Defisit Kerajaan

ekonomi

1. Defisit sebenarnya bukanlah satu isu yang besar seandainya hutang terkumpul kerajaan tidak tinggi. Malangnya, kedudukan defisit kerajaan sejak 10 tahun lalu sudah banyak berubah. Pada hari ini, hutang kerajaan sudah pun melepasi RM 1 trillion.

2. Hutang lebih RM 1 trillion ini adalah hutang terkumpul. Hutang terkumpul ini cuma boleh dikurangkan dengan satu cara, iaitu jika belanjawan kerajaan surplus. Selagi defisit setiap tahun, walau pun peratusannya sedikit, jumlah hutang terkumpul ini akan terus meningkat.

3. Tapi untuk belanjawan kerajaan bergerak ke arah surplus, defisit perlu diturunkan dengan berperingkat. Adalah bahaya jika defisit diturunkan secara mendadak. Ia bermakna kerajaan perlu memotong perbelanjaan dengan sangat drastik dan ini boleh bagi kesan yang tak baik kepada pertumbuhan ekonomi.

4. Cara yang paling baik ialah kurangkan defisit setiap tahun secara perlahan-lahan. Sebab itulah perancangan kerajaan pada hari ini sedemikian rupa. Dari 5.6 peratus pada 2022 kepada 4.9 peratus pada 2023 dan 4.3 peratus pada 2024.

5. Satu lagi alasan kenapa kerajaan perlu kurangkan defisit ialah berkaitan dengan kadar faedah (kos meminjam). Defisit yang tak terkawal boleh menyebabkan penarafan kredit terhadap bon kerajaan jatuh. Kejatuhan penarafan ini bermaksud kerajaan perlu membayar kadar faedah yang lebih tinggi pada masa hadapan untuk membuat pinjaman.

6. Keadaan ini adalah tak sustainable dan bahaya pada masa depan. Tak mustahil jika defisit semakin memburuk dan jumlah hutang terkumpul kerajaan semakin meningkat, kita terpaksa meminjam dari IMF seperti mana negara-negara lain yang ada masalah hutang.

7. Sebelum keadaan ini berlaku, ada baiknya kita buat sesuatu terhadap defisit dan hutang kerajaan.

8. Dalam proses mengurangkan defisit ini, kerajaan terpaksa melaksanakan langkah tak popular. Antara langkah tak popular ialah kurangkan subsidi. Sebenarnya, subsidi pun bukanlah satu isu jika kedudukannya dalam perbelanjaan kerajaan tidak tinggi, iaitu sekitar RM 20-RM30 billion setahun.

9. Akan tetapi, malangnya perbelanjaan subsidi sudah meningkat dengan drastik sekali iaitu hampir RM 80 billion secara mendadak pada tahun 2022. Pada 2023, jumlah keseluruhan subsidi bakal naik lagi kepada RM 81 billion. Jika tak dikawal, saya nampak bahawa subsidi ini boleh dengan mudah pergi ke RM 90 billion.

10. Ia bermakna, walau berlaku kenaikan di dalam hasil kerajaan, jika subsidi tak dikawal, kenaikan dalam hasil kerajaan itu pun akhirnya akan di offset oleh kenaikan dalam subsidi. Maka proses untuk menurunkan defisit itu tidak akan nampak efektif.

11. Sudah tentu salah satu cara yang baik bagi kerajaan untuk naikkan hasil ialah GST. Akan tetapi kenaikan hasil dalam GST pun tak bermakna jika perbelanjaan subsidi terus meningkat.

12. Oleh itu, cara yang paling baik ialah melaksana GST dan pada masa yang sama rasionalisasi subsidi. Hanya dengan cara itu, kita bakal nampak defisit kerajaan diturunkan dengan ketara sekali.

13. Walau apa pun hujahnya, subsidi bukanlah untuk orang kaya dan orang asing seperti mana yang dibuat sekarang. Subsidi adalah wang kerajaan yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang layak sahaja. Untuk itu, ia penapisan perlu dibuat dan keadaan ini kita panggil sebagai rasionalisasi subsidi.

14. Saya tak nampak bahawa subsidi boleh dihapuskan sepenuhnya. Tapi kita tetap tak boleh terus menerus laksanakan subsidi pukal seperti masa sekarang.

Nazri Hamdan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *