Perbankan Islam ada Riba?

perbankan islam

Ya perbankan Islam yang wujud hari ini adalah alternatif kepada sistem perbankan konvensional yang wujud sekarang. Memang jika dilihat dari segi luaran, nampaknya seakan sama. Tapi bila diteliti sendiri nyata berbeza.

Perbankan ciptaan yahudi?

Ada yang mengatakan sistem perbankan hari ini adalah hasil ciptaan yahudi. Ataupun ciptaan orang bukan Islam. Perbankan Islam sekarang ini datangnya daripada konvensional. Jadi hukumnya juga haram. Malah lebih haram kerana mempergunakan nama Islam.

Benarkah begitu?

Tidak sebenarnya. Memang benar kita mengambil model konvensional. Tetapi tidak semestinya haram. Haram jika kita ambil tanpa ubah apa-apa. Tapi kita ambil model itu dan kita semak, ubah, kaji supaya selari dengan kehendak syariat.

Kajian kepada perbankan Islam bukan kajian semberono dan tangkap muat. Kajian melibatkan kajian dan semakan terhadap beribu-ribu nas Quran dan Hadith. Juga diambil kira ijma’ ulamak serta pendapat-pandapat dalam mazhab. Maqasid syariah menjadi asas kepada perbankan Islam. Asasnya yang berpaksi kepada Quran dan Hadith ternyata jauh membezakannya dengan perbankan Konvensional.

Macam mana nak tahu halal?

Benar perbankan Islam masih baru. Jadi masih terdedah dan wujud kelemahan di sana sini. Sebagai ‘budak’ yang baru belajar berjalan, mesti ada silap dan comotnya. Ada jatuhnya. Ada tersilap langkah. Gayanya juga tidak betul. Begitu juga dengan perbankan Islam di Malaysia yang baru hendak mencapai usia 30 tahun, berbanding perbankan konvensional yang telah lama mendominasi dunia.

Akta perbankan Islam diwujudkan pada tahun 1983. Di bawah akta itu disebut bahawa setiap institusi perbankan Islam mestilah mempunyai panel penasihat syariah yang dilantik. Panel ini pula mestilah mereka yang mempunyai kredibiliti dan kebolehan bukan sahaja dalam bidang fiqh, tetapi juga dalam bidang muamalat.

Panel ini yang akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk menyemak perjalanan perbankan Islam dan memastikan ia selari dengan kehendak syariat. Kepakaran mereka digunakan sebaik mungkin. Jabatan syariah dalam bank akan duduk semeja dengan bahagian pemasaran dan undang-undang, bagi memastikan produk itu bukan sahaja lulus dari sudut syariah, tetapi undang-undang Malaysia dan juga boleh dipasarkan.

Tapi lulus dari segi syariah adalah lebih diutamakan. Oleh itu Panel penasihat syariah dan bahagian syariah dalam perbankan Islam adalah nadi sebuah bank Islam. Nampak di sini usaha untuk memastikannya halal dan bebas riba adalah rumit dan bukan semberono. Bukan satu tugas yang mudah. Tanggungjawab mereka berat, melibatkan dosa pahala ummah.

Sekiranya berlaku kesilapan?

Bagaimana jika keputusan atau iktikad yang di ambil sebenarnya adalah silap? Jika hakikatnya ia masih lagi silap di sisi Allah, mereka telah mengusahakan yang terbaik. Yang penting adalah usaha yang bersungguh-sungguh ke arah membebaskan diri dari riba.

Begitu juga perbankan Islam masih tidak terlepas daripada khilaf pendapat. Ada produk perbankan Islam seperti kad kredit Islam yang tidak dapat diterima oleh ahli perbankan dari Timur Tengah. Ini terjadi kerana kita mengambil mazhab yang menghalalkan transaksi tersebut, manakala mereka berpegang kepada pendapat yang mengatakan tidak boleh. Tetapi kedua-duanya ada nas dan dalil mereka.

Oleh itu, pada saya adalah lebih baik kita berpegang kepada pendapat yang mengatakan boleh (walaupun khilaf). Ianya hanya khilaf, ada dalil dan pendapat yang membenarkan. Tapi konvensional telah disepakati Ualamak adalah haram?

Itu adalah lebih baik berbanding mereka yang tanpa usul dan kajian terperinci, terang dan jelas menuduh perbankan Islam adalah sama menghasilkan riba. Kemudian masih lagi menggunakan konvensional yang terang jelas dan nyata ada riba yang haram.

Jadi mana satu pilihan kita sekarang?

Menggunakan pendapat yang khilaf (walaupun mazhab lain tidak setuju) yang belum pasti haram. Atau kekal menggunakan konvensional yang sudah pasti haram?

Masih kata perbankan Islam ada riba?

Baiklah. Kepada mereka yang berkata demikian. Atas dasar apakah anda berpendapat begitu? Berikan nas dan hujjah anda. Panel syariah sudah bertungkus lumus cuba memastikan ianya halal mengikut semakan mereka setakat ini.

Kalau anda berjaya membuktikan kesilapan bank Islam, tahniah. Sila kemukakan pula jalan keluar kepada masalah tersebut. Sediakan alternatif. Benar, selain mengeluarkan hukum dan fatwa, ulamak dan pemikir Islam hari ini juga seharusnya cuba memikirkan jalan keluar atau alternatif kepada satu masalah.

Kalau perbankan konvensional adalah haram, maka mereka menyediakan perbankan Islam sebagai jalan keluar. Bukan terus meminggirkan perbankan yang sudah mendominasi dunia.

Bersifat Qanaah?

Ada yang berkata mereka boleh hidup tanpa perbankan dan bersifat qanaah. Sentiasa bersyukur dengan apa yang telah ada. Amalkan wasatiyah setiap masa. Ya, mungkin anda boleh begitu, tapi bukan semua orang begitu. Orang lain bukan berkelakuan dan bersifat seperti anda.

Jika anda mahu berpegang bahawa perbankan Islam masih haram dan ada riba. Silakan. Tapi pakai untuk diri anda sahaj. Jangan turut sama menyusahkan orang lain. Kalau anda ada pendapat anda, orang lain juga berhak mengguna pakai dan bertaqlid (mengikut) pendapat Ulama yang membenarkan perbankan Islam.

Hakikatnya perbankan pada hari ini menjadi satu keperluan kepada kita. Dalam urusan tempat tinggal sekalipun, kita perlukan bank untuk membuat pembiayaan. Tidak semua orang mampu membeli rumah secara tunai. Bukan semua orang kaya.

Untuk keselamatan, wang lebih selamat disimpan dalam bank. Bukan semua orang mampu menyimpan sendiri, emnyediakan peti besi dan tempat simpanan sendiri.

Jadi sekali lagi kepada yang tidak bersetuju dengan perbankan Islam, minta buka pemikiran dan keluar dari gua anda. Banyakkan membaca dan mengkaji.

Kredit kepada
http://nurfauzibassar.blogspot.com

5/5 - (1 vote)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *