Berhenti dan Memulakan Bacaan
Dalam mencapai ketepatan pembacaan al-Quran, selain dari mengelokkan sebutan setiap huruf al-Quran, memberhentikan bacaan pada tempat yang betul adalah suatu tuntutan. Perkara ini ditegaskan oleh Saidina Ali r.a. bila ditanya tentang maksud membaca al-Quran dengan Tartil ( ترتيل ), beliau menjawab:
هو تجويد الحروف ومعرفة الوقوف
“Mengelokkan sebutan setiap huruf dan mengetahui tempat berhenti”
Para ulama terdahulu amat mengutamakan bab ini, kerana berhenti dan memulakan pada sesuatu ayat itu merupakan suatu yang amat dijaga oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. Ini kerana berhenti dan memulakan sesuatu ayat pada tempat yang betul akan membawa kepada makna yang jelas menepati kehendak ayat.
Ibnu Umar r.a. mengumpamakan orang yang tidak menghiraukan bacaan al-Qurannya iaitu mereka yang membiarkan bacaannya penuh dengan kesalahan dan tidak menyempurnakan tempat berhenti (waqaf) seperti: “orang yang memilih-milih untuk makan tamar yang elok dengan merasanya sedikit, apabila didapati tamar itu tidak elok maka ia pun meludahnya”.
Satu perkara yang menjadi amalan Qurra terdahulu dalam mentauliahkan sesuatu bacaan kepada muridnya ialah pengetahuan mereka tentang Waqaf dan Ibtda’. Mereka akan menyuruh murud mereka berhenti pada ayat tertentu dan meunjukkan tempat-tempat berhenti itu dengan jari mereka. Begitulah sunnah yang mereka warisi dari syeikh-syeikh mereka yang terdahulu dalam mempelajari bab ini.
Bab ini akan membincangkan topik-topik yang mempunyai kaitan tentang bagaimana memulakan dan memberhentikan sesuatu bacaan serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.