Susah Nak Terima Hakikat Negara Ada Hutang RM1.5 Trilion

mof

Saya sudah berkali-kali menulis berkenaan hutang negara ini. Jumlah RM 1.5 trilion ni adalah campuran hutang lansung dan juga jaminan ke atas hutang syarikat-syarikat yang memang tak cukup aliran tunai sendiri untuk membayar hutang mereka. Contohnya Prasarana.

Kerajaan sudah berkali-kali menjelaskan berkenaan kedudukan hutang ini di dalam tinjauan fiskal yang dikembarkan dengan bajet negara. Siap nyatakan senarai dan punca kuasa mengapa itu adalah tanggungan yang kerajaan tak boleh lari. Walaupun ada 3 kerajaan dalam tempoh 5 tahun, penjelasannya tetap sama.

Apakah kesannya ke atas kita?

Kesan lansung ialah bahagian belanjawan yang boleh diperuntukan untuk perkara lain berkurangan. Di dalam tahun 2023 ini sahaja, anggaran bayaran faedah/bunga/kos pembiayaan hutang kerajaan ialah RM 46 bilion. Tu belum masuk pokok hutang yang akan bertambah kerana perbelanjaan pembangunan yang hampir RM 100 bilion itu akan dibiayai sebahagian besarnya (jika tidak kesemuanya) melalui hutang.

Katakan kesemua perbelanjaan pembangunan tahun ini dibiayai melalui hutang dan kerajaan dikenakan kos 4% setahun, jumlah kos hutang tahun hadapan akan melebihi RM 50 bilion, bertambah RM 4 bilion.

Salah satu sebab mengapa kita menanggung hutang yang tinggi ialah pendapatan kerajaan tidak bertambah dengan banyak selari dengan peningkatan ekonomi. Malaysia ialah di antara negara yang mana nisbah pendapatan negara kepada KDNK yang kecil. Sebabnya mudah sahaja, mengurangkan cukai adalah mempopularkan. Tengoklah apa yang dibuat oleh kerajaan Sri Lanka sebelum mereka menghadapi krisis ekonomi yang teruk.

Satu lagi punca pertambahan hutang ialah subsidi. Peningkatan pendapatan dari harga petroleum yang tinggi tidak dapat digunakan kepada perkara-perkara lain termasuk pembayaran hutang kerana digunakan untuk membayar pelbagai jenis subsidi. Subsidi ni macam gula. Manis dan sedap untuk jangka pendek dan membawa penyakit kencing manis pada jangka panjang.

Bila negara menghadapi kekangan kewangan, nak tambah bilangan doktor pun susah. Sekarang ada di antara doktor kontrak yang nak mogok. Masalah bagi kerajaan ialah nak cari duit untuk membayar kos tambahan ini. Kerajaan tak boleh kira kos hari ini sahaja, kena kira kos di sepanjang perkhidmatan mereka dan jika mereka ada pencen, kena kira kos pencen dan pencen terbitan apabila mereka meninggal dunia kelak.

Saya ada mendengar penjelasan Perdana Menteri bahawa untuk mengambil 1,000 orang doktor secara sepenuh masa, kerajaan memerlukan peruntukan tahunan RM 3 bilion. Ini lebih kecil dari pertambahan kos hutang yang saya kira di atas. Maknanya, lagi tinggi kos hutang lagi ramai rakyat yang tidak boleh dipenuhi kehendak mereka.

Jika diperhatikan dari perbelanjaan mengurus yang berjumlah RM 290 bilion untuk tahun 2023, 60% darinya adalah bayaran gaji, pencen dan hutang. Tinggal 40% sahaja untuk bayaran-bayaran lain. Sekiranya pendapatan kerajaan tidak bertambah, bahagian ini akan menjadi lebih kecil di masa hadapan kerana gaji dan pencen pun akan terus meningkat. Akhirnya kualiti perkhidmatan kerajaan yang kita rasa akan terjejas.

Jadi, mahu tak mahu, kita kena menerima hakikat bahawa hutang kerajaan ini akan memberi kesan ke atas kita. Bagi yang dah tua dan berasa ini tak apa kerana mereka dah nak meninggal dunia, jangan lupa anak, cucu, cicit yang kita nak tinggalkan tu. Mereka akan menanggung kesan yang lebih besar.

Ketika Iblis menipu atok kita Nabi Adam AS, iblis membayangkan perkara yang buruk sebagai manis. Modus operandi ini berterusan sehingga kiamat, janji yang nampak elok hari ini, besok kau tanggunglah sendiri akibatnya.

Setiap hari di dalam Tiktok saya nampak orang-orang yang meniru kaedah ini. Cadangannya nampak macam baik tetapi kesan jangka panjang dia tak sebut. Saya harap mereka sedar bahawa mereka sebenarnya meniru modus operandi iblis yang Allah laknat itu.

Ada juga orang-orang yang mengambil sikap tidak mahu tahu masalah tetapi nak hasil yang bagus sahaja. Ni dah jadi macam burung Ostrich pula. Suka memasukkan kepala di dalam pasir. Bising-bising sahaja tak akan menyelesaikan masalah. Kena buat. Buat itulah yang orang tak hendak kerana berat dan terpaksa berkorban dari segi kualiti hidup dan juga menahan nafsu.

Mungkin dengan berkat bulan Ramadhan ini Allah SWT akan menyedarkan kita berkenaan keadaan kewangan negara dan menjadi lebih realistik di dalam meminta itu dan ini yang sebenarnya kita bayar samada melalui cukai atau pun kualiti kehidupan yang lebih mencabar.

– Nik Hasyudeen

5/5 - (1 vote)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *