Sama ada sedar atau tidak, mantik dengan pengertian umum telah digunakan oleh manusia dalam setiap lapangan kehidupan mereka seharian. Perkara ini tidak dapat disangkal lagi memandangkan manusia telah dianugerahkan akal oleh Allah SWT untuk berfikir. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa setiap perkara atau masalah yang berlaku dalam urusan duniawi perlu kepada mantik. Ini kerana, setiap perbuatan atau tindakan yang dilakukan oleh manusia asasnya adalah lahir daripada sebuah pemikiran. Pemikiran inilah yang menentukan setiap pemilihan dan keputusan manusia bagi menghadapi pelbagai urusan duniawi tersebut. Justeru, sebahagian orang didapati menggunakan mantik secara betul sehingga menatijahkan keputusan yang benar, manakala sebahagian lagi menggunakan mantik secara salah sehingga menghasilkan keputusan yang tidak benar.
Hal ini menunjukkan bahawa mantik telah menjadi sebuah alat yang penting kepada manusia bermula sejak mereka mencapai tahap kematangan akal lagi, atau disebut sebagai mumayyiz. Malah kesempurnaan akal turut menjadi salah satu syarat yang disepakai untuk seseorang mukallaf. Namun mantik yang dimaksudkan di sini adalah dengan pengertian khusus iaitu sebagai sebuah disiplin ilmu yang membahaskan kaedah-kaedah untuk berfikir secara tepat. Dalam hal ini, ilmu mantik didapati berjaya mempengaruhi pemikiran umat Islam dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, termasuklah ilmu-ilmu berkaitan pengajian Islam. Metode al-qiyas contohnya merupakan antara kaedah terpenting dalam ilmu mantik yang banyak digunakan untuk perbahasan akidah, fikah dan lain-lain.
Usul al-Fiqh
Metode al-qiyas ini boleh membantu umat Islam menguatkan hujah wahyu, di samping dapat dimanfaatkan bagi menangkis serangan musuh-musuh Islam yang turut menggunakan logik akal. Manakala dua metode lagi iaitu al-tamthil dan al-istiqra’ agak kurang digunakan berbanding al-qiyas. Oleh itu, ulama Usul al-Fiqh turut menggunakan kaedah al-qiyas dalam mengistinbatkan hukum-hakam fikah. Al-Shafi‘i (m. 204H) telah memasukkan penghujahan al-qiyas dalam ilmu Usul al-Fiqh sebagai elemen terpenting ketika berhadapan dengan permasalahan fikah yang tidak mempunyai dalil bersifat qat‘i daripada al-Quran dan hadis. Beliau juga didapati tidak membezakan antara ijtihad dengan al-qiyas kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang sama. Malah al-Shafi‘i turut dilaporkan menggunakan kaedah al-istiqra’ ketika mementukan tempoh haid dan nifas bagi seseorang wanita.
Sehubungan itu, ulama Usul al-Fiqh menetapkan sekurang-kurangnya dua tahap yang perlu dilalui sebelum berijtihad mengeluarkan hukum iaitu al-tasawwurat dan al-tasdiqat. Walau bagaimanapun, penggunaan mantik secara besar-besaran dalam ilmu fikah adalah dilakukan oleh al-Ghazali melalui karya Usul al-Fiqh beliau yang terkenal al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul. Melalui karya ini, beliau telah meletakkan kedudukan ilmu mantik sebagai mukaddimah kepada setiap ilmu. Kenyataan al-Ghazali ini walaupun disebutkan dalam karya Usul al-Fiqh, namun ia bukan dikhususkan untuk bidang fikah sahaja, sebaliknya merangkumi semua bidang ilmu yang berbentuk teoritikal. Bahkan ia turut dipersetujui oleh tokoh-tokoh mantik lain yang menyatakan bahawa ilmu mantik adalah sebuah metodologi, alat, neraca atau pengantar bagi setiap ilmu.
Disebabkan itu, terdapat ulama yang menetapkan bahawa penguasaan terhadap ilmu mantik merupakan salah satu syarat kelayakan untuk berijtihad. Namun Abu Zahrah didapati tidak bersetuju sepenuhnya dengan syarat ini, sekalipun beliau mengakui kelebihan dan keperluan ilmu mantik bagi seseorang mujtahid. Akan tetapi beliau mensyaratkan seorang mujtahid itu mesti menguasai metode al-qiyas dan memiliki daya fikiran yang tajam. Ini bermaksud, Abu Zahrah secara tersiratnya menerima peranan mantik dalam Usul al-Fiqh, apatah lagi beliau turut mengakui bahawa kaedah al-qiyas sememangnya bersandarkan kepada logik akal. Hal ini membuktikan bahawa ilmu mantik telah memberikan sumbangan berharga terhadap ilmu fikah.
Ilmu Akidah
Selain itu, pendalilan ‘aqli berdasarkan kaedah al-qiyas dalam ilmu mantik turut digunakan secara meluas dalam perbahasan ilmu akidah. Terdapat tiga elemen penting dalam al-qiyas al-mantiqi ini iaitu muqaddimah al-kubra, muqaddimah al-sughra dan al-natijah. Berdasarkan tiga elemen ini, al-qiyas dapat diketegorikan kepada dua bahagian. Pertamanya, berdasarkan aspek al-surah yang meliputi al-qiyas al-iqtirani dan al-qiyas al-istithna’i. Keduanya, berdasarkan aspek al-maddah yang meliputi al-burhan, al-jadal, al-khitabah, al-shi’r dan al-sufastah atau al-marfudah. Pembuktian akidah melalui kaedah al-qiyas hanya menerima jenis al-burhan sahaja kerana ia terdiri daripada muqaddimah bertaraf yakin yang diambil daripada salah satu sumber ilmu yakin yang telah ditetapkan.
Dalam hal ini, al-Ghazali menyenaraikan enam sumber ilmu yakin dalam membentuk sesuatu muqaddimah bagi al-qiyas iaitu al-hissiyyat atau al-fitriyyat, al-‘aql al-mahdah (al-‘aqliyyat) atau al-awwaliyyat, al-tawatur atau al-mutawatirat, al-asl mathbita bi qiyas akhr, al-sam‘iyyat dan al-asl ma’khwaza min ma’taqadat. Menetapkan muqaddimah yang yakin adalah sangat penting bagi menghasilkan suatu al-natijah yang benar dan tepat. Tanpa muqaddimah yang yakin, maka al-natijah yang dihasilkan adalah tidak benar serta tidak dapat dijadikan hujah. Malah lebih awal daripada itu al-Ash‘ari (m. 330H) telah menggunakan pendalilan mantik dalam akidah. Cumanya dalam konteks umat Islam hari ini, mantik al-qiyas banyak digunakan dalam wacana Sifat 20 sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Sanusi (m. 895H) melalui Umm al-Barahin.
Ilmu Kalam
Pada masa yang sama, mantik turut memasuki Ilmu Kalam memandangkan topik perbahasannya juga berkaitan akidah. Beberapa aliran pemikiran terlibat dalam perkara ini, namun paling menonjol adalah perselisihan antara Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah aliran Asha‘irah dan Maturidiyyah dengan aliran Mu‘tazilah. Mu‘tazilah yang mendapat sokongan pemerintah telah memperdaya dan memaksa umat Islam mengakui pegangan mereka terutamanya dalam isu kemakhlukan al-Quran. Sebagai tindak balas kepada Mu‘tazilah yang terlalu mengutamakan hujah akal, para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah turut menggunakan mantik bagi mempertahankan ajaran Islam. Walau bagaimanapun, sebagaimana dijelaskan, kemasukan ilmu mantik dalam Ilmu Kalam secara meluas dimulai oleh al-Ghazali, dan kemudiannya diikuti oleh tokoh-tokoh lain seperti al-Razi (m. 606H), al-Amidi (m. 631H), al-Baydawi (m. 691H) dan lain-lain.
Selain itu, ilmu mantik turut berperanan luas dalam disiplin ilmu lain seperti bahasa, matematik, pemikiran kritis dan sebagainya lagi. Dalam ilmu matematik contohnya, mantik digunakan secara meluas bagi menentukan nombor atau jumlah manakah yang lebih besar atau lebih kecil. Jika diandaikan a, b, dan c ialah nombor, akal akan memutuskan bahawa a lebih besar daripada b dan b lebih besar daripada c, maka a lebih besar daripada c. Keputusan yang dicapai bahawa a lebih besar daripada c merupakan penghujahan transitif mantik yang diterima oleh semua orang yang berakal sihat. Malah banyak pembuktian lain yang digunakan dalam matematik diambil dari kaedah al-istiqra’ mantik. Tetapi pengaruh ilmu mantik dalam matematik tidak menimbulkan polemik, memandangkan matematik tidak dikaitkan secara khusus sebagai ilmu agama.
Sumber
Muhammad Rashidi & Mohd Fauzi, “Kedudukan Ilmu Mantik dalam Pemikiran Islam,” Afkar Vol. 22 Issue 2 (2020): 1-42