Sejarah Perkembangan Pengajaran dan Pembelajaran al-Quran

al quran

Menyentuh tentang sejarah ini boleh diklafikasikan kepada beberapa bahagian iaitu, pengajaran al- Quran pada zaman Rasulullah s.a.w., pengajaran al-Quran pada zaman sahabat, dan sejarah kaedah tilawah al-Quran di Malaysia.

Pengajaran al-Quran Pada Zaman Rasulullah

Sejarah pengajaran al-Quran bermula ketika Nabi Muhammad s.a.w sedang beribadat di Gua Hira’. Baginda dilantik menjadi pesuruh Allah S.W.T secara rasmi dengan turunnya ayat al-Quran yang pertama. Dengan perutusan kenabian ini, maka bermulalah pendidikan yang bersumberkan wahyu. Bacaan yang diajar oleh Jibrail a.s dan dibaca oleh Rasulullah s.a.w bukan semata-mata bacaan, tetapi ia dilakukan untuk diikuti dan difahami sehinggakan Rasulullah s.a.w apabila diturunkan wahyu kepadanya, Baginda tidak henti-henti menggerakkan lidah dan bibirnya sehingga Allah S.W.T melarangnya berbuat demikian. Allah S.W.T. memberi jaminan kepada rasul-Nya berkaitan amalan menghafal al-Quran dan membetulkan bacaan rasul-Nya.

Hal ini jelas daripada firman Allah S.W.T :

لَا تُحَرِّكْ بِهٖ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهٖۗ اِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهٗ وَقُرْاٰنَهٗ ۚ فَاِذَا قَرَأْنٰهُ فَاتَّبِعْ قُرْاٰنَهٗ ۚ ثُمَّ اِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهٗ ۗ

Janganlah engkau (wahai Muhammad) – Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu). Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu. Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan). (Surah al-Qiamah, 75: 16-19)

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan bimbingan Allah S.W.T. kepada rasul-Nya tentang kaedah mempelajari al-Quran melalui malaikat Jibrail a.s. Dalam kaedah pengajaran al-Quran pada peringkat awal ini, Jibrail a.s sebagai guru, membaca kepada Nabi s.a.w dan Baginda diminta supaya mendengar dan memerhatikan bacaan Jibrail a.s. Rasulullah s.a.w semasa melalui proses bacaan al-Quran ini Baginda tidak tergopoh-gapah dalam bacaan dan hanya mengikuti bacaan al-Quran apabila malaikat Jibrail a.s selesai membacanya.

Proses ini berlaku apabila keadaan sebelumnya Rasulullah s.a.w tergopoh-gapah dalam bacaan akibat tekanan suasana yang cemas kerana pengalaman yang baru dihadapi dengan kedatangan malaikat Jibrail a.s.

Rasulullah s.a.w dalam mempelajari al-Quran amat memerlukan pertolongan Allah S.W.T. kerana sebenarnya dalam mempelajari al-Quran berbeza dengan mempelajari sesuatu yang lain. Allah S.W.T. telah memberi jaminan kepada rasul-Nya bahawa al-Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad s.a.w tidak akan dilupai selama-lamanya. Dengan jaminan ini, maka setiap kali Jibrail a.s datang membawa wahyu kepada Rasulullah s.a.w, Baginda mendengarnya dengan penuh perhatian dan apabila Jibrail a.s selesai, Nabi membacanya sebagaimana Jibrail a.s membacanya.

Nabi Muhammad s.a.w memulakan pengajaran al-Quran di rumah Baginda dan rumah al- Arqam bin Abi Arqam dalam usaha membentuk peribadi para sahabat. Pengajaran al-Quran ini seterusnya berkembang ke Madinah dengan adanya rombongan dari Madinah yang datang berjumpa Rasulullah s.a.w dan beriman kepada Baginda yang seterusnya memperkembangkan ajaran al-Quran di sana. Setelah Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, pengajaran al-Quran berterusan di rumah Baginda dan seterusnya di Masjid Nabawi.

Ramai di kalangan para sahabat yang berguru secara langsung dengan Rasulullah s.a.w. Mereka mempelajari al-Quran secara hafalan daripada Rasulullah s.a.w hingga lahirlah kumpulan huffaz yang terkenal, antaranya Abu Bakar, Uthman, Ali Ibn Mas’ud, A’ishah dan Hafsah. Tegasnya pada peringkat ini para sahabat masih meneruskan kaedah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w dengan Jibrail dalam pendidikan al-Quran. Melalui kaedah hafalan ini telah berjaya melahirkan ramai mereka yang mampu membaca dan menghafal al-Quran.

Secara ringkas terdapat empat langkah pengajaran al-Quran di zaman Rasulullah s.a.w iaitu:

(1) Membaca al-Quran dengan betul. Rasullullah s.a.w membaca al-Quran secara talaqi-musyafahah dengan malaikat Jibrail a.s. Maka dengan cara inilah juga Baginda s.a.w mengajarkannya kepada para sahabat.

(2) Menerangkan maksud. Hal ini bertujuan untuk memahami apa yang terkandung di sebalik ayat al-Quran yang dibaca.

(3) Menghafaz. Selain ayat-ayat al-Quran ditulis di pelepah-pelepah tamar, tulang dan kulit terdapat juga para sahabat yang menghafal ayat al-Quran.

(4) Mengamalkan ajaran al-Quran berdasarkan ajaran yang difahami daripada ayat-ayat yang dihafal.

Berdasarkan perbincangan tentang pengajaran al-Quran di zaman Rasulullah s.a.w, jelas memperlihatkan usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan dilakukan untuk memastikan kelangsungan dalam pengajaran al-Quran.

Pengajaran al-Quran Pada Zaman Sahabat

Kaedah pengajaran al-Quran secara hafalan diteruskan lagi pada zaman sahabat untuk menjamin agar al-Quran berkekalan. Al-Quran yang dipelajari oleh para sahabat telah berjaya melahirkan ramai para huffaz. Para sahabat menggunakan kaedah hafalan bukan sahaja terhad kepada pendidikan al- Quran, malah pendidikan hadis dan ilmu-ilmu juga terikut dengan cara yang sama. Oleh itu, kaedah hafalan adalah merupakan satu kaedah yang penting dalam mempelajari al-Quran pada zaman sahabat. Kaedah ini telah berjaya melahirkan golongan sahabat yang menjiwai al-Quran sepanjang hayat mereka.

Tegasnya, pengajaran al-Quran dimulai dengan cara para guru memperdengarkan bacaan surah- surah pendek dan pelajar mengulanginya beberapa kali bersama guru sehingga terlekat dalam ingatan. Proses ulangan, hafalan dan ingatan ini sangat sesuai lebih-lebih lagi pada peringkat kanak- kanak kerana ia dapat menanam benih ketakwaan dan keikhlasan pada diri mereka. Kaedah pengajaran al-Quran secara hafalan kepada kanak-kanak yang bermula pada usia muda ini berjalan di semua kuttab di bawah pemerintahan Kerajaan Islam.

Pemerintah memberi penekanan terhadap kepentingan ilmu pengetahuan. Hal ini terbukti pada zaman Khalifah Harun al-Rashid sistem pendidikan diperkemaskan, di mana pendidikan awal kanak-kanak diberi perhatian. Bangunan sekolah yang disambungkan dengan bangunan masjid menjadi tempat belajar bagi kanak- kanak yang telah mencapai usia lima tahun. Al-Quran menjadi bahan asas dalam segala ilmu yang diajar.

Al-Saboony dan Ahmad menyatakan bahawa bacaan al-Quran berbeza antara sesebuah negeri dengan negeri lain. Hal ini kerana mengikut guru yang dihantar ke negeri tersebut. Para sahabat mengambil bacaan al-Quran daripada Rasulullah s.a.w berasaskan tujuh jenis bacaan. Walaupun begitu proses pengajaran al-Quran di satu-satu negeri seperi Sham, Iraq dan Kufah adalah berbeza cara bacaan mengikut guru yang mengajar. Contohnya di Sham gurunya adalah Ubai bin Ka’ab, di Kufah gurunya adalah Abdullah bin Mas’ud. Demikianlah berterusannya proses pengajaran dan pembelajaran al-Quran selepas kewafatan Rasulullah s.a.w hinggalah Islam datang ke Tanah Melayu pada abad ke 15, pengajaran dan pembelajaran al-Quran mula tersebar di Tanah Melayu.

Sejarah Kaedah Tilawah al-Quran di Malaysia

Selain daripada sejarah pengajaran al-Quran di Malaysia, kaedah tilawah al-Quran yang asas untuk kanak-kanak mengenal huruf al-Quran juga mengalami evolusi perkembangan. Secara umumnya terdapat dua kaedah tilawah al-Quran yang pernah diperkenalkan di Malaysia, iaitu kaedah Baghdadiyah dan kaedah Iqra’.

Kaedah Baghdadiyyah

Pengajaran al-Quran melalui kaedah Baghdadiyyah adalah berdasarkan buku Muqaddam yang bermatlamatkan kepada pembinaan kemampuan untuk membaca al-Quran. Kaedah ini telah memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat Melayu Islam tradisional. Buku Muqaddam yang digunakan bagi menjalankan kaedah ini dibahagikan kepada dua bahagian.

Bahagian pertama diperkenalkan huruf hija’iyyah, huruf-huruf bersambung dan berbaris. Bahagian kedua ialah susunan ayat-ayat al-Quran juzuk ke-30. Pengajaran yang berpandukan kaedah Baghdadiyyah dimulai dengan mengenal huruf-huruf hija’iyyah, diikuti dengan huruf bersambung dan berbaris. Apabila selesai mengenal kedua-dua bentuk huruf ini, barulah dipindahkan membaca al-Quran. Ianya bermula dari surah al-Fatihah, surah an-Nas sehingga surah an-Naba’.

Pembelajaran al-Quran melalui kaedah ini ada tiga peringkat, iaitu:

(1) Peringkat pertama ialah pembacaan secara umum. Pada peringkat ini guru ditugaskan mengajar cara
membaca al-Quran dengan betul serta memberi penekanan kepada tajwid. Kemampuan membaca juga dibina berdasarkan asas yang telah dibina dalam mengenal huruf dan baris.

(2) Peringkat kedua ialah bacaan ulangan yang lebih menekankan kepada pembacaan secara kaedah tajwid dan sebutan yang lebih baik dan mantap.

(3) Peringkat ketiga pula ialah pembacaan secara berirama dan berlagu.

Walaupun kaedah ini telah melahirkan ramai masyarakat Melayu Islam yang boleh membaca al- Quran dengan baik, namun kaedah ini mempunyai beberapa kelemahan tersendiri, iaitu:

(1) Kaedah mengenal huruh hija’iyah, huruf bersambung dan berbaris yang terdapat dalam buku Muqaddam agak ketinggalan dan tidak sesuai dengan kaedah mempelajari bahasa untuk masa sekarang.

(2) Kaedah ini hanya menekankan satu aspek sahaja dari al-Quran iaitu membaca, sedangkan aspek penulisan, hafalan dan kefahaman tidak diambil kira.

(3) Susunan ayat-ayat al-Quran yang songsang boleh mengelirukan pelajar di peringkat permulaan serta melahirkan anggapan susunan al-Quran sememangnya begitu. Secara tidak langsung ini boleh memberi kesan kepada penyusunan bacaan dalam sembahyang.

(4) Keempat, kemampuan pelajar dalam membaca terbatas kepada jenis al-Quran yang biasa digunakan sahaja dan agak susah membaca jika diberikan al-Quran yang tidak biasa dengannya.

Keempat-empat kelemahan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kanak-kanak yang mempelajari al-Quran.

Kaedah Iqra’

Seterusnya muncul pula kaedah baru seperti kaedah Iqra’ yang berasal dari Indonesia dan diasaskan oleh Ustaz H. As’ad Humam. Beliau adalah salah seorang pengasas Team Tadarus Angkatan Muda Masjid dan Musalla dan ahli Lembaga Pengembangan Tilawah Quran Peringkat Kebangsaan di Yogyakarta, Indonesia. Kebolehan beliau dalam mengajar membaca al-Quran dengan menggunakan pelbagai kaedah bermula sejak 1950 lagi. Berdasarkan kaedah pembelajaran al-Quran yang selama ini digunakan masih banyak kelemahan dan kurang berkesan serta di atas permintaan ramai, maka beliau menyusun buku IQRA’ (Cara Cepat Membaca al-Quran).

Kaedah Iqra’ disusun secara lengkap, sempurna serta bersepadu dengan huruf yang seimbang. Ia dimulai dengan pembelajaran asas, dengan rangkaian huruf-huruf hinggalah ke peringkat suatu ayat yang bermakna. Kaedah Iqra’ ini terkandung dalam 6 jilid dan dapat membantu pelbagai peringkat umur dalam mempelajari al- Quran. Perkara penting dalam kaedah Iqra’ ini ialah latih tubi sebutan huruf dan ayat agar kemahiran membaca al-Quran dapat dikuasai.

Perlaksanaan kaedah Iqra’ ini di sekolah-sekolah menurut Muhd Mukri kerana: Pertama, pengajaran dan pembelajaran guru dalam tilawah al-Quran tidak menggunakan kaedah tertentu. Kaedah yang digunakan hanya warisan generasi terdahulu atau kaedah Baghdadiah. Kedua, kaedah Baghdadiah yang digunakan memakan masa kerana guru memperkenalkan huruf, baris, mengeja dan menyebutnya. Ketiga, pelajar menghadapi masalah mengenal, mengeja dan menyebut huruf-huruf kerana tidak mempunyai kemahiran tersebut. Keempat, kaedah Iqra’ merupakan satu daripada beberapa kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran dan bukan sukatan pelajaran serta tidak merubah sukatan pelajaran. Kelima, berdasarkan percubaan yang dijalankan didapati pelajar boleh menguasai dengan cepat dan berkesan dalam bacaan al-Quran. Keenam, pelajar yang mengikuti kaedah ini di Indonesia telah mampu menguasai pembacaan al-Quran.

Menurut Muhd Mukri lagi, antara ciri-ciri yang terdapat dalam kaedah Iqra’ ialah:

Pertama, bacaan terus (tanpa dianalisis dan dieja). Pelajar tidak diperkenalkan terlebih dahulu nama-nama huruf hijaiyyah dan tanda-tanda bacaan, tetapi terus diperkenalkan bagi satu-satu huruf dengan menggunakan pengajaran.

Kedua, penggunaan teks tertentu. Pengajaran dan pembelajaran menggunakan satu set buku yang mengandungi enam naskhah. Pelajar menggunakan tahap-tahapnya bermula dari buku pertama.

Ketiga, teknik pengajaran Cara Belajar Pelajar Aktif (CBMA). Pengajaran dimulakan dengan cara guru menerangkan pengajaran beberapa kali dan apabila pelajar sudah jelas, maka pelajar disuruh membaca sendiri.

Keempat, talaqqi musyafahah. Semasa mempelajari al-Quran pelajar mesti berdepan secara langsung dengan gurunya, agar pelajar mengetahui dengan tepat bagaimana makhraj dan sifat-sifat huruf yang sebenar.

Kelima, tahap berdasarkan kecapaian individu. Tahap pencapaian pelajar dalam bacaan adalah bergantung kepada kecekapan individu dan peranan yang diusahakan oleh gurunya.

Keenam, praktis.Tujuan kaedah Iqra’ dibentuk supaya pelajar dapat membaca al-Quran dengan cepat dan mudah. Manakala ilmu tajwid hanya akan diajar setelah pelajar berupaya untuk bertadarus al-Quran. Istilah tajwid tidak diajar dalam kaedah Iqra’, tetapi ketepatan sebutan makhraj ditekankan semasa pembacaan.

Ketujuh, sistematik. Bahan pengajaran disusun lengkap, terancang dan terarah dari pelajaran asas dan sederhana hinggalah ke tahap satu kalimah yang bermakna.

Sumber dan Rujukan
https://www.researchgate.net/publication/293097717_Sejarah_Kaedah_serta_Model_Pengajaran_dan_Pembelajaran_al-Quran

5/5 - (2 votes)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *