Hukum Nun Mati dan Tanwin

nun mati dan tanwin

Pengertian nun sakinah dan tanwin:

Nun Sakinah  النون الساكنة  ialah nun sukun yang tidak berbaris atau lebih dikenali sebagai nun mati. Suara hurufnya keluar dari pangkal hidung dan menghasilkan bunyi dengung.

Tanwin  التنوين ialah baris dua sama ada baris dua di atas (fathatan), baris dua dibawah (kasratan), atau baris dua di hadapan (dhommatan).

Tanwin menghasikan suara nun sakinah walaupun nun tersebut tidak kelihatan pada tulisan.

Sebagai contoh:

Alif yang berbaris fathatan sama bunyinya dengan alif fathah berserta nun Sakinah:

اً – اَنْ

Alif yang berbaris kasratan sama bunyinya dengan alif kasrah berserta nun Sakinah:

اٍ – اِنْ

Alif yang berbaris dhommatan sama bunyinya dengan alif dhommah berserta nun Sakinah:

اٌ – اُنْ

Terdapat empat hukum bagi nun sakinah dan tanwin apabila bertemu huruf-huruf abjad dalam al-Quran iaitu:

1) IZHAR HALQI –  الإظهار الحلقي

Izhar bererti jelas atau nyata. Halqi pula bererti kerongkong. Dari segi istilah, izhar bermaksud melafazkan nun sakinah dengan jelas tanpa dengung.

Terdapat 6 huruf izhar halqi kesemuanya, iaitu:  

 أ ه ع ح غ خ

Izhar bermaksud menjelaskan atau menzahirkan, oleh itu hendaklah dizahirkan sebutan nun sakinah dan tanwin tanpa mendengungkannya.

Hujung lidah ditekan ke gusi depan sebelah atas (makhraj huruf ن) dan membawa suara ke pangkal hidung sekadar untuk mera’ikan sifat tawassut. Hendaklah berhati-hati agar tidak berlaku saktah

Huruf-huruf Izhar Halqi ini terhimpun dalam rangkai kata: 

أَغْحٍ خَعَهُ

Izhar Halqi dapat dikenali dengan melihat nun mati yang mempunyai tanda sukun di atasnya dan tanwin yang selari : 

ــًــ , ــٍــ , ــٌــ نْ

Contohnya:

وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ  – فَإِنْ عُدْنَا فَإِنَّا ظَالِمُونَ  – إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ- وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا  – وَكَانُوا يَنْحِتُونَ مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا آمِنِينَ

Izhar Mutlaq
Ia berlaku apabila nun mati bertemu dengan huruf-huruf Idgham Maal Ghunnah di dalam satu perkataan. Cara bacaannya hendaklah dijelaskan sebutan nun mati tersebut, tanpa didengungkan.

Terdapat 4 perkataan sahaja yang menggunakan kaedah bacaan Izhar Mutlak di dalam Mushaf (Al-Qur’an):

ٱلدُّنۡيَاۖ    –   قِنۡوَان   –  صِنۡوَانٞ  –  بُنۡيَٰنَهُۥ

Tanda sukun di atas nun sakinah menunjukkan bahawa nun tersebut hendaklah dijelaskan sebutannya.

2) IDGHAM –  الإدغام

Idgham bererti menggabungkan. Dari segi istilah, Idgham bermaksud menggabungkan suara huruf yang sukun ke dalam huruf yang berbaris.

Enam huruf kesemuanya iaitu:  

ي و  م ن ل ر

Huruf-huruf Idgham ini dihimpunkan dalam rangkai kata:  

يَرْمَلُوْنَ

Idgham terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

  • Idgham Maal Ghunnah.  إدغام مع الغنة

Idgham Maal Ghunnah bermaksud menggabungkan suara huruf yang sukun ke dalam huruf yang berbaris berserta dengung.

Digabungkan bacaan nun ke dalam huruf selepasnya dengan didengungkan.

Empat dari huruf idgham yang enam itu, iaitu: ي ن م و terhimpun dalam rangkai kata: 

يَنْمُوْ

Apabila nun Sakinah atau tanwin bertemu huruf-huruf ini maka hendaklah digabungkan bacaan nun itu ke dalam huruf selepasnya kemudian didengungkan.

Contohnya:

 تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ – فَقَالُوا أَبَشَرٌ يَهْدُونَنَا   عَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَنِي بِهِمْ جَمِيعًا –    مِّن وَرَائِهِ جَهَنَّمُ – كُلٌّ يَجْرِي لأَجَلٍ مُسَمًّى

  • Idgham Bila Ghunnah. إدغام بلا غنة

Menggabungkan suara huruf yang sukun ke dalam huruf yang berbaris tanpa dengung.

Dua dari enam huruf idgham iaitu: 

ل , ر

Cara membaca Idgham Bila ghunnah ialah dengan menggabungkan suara nun ke dalam huruf selepasnya, tanpa didengungkan.

Digabungkan bacaan nun ke dalam huruf selepasnya tanpa dengung. Pastikan suara huruf ra’ atau lam tidak dipanjangkan untuk mengelakkan suara dengung.

Contohnya:

وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِ – فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ

Idgham ini boleh dikenali dengan melihat ia tidak mempunyai sebarang tanda mati diatas nun dan tanwin pula tidak selari:

 ــًــ , ــٍــ , ــٌــ ن

Idgham Kamil (sempurna) berlaku apabila bertemu dengan huruf ن م ﺮ dan kerana tiada kesan suara nun yang sukun ketika menyebutnya dan yang jelas kedengaran adalah suara huruf-huruf idgham itu. Tanda sabdu di atas huruf ن م ﺮ dan menunjukkan hukum idgham kamil.

Idgham Naqis (tidak sempurna) pula berlaku bertemu dengan huruf ي dan و kerana masih meninggalkan sedikit kesan huruf nun yang sukun iaitu dengan mengeluarkan sedikit suara dari rongga hidung. Perhatikan tiada tanda sabdu di atas huruf ي dan و.

3) IQLAB – الإِقلاب

Dari segi bahasa, Iqlab bererti tukar. dari segi istilah pula Iqlab bererti menukarkan sebutan nun sakinah atau tanwin kepada mim م dengan menjaga Ikhfa dan dengung.

Sebutan hendaklah didengungkan dengan merapatkan dua bibir.

Satu saja iaitu: ب

Apabila nun Sakinah atau tanwin bertemu dengan huruf ب , maka hendaklah ditukarkan sebutan nun kepada suara mim secara Ikhfa berserta dengung.

Contohnya:

فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ – وَ یَسْتَنْۢبِــٴُـوْنَكَ اَحَقٌّ هُوَ 

4) IKHFA – الإخفاء الحقيقي

Dari segi bahasa Ikhfa bererti sembunyi. Hakiki bererti berlaku dengan sebenar-benarnya. Dari segi istilah pula Ikhfa bermaksud membuat sebutan pertengahan di antara sebutan Izhar dan sebutan Idgham berserta dengung.

Meletakkan lidah berhampiran dengan makhraj huruf yang berikutnya; sebahagian besar suara didengungkan dan sebahagian kecil suara keluar daripada mulut. Melainkan huruf ك dan ق yang didengungkan sepenuhnya kerana makhraj kedua huruf tersebut tertutup rapat.

Hendaklah dipastikan tiada sebarang unsur idgham pada sebutan dan jangan dipanjangkan sebutan nun sakinah tersebut.

Lafaz ikhfa’ yang fasih akan menghasilkan bunyi dengung yang berbeza mengikut makhraj huruf yang berikutnya dan pendengar dapat mengetahui apakah huruf yang bakal disebut.

15 huruf selain 6 huruf Izhar, 6 huruf Idgham dan 1huruf Iqlab iaitu:  

ت ث ج  د ذ ز س ش ص ض ط ظ ف ق ك

Huruf Ikhfa Hakiki berjumlah 15 itu terhimpun dalam rangkai kata:

سَتُجْزَصَدَّكَ فَثِقْ ضَطَظٍ شَذَ

Ikhfa boleh dikenali dengan melihat ia tidak mempunyai sebarang tanda mati diatas nun dan tanwin pula tidak selari: 

   ــًــ , ــٍــ , ــٌـ ن

Contohnya:

  فَأَنجَاهُ اللَّهُ مِنَ النَّارِ – فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَّنثُورًا – يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا – وَجَنَّٰتٌ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ- قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا – ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِن سُلَالَةٍ 

Ikhfa adalah sebutan pertengahan di antara izhar (jelas) dan Idgham (gabung) iaitu menyamarkan sebutan Nun. Apabila nun sakinah atau tanwin bertemu 15 huruf Ikhfa, maka hendaklah didengungkan nun tanpa menzahirkannya atau menggabungkannya dengan huruf selepasnya.

Hujung lidah hendaklah dikawal dari menyentuh gusi depan sebelah atas kerana jika ia menyentuh gusi, ini akan menyebabkan nun itu dilafaz sama seperti cara sebutan Izhar Halqi yang didengungkan secara izhar.

Hendaklah juga dipastikan tiada unsur gabungan nun dengan huruf selepasnya terutama pada nun yang bertemu huruf ش , ك , ف , ذ , ث kerana ikhfa bukan menghampirkan sebutan nun kepada huruf selepasnya tetapi ia adalah sebutan pertengahan antara izhar dan idgham.

Dengung ikhfa’ itu adalah sekadar dua harakaat dan ia ada dua cara iaitu :

Tafkhim:
iaitu menebalkan dengung apabila nun bertemu huruf ikhfa’ yang terdiri dari huruf-huruf Isti’la iaitu ص , ض , ط , ظ , ق .

Tarqiq:
iaitu meringankan dengung apabila nun bertemu huruf-huruf ikhfa’ yang Istifal selain dari huruf Isti’la di atas tadi.

nun mati dan tanwin
nun mati dan tanwin
nun mati dan tanwin


5/5 - (7 votes)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *