Fractional Reserve Banking

Fractional Reserve Banking

Fractional Reserve Banking (FRB) adalah kaedah bank menyimpan sebahagian dari duit simpanan pendeposit sebagai rezab. Di Malaysia, BNM mewajibkan setiap institusi perbankan merezabkan 2.0% Statutory Reserve Requirement Rate (SRR) efektif 2 Mac 2020. Bermakna setiap RM100 yang disimpan pendeposit, RM2 wajib direzab sebagai SRR.

Dewasa ini banyak persoalan yang mengharamkan kaedah FRB. Golongan yang mengharamkan FRB berpandangan bank wajib membuat rezab penuh (Full Reserve Banking), dan haram untuk bank menggunakan wang pendeposit.

FRB Haram?

Secara asasnya, di antara kaedah yang diletakkan oleh para fuqaha dalam menentukan hukum muamalah adalah kaedah yang disebutkan oleh Imam al-Suyuthi:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).

Golongan yang mengharamkan FRB tidak dapat memberikan sebarang dalil yang mengharamkan FRB. Tetapi ada dalil yang mengharuskan deposit tanpa sebarang rezab, iaitu kaedah simpanan wang yang dijalankan oleh al-Zubayr al-‘Awwam.

al-Zubayr al-‘Awwam

Diriwayatkan oleh Ibn Sa’ad, bahawa al-Zubayr al-‘Awwam yang merupakan sepupu kepada Rasulullah S.A.W dan antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Beliau sering didatangi oleh ramai orang awam yang memintanya untuk menyimpankan wang mereka. Sehinggakan Zubayr sendiri terpaksa menolak kerana berasa terbeban untuk menjaga wang tersebut, sedangkan beliau sendiri tidak boleh menggunakannya.

Oleh kerana itu, Zubayr telah meminta kepada mereka yang datang kepadanya untuk menyimpan wang tersebut atas dasar pinjaman kepada dirinya dan bukan lagi sebagai wa’diah (simpanan) semata-mata. Ini membolehkan Zubayr memiliki hak untuk memanfaatkannya.

Hasil tindakan Zubayr ini menyebabkan semakin ramai yang datang kepadanya sehingga jumlah wang yang berada dalam dipegangnya mencecah 2,200,000 dirham. Ia merupakan satu jumlah yang amat besar pada zaman tersebut.

Sehingga ada yang menggelarnya sebagai Bank Zubayr yang mungkin boleh dianggap sebagai bank Islam yang pertama.

Melalui tindakan Zubayr itu, beliau telah menukarkan konsep asas wadi’ah yang pada asalnya hanya menjaga amanah untuk menyimpan tanpa boleh digunakan, kepada pinjaman yang membolehkannya untuk melaburkan wang tersebut dan pada masa yang sama menjamin keselamatan wang tersebut. Dengan hasil keuntungan yang diperoleh Zubayr daripada pinjaman wang yang dilaburkan tersebut, beliau banyak menggunakannya untuk membeli aset.

Diceritakan oleh al-Zahabi, ketika Zubayr meninggal dunia akibat dibunuh, beliau tidak meninggalkan satu dinar atau dirham pun, kecuali beberapa keping tanah di Ghabat, sebuah rumah di Madinah, Basrah, Kufah dan Mesir. Selain itu juga, beliau meninggalkan hutang yang agak besar sebanyak 2,200,000 dirham iaitu hasil nilai simpanan orang ramai yang diubah kepada pinjaman tersebut.

Ketika kematian Zubayr, anaknya mengisytiharkan sesiapa yang memberi pinjaman kepada bapanya agar datang kepadanya untuk diselesaikan dengan mencairkan aset-aset yang dimiliki oleh Zubayr.

Ini jelas membuktikan terdapat individu-individu yang telah pun mengamalkan fungsi sistem perbankan di zaman Rasulullah S.A.W, walaupun ianya tidak dilakukan secara menyeluruh.

Hukum FRB

Jelas sekali konsep perbankan telah dijalankan sejak zaman Rasulullah S.A.W. Adakah golongan yang mengharamkan FRB mengatakan Zubayr yang dijanjikan syurga telah menjalankan pelaburan yang haram? Adakah golongan ini lebih tinggi imannya dari Zubayr?

Untuk maklumat lanjut mengenai SRR dan konsep deposit perbankan Islam, boleh rujuk pautan di komen.

Radzie Ieskandaar

5/5 - (3 votes)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *