Air yang boleh digunakan untuk Bersuci

air mutlak

المياه التي يتطهر بها

Perkataan al-Miyah (المياه) ialah kata jamak bagi perkataan al-Ma’ (الماء) yang bermaksud air. Manakala air ini meliputi segala jenis air seperti air hujan, air laut, air sungai, air perigi, air mata air, air salji.

Pengertian air ini terhimpun dalam ungkapan para fuqaha’ iaitu “segala yang turun dari langit atau terpancar dari bumi”. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً طَهُورًا

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dari langit air yang suci” (Surah Al-Furqan: 48)

Firman Allah SWT juga di dalam ayat yang lain:

وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ

Maksudnya: “Dan Allah menurunkan ke atas kamu air dari langit untuk menyucikan kamu dengannya” (Surah Al-Anfal: 11)

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa beliau berkata, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

 يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا نَرْكَبُ الْبَحْرَ وَنَحْمِلُ مَعَنَا الْقَلِيلَ مِنَ الْمَاءِ فَإِنْ تَوَضَّأْنَا بِهِ عَطِشْنَا أَفَنَتَوَضَّأُ مِنْ مَاءِ الْبَحْرِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ الْحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami menaiki kapal di lautan dan kami membawa bersama kami sedikit air, jika kami berwuduk menggunakan air tersebut maka kami akan merasa dahaga kerana ketiadaan air untuk diminum. Adakah boleh kami berwuduk menggunakan air laut? Rasulullah SAW menjawab: Laut adalah bersih airnya dan halal haiwan yang mati di dalamnya.” 

Hadis ini menunjukkan air laut itu bersih dan haiwan yang terdapat di dalamnya adalah halal dimakan walaupun tanpa disembelih menurut hukum syarak.

Contoh-contoh lain bagi air ialah air sungai, air laut, air mata air, air perigi, air hujan, air lembah, air salji, air batu serta sumber air yang disalurkan ke setiap rumah kediaman pada masa kini.

Air dan Jenis-jenisnya

Terdapat tiga bahagian air iaitu:

  • Air yang suci lagi menyucikan
  • Air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan
  • Air yang bernajis.

Setiap bahagian air ini mempunyai hukumnya yang tersendiri.

1 – Air Yang Suci Lagi Menyucikan – (Air Mutlak)

Ialah air mutlak yang kekal dengan sifat asal kejadiannya sebagaimana yang dijadikankan oleh Allah SWT, sama ada ia tawar atau masin, ia tidak berubah dengan sesuatu bahan asing dari sifat semulajadinya, ia bukan air yang telah digunakan untuk mengambil wuduk atau mandi wajib atau menghilangkan najis, ia tidak bercampur dengan sebarang cecair suci yang lain.

Jika air ini berubah pada warna, bau dan rasanya disebabkan terbiar lama ataupun kerana bercampur dengan tanah, lumut, belerang dan sesuatu yang sukar untuk dielakkan, maka ia tetap suci lagi menyucikan.

Adapun, apabila air ini digunakan untuk mengambil wuduk, mandi, menghilangkan najis maka ia tidak lagi suci dan menyucikan, tetapi ia termasuk dalam kategori air jenis kedua dan ketiga yang berikutnya.

Begitu juga jika air ini bercampur dengan sesuatu bahan cecair yang suci sehingga mengubah nama asalnya, maka ia tidak lagi suci dan menyucikan, contohnya seperti air mawar, air baqilla, air za’faran (koma-koma) dan semua jenis cecair yang diperah.

Sekiranya air terpelihara dari bahan-bahan yang boleh mengubah sifatnya maka ia dipanggil air mutlak iaitu air yang kekal atas namanya tanpa terikat dengan sesuatu, dan ia adalah suci lagi menyucikan yang merupakan syarat untuk mengangkat hadas dan najis, dan menggunakannya adalah harus.

Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlak ialah hadith. Daripada Abu Hurairah RA katanya:

بَال أَعْرَابيٌّ في المسجِد، فَقَامَ النَّاسُ إِلَيْه لِيَقَعُوا فِيهِ، فَقَالَ النبيُّ ﷺ: دَعُوهُ وَأَرِيقُوا عَلى بَوْلِهِ سَجْلاً مِنْ مَاءٍ، أَوْ ذَنُوباً مِن مَاءٍ، فَإِنَّما بُعِثتُم مُيَسِّرِينَ ولَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Maksudnya: “Seorang Badwi berdiri lalu kencing di dalam masjid kemudian para sahabat pergi mencegahņya. Lantas Rasulullah SAW bersabda: Biarkan dia dan curahkanlah di atas air kencingnya setimba air. Sesungguhnya kamu dibangkitkan untuk memudahkan, bukan menyusahkan.”

Akan tetapi adakalanya air mutlak ini hukumnya berubah kerana sesuatu sebab yang mendatang. Oleh itu, penggunaan air itu sendiri adalah haram seperti air yang dicuri dan dirampas, walau bagaimanapun ia tetap boleh mengangkat hadas dan menghilangkan najis.

Air Musyammas

Adalah makruh menggunakan air musyammas pada tubuh badan, jika air tersebut terbiar di dalam bekas yang dibuat dari logam selain dari emas dan perak di bawah panas terik matahari. Logam tersebut seperti besi, tembaga dan semua jenis logam yang boleh dibentuk. Ini kerana kepanasan matahari boleh memisahkan dari logam tersebut benda seperti minyak busuk yang terapung di atas air dan ia boleh memudaratkan badan serta mewariskan penyakit sopak.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Aisyah R.Anha setelah Aisyah memanaskan air menggunakan cahaya matahari:

يا حميراء لا تفعلى هذا فإنه يورث البرص

Maksudnya: “Wahai Humaira (Aisyah), jangan lakukan seperti ini kerana sesungguhnya ia akan mewarisi penyakit sopak.”

Umar bin al-Khattab RA mengatakan makruh menggunakannya untuk mandi sekalipun ia sah dijadikan air untuk berwuduk.

Imam Nawawi pula memutuskan tidak makruh menggunakan air musyammas kerana tiada asal dan sebab kemakruhannya, juga tiada kenyataan dari para doktor tentang kemudaratan menggunakannya. Ini adalah bertepatan dengan keumuman dalil-dalil dalam perkara ini dan bertepatan dengan pendapat Imam Syafi’i Rahimahullah sendiri.

Adapun air yang dipanaskan bukan dengan panas matahari maka tidak makruh menggunakannya dengan sepakat para ulama.

2- Air Yang Suci Tetapi Tidak Boleh Menyucikan – (Air Mustakmal)

Air jenis ini merangkumi tiga bahagian:

  • i) Air sedikit yang telah digunakan untuk basuhan wajib ketika bersuci seperti wuduk, mandi, dan ia adalah suci tetapi tidak boleh menyucikan.

Dalil yang menyatakan kesucian air ini adalah bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA yang menceritakan:

جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا مَرِيضٌ لاَ أَعْقِلُ فَتَوَضَّأَ وَصَبَّ عَلَيَّ مِنْ وَضُوئِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah datang menziarahiku ketika aku sakit tidak sedarkan diri, lalu Baginda mengambil wuduk dan Baginda mencurahkan air wuduk Baginda ke atasku.

Sekiranya air yang telah digunakan untuk berwuduk itu tidak suci nescaya Rasulullah SAW tidak akan mencurahkannya ke atas beliau. Para salafus soleh juga tidak berhati-hati dari titisan air yang menitis semasa berwuduk yang jatuh terkena pada anggota badan dan pakaian mereka.

Manakala dalil yang menunjukkan air ini tidak boleh menyucikan pula adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يَغْتَسِلْ أَحَدُكُمْ فِي الْمَاءِ الدَّائِمِ وَهُوَ جُنُبٌ فَقَالَ كَيْفَ يَفْعَلُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟ قَالَ َتَنَاوَلُهُ تَنَاوُلًا

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang bertakung sedang ia berjunub. Para sahabat bertanya: Wahai Abu Hurairah bagaimana dia perlu lakukannya ? Abu Hurairah RA berkata: Hendaklah dia mencedoknya”.

Justeru itu, mandi di dalamnya menyebabkannya terkeluar dari sifat yang menyucikan. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW melarang mandi di dalam air tenang yang tidak mengalir dan mengambil wuduk juga sama seperti mandi. Hal ini adalah khusus bagi air yang sedikit dan tidak mengalir.

Alasan yang menyebabkan air mustakmal tidak boleh digunakan adalah kerana ia bukannya tergolong dari jenis air mutlak. Manakala dari sudut pengabdian kepada Allah SWT air tersebut mengalirkan dosa daripada bahagian anggota wuduk dari basuhan tersebut.

Begitu juga air mustakmal yang telah digunakan untuk mengangkat hadas, ia juga tidak dapat menghilangkan najis.

Yang dikatakan air Musta’amal pada mengangkatkan hadas ialah basuh kali yang pertama pada mandi atau wudhu’ yang wajib dan sudah bercerai daripada anggota. Yang dikatakan air Musta’amal pada menghilangkan najis iaitu jika air itu tidak berubah dan tidak bertambah.

  • ii) Air mutlak yang bercampur dengan sesuatu bahan yang suci, dan bahan tersebut tidak boleh dipisahkan setelah bercampur, ia menyebabkan air tersebut tidak lagi dinamakan air mutlak, kebiasaannya boleh dielakkan, air ini adalah suci pada dirinya tetapi tidak boleh menyucikan, seperti air yang bercampur dengan za’faran, kapur. Begitu juga air yang mengalami perubahan ketara seperti air teh, ‘arqasus, kerana ia tidak lagi dinamakan air mutlak.

Begitu juga air yang banyak atau sedikit apabila bercampur dengan cecair yang sama dengan sifatnya, lalu ia mengubah sifat, rasa dan baunya. Maka air tersebut juga adalah suci tetapi tidak boleh menyucikan.

Air yang termasuk dalam kategori ini harus digunakan dalam apa jua keadaan kecuali untuk bersuci dari hadas atau menghilangkan najis.

Air yang berubah ada dua cara :-

  1. Berubah dengan Taqdiri – Air yang berubah dengan Taqdiri iaitu air yang berubah hanya pada Taqdir sahaja yang tidak dapat dilihat akan perubahannya.
  2. Berubah dengan Hissi – Air yang berubah pada Hissi iaitu berubah air itu dengan sesuatu yang dapat dilihat akan perubahannya.

Cara mentaqdirkan hukum air yang bercampur dengan sesuatu yang sama rupanya dengan seperti air mawar yang telah hilang bau, rasa dan warnanya.

Pada bau hendaklah ditaqdirkan dengan bau kemenyan Arab.
Pada rasa hendaklah ditaqdirkan dengan rasa delima.
Pada warna hendaklah ditaqdirkan dengan warna anggur.

Jika berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air musta’amal dan jika tidak berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air mutlak.

Air yang bercampur itu ada dua cara :-

  1. Majawir – Bercampur dengan cara Mujawir iaitu air yang berubah dengan sebab termasuk di dalamnya dengan sesuatu yang dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air termasuk di dalamnya sebatang kayu cendana dan kayu itu boleh dipisahkan daripada air tersebut, maka hukum air itu ialah air mutlak.
  2. Mukhalit – Bercampur dengan cara Mukhalit iaitu benda yang masuk ke dalam air itu tidak dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air maka termasuk ke dalamnya nila maka dihukumnya air Musta’amal.
  • iii) Cecair lain seperti cuka dan nabiz- jus rendaman buah-buahan, air dalam bentuk ini adalah suci tetapi tidak boleh menyucikan serta tidak boleh digunakan untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis. Maksud nabiz disini ialah air yang direndam/peram dengan buah-buahan sehingga rasa buah tersebut meresap ke dalam air, seperti buah kurma, kismis dan aprikot. Peraman di sini tidak sama seperti nabiz khamar yang menggunakan anggur untuk dijadikan arak, hukumnya berlainan.

Air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya (warna, rasa dan bau) menyebabkan ia tidak dipanggil air mutlaq lagi seperti air yang dicampur dengan madu, sirap dan lain-lain. Ini dinamakan Air Muqayyad.

3- Air Bernajis – (Air Mutanajjis)

Air bernajis ialah air yang terjatuh najis di dalamnya. Air pada asalnya adalah suci. Namun, apabila air ini terjatuh di dalamnya najis, sehingga mengubah warna, rasa dan baunya maka ia menjadi najis. Hal ini berdasarkan pada sabda Rasulullah SAW:

الْمَاءُ طَهُورٌ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ  إِلاَّ مَا غَيَّرَ لَوْنَهُ أَوْ طَعْمَهُ أَوْ رِيحَهُ

Maksudnya: “Air itu suci bersih , tiada sesuatu boleh menjadikan ia najis selagi mana rasa dan baunya tidah berubah”. Para ulama mengkiaskan warna juga termasuk dari aspek rasa dan baunya.

Sekiranya terjatuh najis di dalam air tetapi ia tidak mengubah rasa, warna dan baunya, maka ia hendaklah dibezakan dengan dua keadaan:

Keadaan Pertama:

Apabila air yang sedikit menjadi najis dengan sebab terjatuh najis di dalamnya, sama ada najis itu banyak atau pun sedikit. Contohnya, percikan air kencing dan najis selainnya, sama ada air itu mengalir atau bertakung.

Dapat difahami air yang kurang daripada dua qullah menjadi najis walaupun tidak berubah sifat-sifatnya Kefahaman ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ؛ فَلاَ يَغْمِسْ يَدَهُ فِي الإِنَاءِ حَتَّى يَغْسِلَهَا ثَلاَثًا؛ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لاَ يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu bangun daripada ridur. janganlah dia mencelup tanganya di dalam bekas air, sehinggalah dia membasuh tanganya dahulu sebanyak tiga kali. Ini kerana dia tidak mengetahui tangannya di mana diletakkan.” Riwayat: Muslim (78)

Rasulullah SAW melarang orang yang bangun daripada tidur mencelup tangannya ke dalam bekas berisi air kerana dikhuatiri tangannya dicemari najis yang tidak kelihatan. Sudah sedia maklum bahawa najis yang tidak kelihatan tidak akan mengubah keadaan air. Oleh itu jika tindakan tersebut tidak menajiskan air disebabkan menyentuhnya, Rasulullah SAW tidak akan melarang daripada berbuat demikian.

Keadaan Kedua:

Apabila air tersebut banyak dan terjatuh ke dalamnya najis. Air itu tidak berubah salah satu sifatnya dari segi warna bau dan rasa, maka ia tidak menjadi najis, ia kekal dalam keadaan suci.

Kadar yang membezakan antara sedikit dan banyaknya air tersebut ialah seperti yang dijelaskan oleh Baginda SAW sebagai Qullatain iaitu dua kolah sebagaimana sabda Baginda SAW:

إذا بلغ الماء قلتين فإنه لا يحمل الخبث

Maksudnya: “Apabila air itu mencukupi dua kolah, maka ia tidak menanggung najis.

Manakala di dalam lafaz hadis yang lain:

لم يُنَجِّسْهُ شئ

Maksudnya: “Tidak menjadi najis oleh sesuatu pun.”

Dalilnya ialah ijma’ para ulama. Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Majmu’, Ibn Munzir berkata: “Ulama telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila najis jatuh ke dalamnya dan berubah sama ada rasa, warna atau bau, air itu menjadi najis.

Ini kerana air yang sedikit boleh dipelihara dari terkena najis di dalam bekas dan bejana, manakala air yang banyak sukar dipelihara dari terkena najis. Oleh itu sukatan dua kolah menjadi kadar yang menentukan sama ada air tersebut sedikit atau banyak.

Sukatan air dua kolah adalah lebih kurang 200 kg air atau bersamaan 200 liter. Ada yang menganggar sukatannya lebih kurang 204 kg dan ada pula yang menyebutnya 192.85 kg. Semua ini adalah anggaran secara lebih kurang dan jika sukatannya terkurang sedikit maka ia tidak menjejaskan apa-apa.

Sekiranya najis tidak dapat dilihat oleh mata kasar seperti debu baja, maka ia tidak menjadikan air bernajis. Begitu juga jika najis yang mengenai air tersebut terdiri daripada bangkai binatang yang tidak mengalir darahnya seperti lalat, ia juga tidak menukarkan air itu menjadi air yang bernajis.

Berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

إِذا وقع الذبابُ فِي إِناءِ أحدِكُمْ فلْيمْقُلْهُ، فإنَّ في أحدِ جناحيْهِ داءً، وفي الآخرِ شِفاءً

Maksudnya: “Apabila lalat terjatuh ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka hendaklah kamu selamkannya kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan salah satu lagi terdapat penawarnya”.

Melainkan jika najis tersebut banyak dan mampu mengubah air tersebut, maka air itu adalah bernajis.

Air yang bernajis tidak sah untuk bersuci sebarang kegunaan. Maka tidak sah juga untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis dengannya.

Jika air yang bernajis berubah dengan sendiri secara semula jadi, maka ia menjadi suci. Jika ia berubah setelah dicampur dengan tanah, kapur atau selainnya maka ia tidak dianggap suci.

Rujukan
al-Mu’tamad
al-Fiqh al-Manhaji

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *