Pembahagian Kufur

kufur dan iman

Para ulama telah membahagikan kufur (kekufuran) itu kepada dua bahagian utama.

Pertama: Kufur Besar (الكفر الأكبر)

Yang menyebabkan seseorang tidak boleh dianggap mukmin dan muslim. Kufur besar ini juga menyebabkan seseorang terkeluar daripada agama Islam, kekal di dalam neraka dan tidak dapat diberi syafa’at oleh sesiapa pun. Kufur inilah yang merupakan lawan iman. Ia boleh berlaku atau terjadi dengan/ kerana kepercayaan, perkataan, perbuatan, dan keraguan.

Antara kufur yang termasuk dalam bahagian kufur besar ini ialah:

(1) كفر الإنكار (Kufur ingkar). Iaitu mengingkari kebenaran agama Islam dengan hati dan lidah, kedua-duanya sekali. Kekufuran inilah yang terdapat pada kebanyakan orang-orang kafir.

(2) كفر الجحود (Kufur juhud). Iaitu mengingkari kebenaran agama Islam dengan lidah sahaja. Walaupun hati mengakui dan mengetahui kebenarannya. Seperti kekufuran Iblis yang melanggar perintah Allah supaya bersujud kepada Adam dan kekufuran orang-orang Yahudi di zaman Rasulullah s.a.w.

(3) كفر العناد (kufur ‘inad). Iaitu mengetahui kebenaran agama Islam dan menerimanya juga di dalam hati, di samping mengakui pula dengan lidah. Tetapi tetap tidak mahu menganut agama Islam. Seperti kekufuran Abu Thalib, bapa saudara Nabi s.a.w.

(4) كفر النفاق (kufur nifaq). Iaitu mengakui kebenaran agama Islam dengan lidah. Tetapi hati tidak.

(5) كفر الشك (kufur syak). Iaitu kekufuran kerana masih lagi ada keraguan tentang kebenaran agama Islam.

Kedua: Kufur kecil (الكفر الأصغر)

Iaitu kekufuran yang tidak mengeluarkan seseorang daripada agama Islam dan tidak pula menyebabkannya kekal di dalam neraka. Istilah lain yang sering juga digunakan untuk kufur kecil ini ialah الكفر االعملي dan كفر دون كفر.

Kufur kecil ini walaupun tidak mengeluarkan seseorang daripada agama Islam kerana tidak merobohkan asas keimanan itu sendiri, namun ia boleh menjejaskan dan melemahkan imannya. Orang yang terlibat dengan kufur kecil ini dikira terlibat dengan dosa besar dan dimurkai Allah. Dia dikehendaki bertaubat dengan segera. Hakikat kufur kecil itu sebenarnya ialah maksiat-maksiat atau dosa-dosa besar yang disebut Rasulullah s.a.w. sebagai kekufuran. Atau kerana ia mengandungi bayang-bayang kesyirikan.

Antara kufur yang termasuk dalam bahagian kufur kecil ini ialah:

(1) كفر النعمة والإحسان (kufur nikmat dan budi).

Kufur nikmat sebenarnya adalah lawan kepada syukur. Seseorang yang tidak bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya, pada hakikatnya adalah seorang yang tidak tahu mengenang budi dan tanpa disedarinya dia sesungguhnya mengingkari dan menafikan nikmat Allah itu apabila ia mengaitkannya dengan orang lain atau sesuatu yang lain selain Allah. Walaupun jauh di sudut hatinya dia masih beriktiqad bahawa Allah jugalah yang mengurniakan semua itu kepadanya.

Antara contoh kufur nikmat ialah:

(a) Menamakan anak-anak dengan nama yang mengandungi bayang-bayang kesyirikan. Seperti ‘Abdul Husain, Abdur Rasul dan lain-lain. Bukankah Allah yang mengurniakan anak kepada kita. Kenapa pula kita mengatakan anak itu hamba Husain atau hamba Rasul. Seolah-olahnya Husain dan Rasul pula yang mengurniakan anak itu kepada kita!

(b) Beria-ia benar atau bersungguh-bersungguh sangat mengaitkan kesembuhan dengan sesuatu ubat atau rawatan seseorang doktor. Padahal yang menyembuhkan adalah Allah. Ubat dan doktor itu tidak lebih daripada sebab sahaja. Itulah yang dimaksudkan oleh Allah melalui dua firmanNya di bawah ini:

يَعْرِفُونَ نِعْمَتَ ٱللَّهِ ثُمَّ يُنكِرُونَهَا وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْكَٰفِرُونَ

Bermaksud: Mereka mengetahui ni’mat Allah, kemudian tergamak mengingkarinya; kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kufur ingkar. (An-Nahl:83).

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ ءَامِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍۢ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ ٱللَّهِ فَأَذَٰقَهَا ٱللَّهُ لِبَاسَ ٱلْجُوعِ وَٱلْخَوْفِ بِمَا كَانُواْ يَصْنَعُونَ

Bermaksud: dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezkinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikkmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang telah mereka lakukan. (An-Nahl:112).

(2) Bersumpah atas nama orang lain atau sesuatu yang lain selain Allah.

Kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda: من حلف بغير الله قد كفر أو أشرك Bermaksud: Sesiapa bersumpah bukan dengan nama Allah, sesungguhnya dia telah kufur atau syirik. (Ahmad, Tirmizi, Abu Daud at-Thayaalisi, Abu Ya’la, at-Thabaraani, al-Baihaqi, al-Haakim, Abu ‘Awaanah dan lain-lain.).

(3) Memerangi orang Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda: سِبابُ المسلم فسوق, وقتاله كفر Bermaksud: Memaki orang Islam adalah kefasikan dan memeranginya adalah kekufuran. (Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasaa’i, Ibnu Majah, Baihaqi, at-Thabaraani dan lainlain).

(4) Mencaci dan memburukkan keturunan seseorang dan meratapi orang yang telah mati.

Rasulullah s.a.w.: اثنتان في الناس هما بهم كفر: الطعن في النسب، والنياحة على الميت Bermaksud: Dua sifat ada pada orang ramai. Ia menyebabkan mereka kufur. (Pertama) Mencaci dan memburukkan keturunan orang. (Kedua) Meratapi orang mati. (Muslim, Ahmad, Abu ‘Awaanah dan Ibnu Mandah).

(5) Mengaitkan diri dengan bukan ayah sendiri atau tidak mengakui keturunan sendiri yang sebenar.

Rasulullah s.a.w. bersabda: لا تَرْغَبُوا عن آبائكم، فمن رغب عن أبيه، فهو كفر Bermaksud: Jangan kamu benci kepada keturunanmu. (Sikap) Orang yang tidak suka kepada ayahnya itu adalah suatu kekufuran. (Bukhari, Muslim, Ahmad dan Abu `Awaanah).  

5/5 - (1 vote)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *