Wang adalah semua item yang diterima secara umum untuk pertukaran sesuatu barang dan perkhidmatan. Ada yang menggunakan kulit kerang, batu dan lain-lain. Ada juga mata wang jenis lain yang dihasilkan daripada tembaga dan permata.
Kerajaan Rom memulakan penggunaan syiling emas manakala Parsi menggunakan syiling perak. Semasa kebangkitan Nabi, Baginda berterusan menggunakan 2 jenis mata wang ini dan dikenali sebagai dinar dan dirham serta diiktiraf oleh Baginda sehingga Baginda menyebutkan secara khusus hukum yang berkaitan dengannya. Selepas itu, ianya diubah sedikit demi sedikit. Perubahan paling ketara ialah pada tahun 1971.
Fungsi Wang
Terdapat 3 fungsi wang iaitu:
1. Medium of exchange: Berfungsi sebagai perantara kepada urusan jual beli barang dan perkhidmatan. Sistem barter yang digunakan dahulu menyebabkan sukar untuk memenuhi kehendak masing-masing. Jadi wang dicipta sebagai perantara kepada hasrat masing-masing.
2. Store of value: Pemegang nilai untuk masa akan datang, boleh dirujuk dan tidak kerap berubah. Pada masa sekarang, emas 1 gram boleh ditukar dengan 20 kg beras. Dalam tempoh 2 tahun ia masih boleh ditukar dengan 20 kg beras atau mungkin lebih. Begitulah fungsi wang. Sepatutnya dia masih boleh membeli dengan jumlah berat yang sama. Ianya memberikan kuasa beli pada masa akan datang.
3. Unit of account: Diperlukan untuk menentukan dan mengetahui nilai sesuatu barang. Bagaimana hendak menjual laptop sekiranya ada pembeli? Dengan mengikut saiz? Ataupun beratnya? Jadi kita perlukan suatu nilai kira-kira yang khusus yang boleh difahami oleh penjual dan pembeli. Contoh nilai yang boleh difahami ialah RM3,500.
Untuk memenuhi 3 fungsi di atas sebagai suatu bentuk duit yang berkesan maka ia perlukan 5 syarat berikut:
1. Standardizable: Nilai boleh ditentukan dengan mudah.
2. Diterima meluas: Mempunyai nilai tersendiri atau hasil penetapan undang-undang.
3. Divisible: Mempunyai nilai yang boleh dibahagi-bahagikan untuk proses pertukaran.
4. Mobile: Mudah dibawa ke mana-mana.
5. Stable and durable: Stabil, tidak mudah hancur, musnah atau hilang disebabkan oleh struktur bentuknya sendiri. Tidak seperti aiskrim, yang mana strukturnya tidak stabil dan mudah musnah.
Sejarah Penciptaan Wang
Bretton Woods
Untuk memahami hukum penggunaan wang, adalah perlu untuk mengetahui sejarah Bretton Woods. Ia adalah suatu persidangan antarabangsa selepas perang dunia kedua yang membincangkan cara terbaik untuk pulihkan ekonomi dunia yang meleset teruk akibat peperangan. Hasilnya, lahir bank dunia dan International Monetary Fund (IMF). Persidangan ini memperkenalkan mata wang kertas yang mempunyai nilai tukaran tetap (fixed exchange rate). Bagaimanakah caranya? Dollar Amerika (USD) diikat dengan 888.671 miligram emas. Kemudian mata wang negara lain diikat dengan nilai USD. Pihak kerajaan Amerika (AS) juga berjanji bahawa mana-mana pihak yang mempunyai USD maka boleh ditukar dengan emas sebenar. Persidangan Bretton Woods tahun 1944 ini membawa kepada kewujudan wang yang disandar dan diikat dengan emas. Ia dinamakan sebagai gold backed paper money (duit kertas yang didasari emas). Juga dikenali sebagai representative money kerana ia mewakili sejumlah emas dalam simpanan bank.
Pada tahun 1971, perjanjian ini dibatalkan! Puncanya? Jumlah emas fizikal di dalam simpanan, tidak cukup untuk menampung lambakan wang kertas di dalam pasaran. Kenapa terjadinya lambakan wang kertas? Pertamanya kerana AS buat Fractional Reserve System. Keduanya kerana kerajaan Perancis tuntut emas fizikal dengan membawa banyak wang kertas USD. AS jadi takut kerana emas fizikal terhad dan takut perbuatan Perancis ditiru kerajaan negara lain. Natijahnya AS akan dipenuhi dengan wang kertas tanpa nilai emas lagi.
Fractional Reserve System
Apakah itu Fractional Reserve System dan bagaimanakah wang kertas menjadi banyak dengan sebabnya? Fractional Reserve System ialah suatu sistem yang menetapkan pihak bank mesti kekalkan sebahagian daripada jumlah wang yang disimpan oleh pendeposit dan boleh gunakan baki untuk beri pinjaman kepada orang lain dengan alasan untuk galakkan perkembangan ekonomi. Fractional reserve requirement – jumlah minima wang simpanan yang bank wajib simpan.
Mata Wang Fiat
Bila perjanjian itu dibatalkan pada tahun 1971 maka muncullah fiat money (mata wang fiat) yang ada di poket kita hari ini. Ia adalah wang kertas yang tidak disandarkan pada sebarang emas atau perak. Ia bukan lagi representative money. Dikatakan bahawa mata wang fiat dicipta disebabkan emas tidak cukup untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi yang cepat. Lombong emas tidak dapat mengeluarkan emas dengan cepat. Jadi sekiranya kita bergantung kepada emas fizikal sahaja sudah tidak lagi berkesan. Sememangnya sekarang ini, mata wang fiat boleh dicetak oleh kerajaan berdasarkan kehendak mereka.
Penjelasannya:
Asas penciptaan wang sekarang hanyalah berdasarkan kehendak, kepercayaan dan keyakinan orang ramai pada nilainya. Jika semua orang tidak mahu mengiktiraf USD maka nilai USD akan menghadapi masalah, begitu juga dengan RM.
Nilainya juga ditentukan dengan keyakinan manusia kepada kerajaan yang mengeluarkannya mengikut suasana ekonomi dalam sesebuah negara. Sebab itu kalau kerajaan sesuka hati mencetak wang kertas fiat ianya tidak menjadikan kerajaan itu kaya bahkan nilai mata wangnya akan semakin jatuh.
Contohnya, apabila perang atau masalah ekonomi berlaku seperti di AS dan Eropah maka kerajaan akan cetak lebih banyak mata wang fiat untuk urusan peperangan atau kredit. Tetapi apabila dicetak dengan melampau sehingga melebihi perkembangan sebenar ekonomi dalam negara maka inflasi ataupun susut nilai mata wang akan terjadi. Jika dahulu dengan RM5 boleh beli ayam 1 kg tetapi selepas inflasi boleh beli ½ kg ayam sahaja. Jadi cetakan ini kena diseimbangkan dan dikawal supaya selaras dengan perkembangan industri dan perniagaan dalam negara.
Keadaan asal wang fiat yang dicipta dengan interest juga penyebab kepada inflasi. Sistem konvensional hari ini menganggap duit itu sebagai barang dagangan yang dapat menghasilkan keuntungan dengan sendirinya seperti rumah, petrol dan lain-lain apabila ianya dijual ataupun disewa. Kerana itulah mereka mengenakan faedah kepada peminjam. Ini amat bertentangan dengan Islam yang menghalalkan keuntungan melalui proses jual beli. Proses jual beli akan berikan ruang untuk pertumbuhan ekonomi, buka peluang pekerjaan dan ramai lagi pihak yang dapat manfaat daripada proses ini.
Inilah yang berlaku dan inilah asas wang fiat. Asalnya dicipta oleh bank negara. Kemudian diberi pinjam kepada bank-bank komersial yang lain dengan faedah. Ianya akan menyebabkan lambakan wang fiat dan jatuhnya nilai duit itu sendiri.
Hukum Mata Wang Fiat
Para ulama melihat adakah wang fiat ini sama seperti emas ataupun tidak?
Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa wang fiat ini:
- Tidak disandarkan kepada apa jua logam mulia. Ia tidak mempunyai nilai sendiri dan hanya bersandar pada kepercayaan dan tanggapan umum. Ia dilihat langsung tidak adil untuk orang-orang yang berusaha keras. Bayangkan individu yang berusaha keras dan berjaya mempunyai simpanan berbilion RM. Tiba-tiba akibat kepercayaan antarabangsa kepada RM jatuh, nilai dan kuasa beli yang dimiliki RM turut jatuh. Inilah proses hiper inflasi yang terjadi pada Zimbabwe sekarang. Jikalau individu yang berusaha keras tadi masih tidak tukarkan wang fiatnya yang tersimpan di bank kepada aset seperti emas, perak atau hartanah, sudah tentu nilai berbilion tadi akan jadi beberapa RM sahaja. Inilah yang terjadi pada negara kita apabila George Soros melambakkan RM sehingga jatuh nilainya dengan cepat.
- Dilahirkan bersama interest. Nilainya sentiasa mengecut akibat inflasi daripada sistem fractional reserve.
Perkara sebegini tidak akan terjadi jika mata wang kita berasaskan emas dan perak yang mempunyai nilai tersendiri. Ibnu Sina pernah berkata:
من حكمة الله في الحجرين وندورهما انها قيم لمكاسب الناس فلو حصل عليها بالصنعة لبطلت حكمة الله في ذلك وكثر وجودهما حتى لا يحصل احد من القتنائها على شيء
“Antara hikmah yang dikurniakan Allah pada dua jenis logam ini dan hikmah sukar untuk menemuinya adalah ia mampu untuk menjadi penyandar nilai usaha manusia (sebagai perolehan dan mata wang). Maka jika keduanya itu diperolehi dengan mudah (secara tidak hakiki seperti apa yang ada pada mata wang fiat) maka akan batallah hikmahnya dan banyaklah kewujudannya.“
Tamadun Islam tidak pernah menghadapi masalah inflasi yang teruk kerana emas dan perak sentiasa mendapat tempat di hati manusia. Jika berlaku sedikit inflasi pun hanyalah kerana wang-wang sampingan seperti fulus yang terlebih sebaran di pasaran.*
* Fulus adalah duit sampingan untuk transaksi yang kecil. Dibuat daripada bahan yang murah seperti campuran besi dan tembaga. Nilainya ditetapkan kerajaan.
Pendapat Ulama’
- Imam Asy-Syafie menolak sebarang qiyas terhadap emas dan perak. Tetapi ulama mazhab Asy-Syafie berpendapat masih boleh diqiyaskan jika mempunyai ‘illah athman (store value).
- Pendapat Dr Ali Qurrah Daghi bahawa fulus boleh disamakan dengan wang kertas fiat kerana kedua-duanya tiada nilai tersendiri.
Melalui persidangan dan mesyuarat Majlis Fiqh Antarabangsa 1986 mereka memutuskan:
بخصوص احكام العملات الورقية انها نقود اعتبارية فيها صفة ثمنية كاملة ولها الأحكام الشرعية المقررة للذهب والفضة من حيث احكام الربا والزكاة والسلم وسائر احكامها
“Berkenaan hukum wang kertas fiat, ia adalah nuqud pada hukumnya disebabkan terdapat sifat nilai harga yang lengkap. Oleh itu, semua hukum hakam yang ada pada emas dan perak jatuh pada wang kertas fiat seperti hukum berkaitan riba, kewajipan zakat, bai’ salam dan seluruh hukum emas dan perak.”
Ini bertepatan dengan pandangan Saiyidina Umar Al-Khattab. Beliau pernah berhasrat menjadikan kulit kerbau sebagai mata wang tetapi membatalkannya kerana bimbang akan ada orang yang pinjam-meminjam kerbau maka akan jatuh kepada riba.
- Imam Malik Bin Anas berkata: “Sekiranya orang ramai membenarkan sesama mereka untuk membentuk kulit menjadi wang maka aku akan larang ia dijual dengan emas dan perak secara bertangguh.”
- Jika kita lihat kembali kepada cara penciptaan mata wang fiat tadi, sudah tentu hukum penggunaannya adalah haram kerana cara penciptaannya. Namun disebabkan beberapa faktor berikut menyebabkan ianya harus:
1. Cengkaman ekonomi dunia di tangan pihak yang bukan Islam.
2. Ketiadaan alternatif seperti dinar emas dan sebagainya.
- Maka Majlis Fiqh Antarabangsa sepakat membenarkan penggunaannya dengan syarat mesti ikut disiplin yang sama dengan hukum emas dan perak. Ini kerana ia tetap menjalankan fungsi duit walaupun tidak sesempurna emas dan perak.
Sumber & Rujukan
Fahami Muamalat Seharian Anda