Hukum Waqaf

waqaf dan ibtida

Apabila Saidina Ali r.a. ditanya tentang maksud membaca alQuran dengan tartil, beliau menjawab:

هو تجويد الحروف ومعرفة الوقوف

“Mengelokkan sebutan setiap huruf dan mengetahui tempat waqaf.”

Berhenti dan memulakan bacaan pada tempat yang betul akan memberi makna yang tepat pada satu-satu ayat. Berhenti dan memulakan bacaan pada tempat yang salah akan merosakkan makna pada satu-satu ayat.

Waqaf bererti memutuskan suara dan mengambil nafas baru untuk memulakan bacaan yang berikutnya.

Harus waqaf pada akhir ayat iaitu pada huruf yang terakhir pada kalimah terakhir dalam ayat tersebut. Harus juga waqaf pada mana-mana kalimah di pertengahan ayat – selagi mana tiada perkara yang menegah untuk berhenti; tetapi tidak harus waqaf pada pertengahan kalimah.

Berkata Imam Al Jazari:

وَلَيْسَ فِي الْقُرْآنِ مِنْ وَقْفٍ يَجِبْ … وَلاَ حَرَامٌ غَيْرُ مَا لَهُ سَبَب


“Dan tiada di dalam al-Quran itu waqaf yang wajib, tiada juga yang haram kecuali jika ada sebab.” 

Pembahagian Waqaf : أقسام الوقف

Waqaf terbahagi kepada empat jenis dari sudut sebab:

1. Waqaf Idhtirari – الوقف الاضطراري
Waqaf kerana terpaksa (terputus nafas, bersin dan sebagainya).

2. Waqaf Ikhtibari – الوقف الاختباري
Waqaf kerana hendak menguji pengetahuan murid oleh guru yang mengajar.

3. Waqaf Intizori – الوقف الانتظاري
Waqaf untuk menunggu beberapa wajah bacaan Qiraat yang terdapat pada satu-satu ayat itu.

4. Waqaf Ikhtiari – الوقف الاختياري
Waqaf kerana pembaca memilih untuk berhenti.

Semua sebab-sebab waqaf di atas adalah diharuskan. Sebaik-baiknya bacaan hendaklah dimulakan semula dengan memelihara makna dan maksud ayat; sekurang-kurangnya dengan mengulangi satu atau dua kalimah sebelum kalimah yang dia telah berhenti padanya.

Pembahagian Waqaf Ikhtiari: أقسام الوقف الاختياري

Berkata Imam Al-Jazari:

فَاللَّفْظُ إِنْ تَمَّ وَلاَ تَعَلُّقَا … تَامٌ ، وَكَافٍ إِنْ بِمَعْنىً عُلِّقَا

قِفْ وَابْتَدِئْ ، وَإِنْ بِلَفْظٍ فَحَسَنْ … فَقِفْ وَلاَ تَبْدَأْ سِوَى الآيِ يُسَنّ

وَغَيْرُ مَا تَمَّ قَبِيحٌ وَلَهُ … يُوقَفُ مُضْطَرّاً وَيُبْدَا قَبْلَهُ

“Maka lafaz yang sudah sempurna dan tiada kaitan adalah waqaf Tam dan waqaf Kaf jika mempunyai kaitan makna. Waqaflah dan mulakanlah dan jika mempunyai kaitan dengan lafaz (maka ia adalah) waqaf Hasan, waqaflah dan jangan memulakan bacaan melainkan dimulakan dengan kalimah sebelumnya. Dan selain apa yang sempurna adalah waqaf Qobih dan baginya, boleh waqaf secara terdesak dan dimulakan dengan kalimah sebelumnya.” 


1. Waqaf Tam (berhenti sempurna) وقف تام

Berhenti pada kalimah yang telah sempurna maknanya, dan tidak ada kaitan dengan kalimah selepasnya dari sudut lafaz dan makna.

Waqaf pada kalimah sebegini dianggap berhenti yang sempurna dan memulakan bacaan dari kalimah berikutnya juga dianggap sempurna.

Waqaf Tam boleh ditemui:

a. Di akhir ayat yang mempunyai tanda nombor – juga disebut Waqaf Sunnah kerana cara bacaan Nabi s.a.w. yang berhenti di setiap ayat.

Contoh:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (2)

b. Di akhir perbicaraan atau cerita di dalam ayat.

Contoh:

 وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ [البقرة: 232] وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ  [الشعراء: 9]


c. Pada waqaf lazim yang bertanda mim kecil ( م ) – juga dipanggil waqaf bayan kerana maksud ayat akan lebih terserlah jika berhenti padanya.

Contoh:

إِنَّمَا يَسْتَجِيبُ الَّذِينَ يَسْمَعُونَ ۘ وَالْمَوْتَىٰ يَبْعَثُهُمُ اللَّهُ ثُمَّ إِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

waqaf pada lafaz : يَسْمَعُونَ

d. Pada waqaf Jibril – waqaf yang yang Jibril a.s. berhenti padanya dan Nabi s.a.w. juga turut sama berhenti padanya.

Para Qurra’ berselisih pendapat tentang jumlah dan tempat bagi waqaf Jibril ini.

1. Surah al Baqarah ayat 148 pada lafaz :

فاستبقوا الخيرات

2. Surah al Maidah ayat 48 pada lafaz :

فاستبقوا الخيرات

3. Surah ali Imran ayat 95 pada lafaz :

قل صدق الله

4. Surah al Maidah ayat 116 pada lafaz :

أن أقول ما ليس لي بحق

5. Surah Yusuf ayat 108 pada lafaz :

قل هذه سبيلي أدعوا إلى الله

6. Surah Ar Ra’d ayat 17 pada lafaz :

كذلك يضرب الله الأمثال

7. Surah An Nahl ayat 5 pada lafz :

والأنعام خلقها

8. Surah As Sajdah ayat 18 pada lafaz :

افمن كان مؤمنا كمن كان فاسقا

9. Surah An Naziaat ayat 23 pada lafaz :

فحشر

10. Surah Al Qadr ayat 3 :

ليلة القدر خير من ألف شهر

2. Waqaf Kafi (berhenti memadai)وقف كافي

Berhenti pada kalimah yang telah sempurna maknanya tetapi masih ada kaitan dengan kalimah selepasnya dari sudut makna; bukan dari sudut lafaz.

Waqaf pada kalimah sebegini diharuskan dan memulakan bacaan dari perkataan berikutnya juga diharuskan.

Waqaf Kafi boleh ditemui di akhir atau pertengahan ayat.

Contoh:

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۖ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ

waqaf pada lafaz الطَّيِّبَاتُ

3. Waqaf Hasan (berhenti baik) – وقف حسن

Berhenti pada kalimah yang telah sempurna makna pada dirinya tetapi makna dan lafaznya masih terikat dengan kalimah selepasnya.

Waqaf pada kalimah sebegini diharuskan dan diharuskan memulakan bacaaan dari kalimah berikutnya sekiranya waqaf Hasan itu di akhir ayat kerana mengikut sunnah Nabi s.a.w.

Sekiranya waqaf Hasan itu di pertengahan ayat, hendaklah dimulakan bacaan dari beberapa kalimah sebelumnya untuk melengkapkan susunan ayat.

Begitu juga tidak harus untuk memutuskan bacaan pada waqaf Hasan ini sekiranya menyebabkan maksud sebenar ayat tidak terserlah.

Contoh:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

berhenti pada lafaz الْحَمْدُ لِلَّهِ

4. Waqaf Qabih (berhenti buruk) – وقف قبيح

Berhenti pada kalimah yang masih tidak sempurna maknanya dan ada kaitan dengan kalimah selepasnya dari segi lafaz dan makna.

Tidak harus berhenti pada kalimah-kalimah seperti ini melainkan terdesak dan hendaklah dimulakan bacaan dari satu atau dua kalimah sebelumnya.

Waqaf Qabih berlaku sekiranya:

a. Berhenti pada kalimah yang belum lengkap dari segi tatabahasa Arab.
b. Berhenti pada kalimah yang merosakkan maksud ayat.
c. Berhenti pada kalimah yang membawa makna yang biadap terhadap Allah.

Waqaf Haram

Waqaf yang sengaja dalam keadaan sedar pada kalimah-kalimah yang boleh menggugurkan syahadah.

Waqaf pada perkataan-perkataan seperti ini hendaklah dihindari walaupun bagi orang yang tidak mengetahuinya.

Contoh:

 إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَن يَضْرِبَ مَثَلًا مَّا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا

berhenti pada lafaz يَسْتَحْيِي

 وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

berhenti pada lafaz  وَالْإِنْسَ

5/5 - (2 votes)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *