Masjid al-Aqsā
Ini adalah sekelumit kecil usaha dari saya untuk kita sama-sama mengenali Masjid al-Aqsa dengan lebih dekat.
Masjid Al-Aqsā adalah satu kompleks yang terletak di dalam tembok seluas 144,000 meter persegi bersamaan 35 ekar iaitu 1/6 dari keseluruhan kawasan Baitulmaqdis.
Tahukah anda, kompleks Masjid al-Aqsā ini sebenarnya mengandungi:
- 7 buah masjid dan musolla. 5 daripadanya digunakan untuk solat. 2 daripadanya sebagai muzium dan juga perpustakaan. Antaranya adalah Masjid al-Qibli/Jami’ al-Aqsā, Masjid al-Qadim, Musalla al-Marwani, Masjid al-Buraq, Masjid al-Magharibah dan juga Masjid al-Nisa’.
- 15 buah pintu masuk. Namun yang dibuka daripadanya hanya 10 buah sahaja. Antara pintu-pintu yang ada adalah Bab al-Asbat, Bab Hittah, Bab al-Atam, Bab al-Ghawanimah, Bab al-Nazir dan lain-lain. Antara pintu yang sudah ditutup adalah Bab al-Rahmah dan juga Bab al-Janaiz.
- 4 buah menara azan. Antaranya menara di pintu al-Magharibah, menara di pintu al-Silsilah dan juga menara di pintu al-Asbat.
- 15 buah kubah. Dalam bahasa Arab, kata jamak bagi kubah adalah al-Qibab. Antaranya adalah Qubbah al-Sakhrah, Qubbah al-Silsilah, Qubbah al-Mi’raj dan lain-lain.
- 12 buah sekolah. Antaranya sekolah al-Aqsa al-Islamiyyah, sekolah al-Ghadiriyyah, sekolah al-Basitiyyah dan lain-lain lagi.
- 2 tempat pejalan kaki (al-Ruwaq). Ia adalah al-Ruwaq al-Gharbi dan juga al-Ruwaq al-Shimali.
- 8 buah pintu gerbang. Ia dipanggil sebagai al-Baikah. Antaranya al-Baikah al-Syamaliyyah, al-Janubiyyah, al-Syarqiyyah dan lain-lain.
- 6 buah mihrab.
- 26 buah mastabah (teras batu).
- 25 buah perigi. serta pelbagai lagi seni bina bersejarah di dalamnya.
Untuk maklumat lebih lanjut, boleh baca caption setiap gambar yang disertakan.
Sumber rujukan saya dalam menulis posting ini adalah buku Maalim Masjid al-Aqsa yang diterbitkan oleh Muassasah al-Quds al-Duwaliyyah dan juga Idarah Awqaf al-Quds wa Syu’un Masjid al-Aqsā al-Mubarak.
Moga-moga gambar-gambar yang kita lihat ini mencambahkan lagi keriduan kita kepada Masjid al-Aqsā.
Moga-moga kita direzekikan untuk sama-sama bersolat padanya dalam keadaan ia sudah terbebas dari tangan-tangan kotor si penjajah!