Hukum Membaca al-Quran Bertajwid

tajwid

Terdapat banyak dalil daripada al-Quran dan Sunnah, serta ijma’ ulama’ yang menunjukkan kewajipan membaca al-Quran secara bertajwid.

Di antara dalil penting yang menunjukkan kewajipan ini adalah:

al-Quran :

Di antara ayat al-Quran yang jelas menunjukkan suruhan membaca al-Quran secara bertajwid adalah ayat 4 Surah al-Muzammil :

وَرَتِّلِ الْقُرْءَانَ تَرْتِيلًا

Bermaksud: Dan bacalah olehmu (wahai Muhammad) Quran itu secara Tartil.

Pendalilan di dalam ayat tersebut merujuk kepada kalimah ورتل yang membawa makna amar (perintah). Kata kerja suruhan (amar) di dalam ayat ini menunjukkan makna wajib dan tiada nas yang memalingkan perintah wajib tersebut kepada hukum sunat. Maka sabitlah membaca Quran dengan tajwid itu hukumnya adalah wajib.

Imam al-Tobari menjelaskan di dalam tafsirnya berkaitan kalimah ini, dengan mengatakan bahawa tartil bermaksud menjelaskan bacaan Quran (dalam menyebut huruf-hurufnya).

Menurut al-Dani, suruhan Allah SWT tidak hanya datang secara kata kerja suruhan (fi’il Amar) bahkan ia dikuatkan dengan kata terbitan (masdar) sebagai mengagungkan bacaan Quran secara bertajwid dan menggalakkan manusia dalam mendapatkan ganjaran pahalanya.

al-Sunnah :

Hadith yang diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, di mana diceritakan bahawa Ibn Mas’ud r.a. menegur seorang lelaki yang diajar olehnya membaca al-Quran. Lelaki tersebut membaca lafaz  لِلْفُقَرَاۤءِ pada ayat 60 Surah al-Taubah tanpa mad, maka Ibn Mas’ud mengur lelaki tersebut dengan berkata: “Bukan begini Rasulullah SAW mengajarkannya kepadaku”. Maka lelaki tersebut berkata: “Jika begitu, bagaimanakan cara bacaannya wahai Abu Abd Al Rahman?” maka Ibn Mas’ud pun membaca ayat tadi dengan meletakkan mad pada bacaannya.

Hadith ini menunjukkan bahawa ilmu tajwid ini, meskipun tidak ditulis dan dibukukan semenjak penurunan al-Quran, namun pengajarannya telah berlaku secara musyafahah dan juga talaqqi.

Ijmak ulama’ :

Adapun dalil ijmak, ianya telah disepakati oleh ummat di zaman turunnya Quran sehinggalah zaman ini dengan cara wajib membaca Quran bertajwid, terpelihara dari sebarang kesilapan, bebas dari sebarang penambahan dan pengurangan dan meraikan apa yang sepatutnya di dalam bacaan Quran dengan hukum tajwid di dalamnya sehingga tiada khilaf di kalangan orang Islam mengenainya.

Imam Al Jazari pula di dalam matannya menyatakan :

والأخذ بالتجويد حتم لازم ومن لم يجود القرآن آثم

لأنه به الإله أنزلا وهكذا منه إلينا وصل

Bermaksud: “Mempelajari ilmu tajwid itu wajib bagi pembaca Quran, siapa yang tidak memperelokkan bacaan Quran adalah berdosa. Ini kerana Quran diturunkan oleh Allah SWT sedemikian, dan demikian juga daripada-Nya ia (Quran) sampai kepada kita”.

Hukum Mempelajari Ilmu Tajwid

Para ulama’ mengkategorikan hukum mempelajari ilmu tajwid kepada dua :

i. Mempelajari ilmu tajwid secara teori :

Hukum mempelajari hukum hakam dan kaedah-kaedah ilmu tajwid secara teori, dan memahaminya hukum- hakam tersebut adalah fardu kifayah.

ii. Hukum mempelajari ilmu tajwid secara amali:

Adapun beramal dengan hukum tajwid dalam membaca al-Quran, hukumnya adalah fardhu Ain ke atas pembaca Al-Quran sama ada lelaki mahupun wanita dengan kadar kemampuannya, pengetahuan dan keupayaan pembaca.

Kesimpulan :

Setelah mengetahui dalil-dalil yang menunjukkan kewajipan membaca al-Quran dengan tajwid yang betul sebagaimana ia diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, dapat disimpulkan bahawa membaca Quran dengan tajwid yang betul adalah Fardhu ‘Ain bagi setiap umat Islam sama ada lelaki atau pun perempuan yang mukallaf. Justeru, hukum mempelajari ilmu tajwid yang pada asalnya adalah Fardhu Kifayah telah menjadi wajib kerana tuntutan tersebut.

5/5 - (1 vote)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *