mengetahui bahawa “setiap medium yang berubah-ubah warna itu hakikatnya membiaskan cahaya,” maka apakah yang dapat kamu simpulkan?
“Langit itu hakikatnya membiaskan cahaya!”
Ini merupakan kesimpulan yang tidak dapat dielakkan, bahkan ia wajar diraikan. Kamu telah berjaya bertaakul dengan sendiri. Kamu berdeduksi! Inilah yang ingin dicapai dalam Logik, berani bertaakul secara jujur dan kendiri. Jika kesimpulan ini diteruskan, kamu akan mencapai kesimpulan-kesimpulan yang begitu mengghairahkan, pastinya mencerahkan.
Bagaimanapun keupayaan Logik ini dapat disalahgunakan. Jika ia dilakukan tanpa sedar, kamu hakikatnya bermain dengan falasi. Dilakukan dengan penuh kesedaran, kamu benar-benar melakukan jenayah intelektual purba; kita menamakannya Sofisme. Jika Plato masih ada, kamu akan diperangi habis-habisan.
Sebelum diteruskan pembacaan ini, ikhlaskanlah niatmu. Nescaya kebenaran akan menjadi temanmu, dan kebatilan menjadi musuh tabiimu. Dan dengan kebenaran itu – Setialah.
Rujukan
Seni Pemikiran Logikal