Mengatasi Bebanan Hutang dengan Doa: Panduan Doa Lunas Hutang

hutang

Para fuqaha’ telah mendefinisikan hutang pada istilah syara’ sebagai ‘pemberian hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.’

Hutang seringkali menjadi beban yang amat berat dalam kehidupan seseorang. Ia bukan sahaja memberi tekanan kepada kewangan, tetapi juga boleh menggugat ketenangan hati dan jiwa. Namun, dengan usaha yang gigih dan doa yang ikhlas, termasuk doa bayar hutang, Allah SWT mampu mempermudahkan segala urusan, termasuklah dalam penyelesaian hutang. Dalam menghadapi masalah hutang, doa lunas hutang, doa hutang, dan doa langsai hutang merupakan amalan yang boleh dipraktikkan untuk meringankan beban tersebut. Dengan keikhlasan dan tawakal, insya-Allah, Allah akan membuka jalan keluar yang terbaik.

Berikut adalah beberapa amalan dan doa yang boleh dipraktikkan untuk meringankan beban hutang:

Doa yang Diajarkan Rasulullah untuk Meringankan Bebanan Hutang dan Murah Rezeki

Terbeban dengan hutang? Nah, Nabi ajarkan cara untuk menghilangkan keresahan melalui Hadis Riwayat Abu Daud 4/353:

  • Abu Said Al-Khudhri RA berkata: “Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke masjid. Tiba-tiba ada seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: ”Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat engkau sedang duduk (di masjid) di luar waktu solat?” Beliau menjawab: ”Aku resah memikirkan hutangku, wahai Rasulullah.” Beliau bertanya: ”Mahukah aku ajarkan kepadamu sebuah doa yang apabila engkau baca maka Allah taala akan menghilangkan keresahanmu dan melunasi hutangmu?” Dia menjawab: ”Sudah tentu ya Rasulullah.”

Beliau bersabda,”Jika engkau berada di waktu pagi mahupun petang, bacalah doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari perasaan resah dan sedih. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada Engkau dari belenggu hutang dan kekerasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.

Tak boleh membaca dengan lafaz Arab? Bahasa Melayu pun boleh.. Sungguh Allah itu Maha Mengerti.

  • Disebutkan dalam satu hadis daripada Ali ra, bahawa seorang hamba mukatab telah datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melangsaikan hutang perjanjian dengan tuan aku (perjanjian kitabah iaitu antara hamba dengan tuannya untuk pembebasan dirinya), maka tolonglah aku! Maka Saidina Ali ra berkata: “Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu doa yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada mereka. (Iaitu) Jika kamu dibebani hutang yang setinggi bukit, Allah akan selesaikannya untuk kamu? Saidina Ali berkata: “Katakanlah: 

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezekiMu yang halal (hingga aku terhindar) dari yang haram. Kayakanlah aku dengan AnugerahMu, (hingga aku tidak minta) kepada selainMu. [Riwayat al-Tirmizi]

  • Hadis ‘Aisyah R.Anha. Bahawa ‘Aisyah R.Anha memberitahu, bahawa Nabi SAW berdoa dalam solat sebelum salam:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah Dajjal, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.” Riwayat al-Bukhari (832) dan Muslim (129)

  • Daripada Suhail, beliau berkata: “Abu Soleh memerintahkan kepada kami apabila salah seorang di antara kami hendak tidur, hendaklah berbaring sebelah kanan kemudian mengucapkan:

اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ

Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menguasai langit ketujuh-tujuh langit, Tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan kepada segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, Tuhan yang menurunkan Taurat, Injil dan Furqan (Al-Quran). Aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada segala kejahatan sesuatu yang Engkau memegang rambut hadapannya (yakni semua makhluk dibawah kekuasaan Allah). Ya Allah! Engkau-lah yang awal, sebelum-Mu tidak ada sesuatu. Engkaulah yang terakhir, setelah-Mu tidak ada sesuatu. Engkau-lah yang Zahir, tidak ada sesuatu di atas-Mu. Engkau-lah yang Batin, tidak ada sesuatu yang terlepas daripada-Mu. Langsaikanlah hutang kami dan berilah kepada kami kekayaan hingga terlepas daripada kefakiran.” Riwayat Muslim (2713)

Amalan dan Cara Berdoa untuk Pembayaran Hutang yang Lancar :

1. Bersedekah

Sedekah adalah salah satu cara yang dianjurkan dalam Islam untuk memudahkan urusan dan meluaskan rezeki. Bahkan, sedekah boleh menjadi kunci kepada pembebasan dari kesulitan hidup, termasuk hutang.

Amalan:

  • Belilah Mushaf Al-Quran dan letakkan di masjid atau sertai program waqaf Al-Quran. Bayangkan berapa pahala yang akan kita dapat daripada setiap huruf.
  • Jika sekembali daripada permusafiran dan kita singgah solat di mana-mana R&R, tinggalkan dan waqafkan telekung atau sejadah yang telah kita gunakan.
  • Letakanlah sedikit makanan kucing dan semangkuk air di luar rumah untuk kucing-kucing yang datang.
  • Ketepikan sedikit dari duit gaji kita untuk diberikan pada mak ayah kita.
  • Sentiasa sediakan duit kecil dalam dompet atau beg tangan kita untuk diberikan kepada sesiapa yang memerlukan.
  • Sediakan tabung subuh di rumah. Selepas solat subuh ajar anak-anak untuk masukkan rm1 ke dalam tabung subuh. Apabila sudah penuh, sedekahkan duit itu pada masjid. 
  • Tinggalkan semua perbuatan dosa. Setiap kali jika kita terasa kita ada melakukan dosa, masukkan duit ke dalam satu tabung. Bila tabung dah penuh sedekahkan pada orang yang memerlukannya.
  • Apabila kita makan di restoran contohnya restoran mamak, pastikan kita cari mangsa atau target untuk kita belanja makan. Selepas dibayarkan bilnya, kita terus keluar tanpa perlu memberitahu orang yang kita belanja itu.
  • Jika kita dapat rezeki lebih, kita sponsor lah majlis makan-makan di surau atau di pusat tahfiz atau rumah anak yatim.
  • Kalau kita pergi stesen minyak atau pergi bank, kalau kita nampak penjual di kaki lima sedekahkanlah sikit duit 
  • Kalau kita pergi ke restoran untuk makan, apabila ada orang buta atau penjual buku, keropok, kitab atau cenderamata, datang ke meja kita, jangan herdik mereka. Hulurlah sedikit duit kepada mereka, kalau kita tidak mahu membeli apa-apa pun. Ingat, sesiapa saja yang datang ke meja kita, Allah SWT telah gerakkan hati mereka untuk menuju kepada kita agar kita membuat kebaikan.
  • Tanam pokok buah atau apa-apa contohnya daun pandan, daun kari di luar rumah. Kemudian waqafkan dan war-warkan kepada jiran.
  • Kalau ada program waqaf, jangan teragak-agak untuk sertai, samada waqaf untuk pembinaan masjid, surau atau sekolah tahfiz. 
  • Sertai mana-mana agensi yang membuat program waqaf pili atau pam air terutama di Kemboja. Jika tidak mampu, carilah kawan-kawan sekolah, adik-beradik atau jiran untuk sertai sekali.
  • Jika kita hadir dalam majlis ulangtahun atau hari keluarga belilah sekotak air mineral dan niatkan sedekah itu untuk ibu bapa kita atau guru-guru kita.
  • Set dalam handphone kita , tanda peringatan pada waktu-waktu tertentu untuk kita membaca surah Al-Fatihah atau Al-Ikhlas untuk kita hadiahkan kepada kedua ibu bapa kita, samada yang masih hidup atau telah meninggalkan dunia.

Sabda Rasulullah SAW:
“Sedekah itu dapat menghapuskan kesalahan sebagaimana air memadamkan api.”
(Hadis Riwayat Tirmizi)

2. Berzikir dan Beristighfar

Memperbanyakkan zikir dan istighfar adalah amalan yang sangat dianjurkan, terutama ketika kita merasa tertekan dengan masalah kewangan. Allah SWT berjanji akan memberikan jalan keluar bagi setiap kesulitan yang dihadapi oleh hamba-Nya yang bertakwa.

Amalan:

  • Lakukan zikir harian seperti “Subhanallah”, “Alhamdulillah”, dan “Allahu Akbar”.
  • Beristighfar (memohon ampun) dengan mengucapkan “Astaghfirullaha Rabbi min kulli dzambin wa atubu ilayh” sebanyak mungkin
  • Perbanyakkan istighfar. Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di hadapan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya, lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi : “Barangsiapa memperbanyakkan istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas)
  • Memperbanyak membaca zikir لا حول ولا قوة الا بالله Maksud: Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata. “Barangsiapa yang lambat datang rezekinya hendaklah banyak mengucapkan, ‘La hawla Wala Quwwata Illa billah'” (Riwayat At-Tabrani)
  • Berpagi-pagi. Berpagi-pagi iaitu selepas solat subuh berjemaah, kita meraih keberkatan pagi dengan membaca zikir pagi, ayat 33 dan membaca Al-Quran sama-sama di dalam #DailyQuran.
  • Baca Surah Al-Waqi’ah setiap malam. “Barangsiapa membaca Surah Al-Waqi’ah setiap malam maka tidak akan ditimpa kesempitan hidup.” (Riwayat Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman)
  • Banyakkan berselawat kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, kesulitan dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

Firman Allah SWT:
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan jalan keluar dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
(Surah At-Talaq, 65:2)

3. Berusaha dan Tawakal

Selain berdoa, kita juga perlu berusaha dengan penuh kesungguhan. Usahalah untuk mencari jalan keluar dengan berusaha menambah pendapatan atau mencari cara untuk mengurangkan beban hutang secara praktikal. Tetapi dalam usaha ini, jangan lupa untuk bertawakal kepada Allah.

Amalan:

  • Sentiasa berdoa dan berusaha untuk mencari penyelesaian terbaik dalam menghadapi masalah kewangan.
  • Bekerja keras, tetapi jangan biarkan tekanan hutang menguasai hidup kita.

Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah Al-Baqarah, 2:286)

4. Solat Dhuha

Solat Dhuha adalah solat sunat yang dilakukan di waktu pagi, antara selepas terbit matahari hingga sebelum masuk waktu Zohor. Ia adalah amalan yang sangat digalakkan untuk memperbanyakkan rezeki dan memudahkan segala urusan.

Amalan:

  • Lakukan solat Dhuha dua rak‘at setiap pagi, dengan penuh keikhlasan dan tawakal kepada Allah SWT.
  • Doa selepas solat Dhuha dapat dimulakan dengan memohon agar Allah memudahkan urusan kita, termasuklah dalam membayar hutang.
  • Jadikan sunat Dhuha wajib dan rutin seharian kita.

5. Amalan dan Petua lain

  • Sentiasa gembirakan hati orang atau menolong orang dengan kemampuan yang kita ada. Ringankan tangan kita untuk memberi bantuan kepada orang lain.
  • Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah melapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi, “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya.” (Riwayat Muslim)
  • Lemparkanlah senyuman kepada orang, berilah salam kepada orang dan berbicaralah dengan ucapan yang baik-baik sebab semuanya adalah sedekah.
  • Setiap kali hari ulangtahun kita, buatlah satu kebaikan yang jarang kita buat, contohnya kita cuci bilik air surau atau mengutip sampah di taman permainan perumahan kita.
  • Menyambung silaturahim. Nabi bersabda: “Barangsiapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari).
  • Banyakkan bersyukur. Sebagaimana firman Allah di dalam surah Ibrahim, ayat 7, bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”
  • Setiap malam, sebelum tidur, kita pastikan yang kita sudah memaafkan semua orang.

Penutup

Hutang adalah sebahagian ujian dalam kehidupan. Namun, dengan tawakal kepada Allah dan melaksanakan amalan-amalan yang disarankan, insya-Allah beban tersebut dapat dipermudahkan. Jangan lupa untuk terus berdoa, berusaha, dan sentiasa bersyukur atas apa yang kita miliki. Allah Maha Penyayang, dan Dia sentiasa membuka jalan bagi hamba-Nya yang beriman dan berusaha. Semoga Allah memberi kemudahan dan menyelesaikan segala kesulitan kita. Aamiin.

5/5 - (3 votes)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *