Seluas kawasan hitam di atas peta ini. Selebihnya sudah dikuasai penjarah!
Sejarah ringkas nasib Palestin, 1897-2023:
1897
Kongres pertama gerakan Zionis di Basel, Switzerland pada 29 Ogos. Ia memutuskan perjuangan “mendirikan sebuah negara untuk kaum Yahudi di Palestin dengan perlindungan undang-undang”.
Setelah pengasasnya Theodor Herzl gagal dapatkan autonomi tanah daripada sultan Uthmaniyah, gerakan ini meraih sokongan Britain. Pada 1903, kuasa penjajah ini mencadangkan tanah seluas 15,500 km persegi di Uganda kepada Zionis tetapi ditolak.
1917
Setiausaha Luar Britain Arthur Balfour berjanji serahkan tanah Palestin kepada pendatang Yahudi pro-Zionis dalam surat pendeknya bertarikh 2 November.
Warkah ini hanya 67 perkataan tetapi membawa malapetaka besar kepada Palestin hingga ke saat ini.
Kerajaan Uthmaniyah tewas di tangan Britain dalam Perang Jerusalem selama enam minggu bermula 17 November.
Sewaktu Jeneral Edmund Allenby melangkah masuk pada 11 Disember, beliau dilapor berkata “kemenangan tentera Salib kini sudah lengkap.” Britain kuasai penuh Palestin setahun kemudian.
1922
Britain mula mentadbir Palestin bawah mandat Liga Bangsa-Bangsa (badan lama sebelum PBB) sehingga 1948.
Menurut rekod rasmi Britain, hampir 380,000 pendatang Yahudi masuk ke Palestin mulai tahun ini hingga 1946.
1935
Ulama dan pejuang terkenal Izzuddin al-Qassam terbunuh, mendorong penentangan lebih bersemangat terhadap kuasa asing dan kumpulan Zionis. Briged al-Qassam, sayap pejuang Gerakan Penentangan Islam (Hamas), diberi nama sempena tokoh ini.
1936
Penentangan umat Islam Arab diteruskan lagi dan dipertingkat mulai 19 April tetapi berjaya ditundukkan 26 Ogos tiga tahun kemudian dalam peristiwa Pemberontakan Besar Arab.
1947
PBB, terbentuk pada 1 Ogos 1946 daripada negara kuasa besar yang menang Perang Dunia Kedua, buat keputusan pecahkan Palestin kepada negara Yahudi dan negara Arab dalam Resolusi 181.
Waktu ini 67 peratus penduduk, atau 1.2 juta orang, masih lagi warga Arab yang menguasai 94 peratus tanah.
1948
Britain melepaskan mandat, Israel isytihar kemerdekaan pada 15 Mei yang mendorong negara jiran Arab melancarkan perang.
Tanggal ini digelar Nakbah, atau malapetaka besar, yang dikenang seluruh warga Palestin setiap tahun.
Seramai 15,000 penduduk Palestin terkorban dan 750,000 dihalau ke negara-negara jiran. Enam juta keturunan mereka ini berada di 58 kem pelarian yang daif.
1950-an (hujung)
Fatah, asalnya Gerakan Kebangsaan Pembebasan Palestin, ditubuhkan. Ia menjadi kumpulan terbesar dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan sekarang membentuk parti yang menguasai Tebing Barat.
1964
Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) ditubuhkan pada 2 Jun sebagai gabungan semua gerakan penentangan terhadap penguasaan Israel.
Banyak perjanjian dengan kuasa Barat dan pertubuhan didunia dibuat melalui PLO yang diiktiraf sebagai wakil penduduk Palestin.
1967
Israel berjaya menguasai timur Jerusalem, Gaza, Tebing Barat, Bukit Golan (milik Syria) dan Sinai (Mesir) dalam Perang Enam Hari pada 5 Jun. Peristiwa duka akibat tewasnya negara-negara Arab ini disebut Naqsar atau kemunduran.
Pada 22 November, Majlis Keselamatan PBB sebulat suara meluluskan resolusi 242 yang mendesak Israel menyerahkan semula wilayah yang dirampasnya dalam “konflik terkini” dan menghormati semua kedaulatan negara yang bertelagah.
Selain keputusan PBB pada 1947, resolusi ini sering dianggap sebagai asas penyelesaian dua negara dalam beberapa rundingan damai. Namun semua cadangan ini belum berjaya.
1973
Perang tercetus lagi antara negara-negara Arab dan Israel selama lebih dua minggu mulai 6 Oktober di Bukit Golan, Sinai dan Suez.
1978
Perjanjian kem David pada 1 September antara Mesir dengan Israel.
1979
Israel keluar dari Sinai selepas termeterai perjanjian damai dua negara ini. Sekali gus, Mesir menjadi negara Arab pertama mengiktiraf negara Israel. Hubungan diplomasi dan dagang berjalan.
1987
Intifadah, atau kebangkitan, pertama dilancarkan pada 1 Disember bagi menentang kependudukan Israel di Gaza dan Tebing Barat.
Imej pemuda Palestin membaling batu ke arah kereta kebal menjadi simbol utama penentangan ini yang korbankan kira-kira 1,300 pejuang dan 200 Israel.
Sebagai cabang gerakan Ikhwanul Muslimin, Hamas ditubuhkan oleh Syeikh Ahmad Yassin untuk membebaskan Palestin daripada penaklukan Israel.
1993
Perjanjian sulit di Oslo, Norway antara Israel dengan PLO pada 13 September bagi membenarkan penubuhan Pihak Berkuasa Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Intifadah pertama berakhir.
1995
Susulan perjanjian ini, pada 28 September, Tebing Barat dibahagi kepada tiga kawasan: 60 peratus dikuasai Israel (zon C), 22 peratus ditadbir bersama (B) dan 18 peratus dikawal Palestin (A).
2000
Intifadah kedua digerakkan pada 28 September sebagai membantah lawatan bekas jeneral Ariel Sharon ke Haram al-Sharif. Warga Palestin curiga lawatan ini sebahagian taktik menguasai tempat suci umat Islam tersebut.
2002
Israel mendirikan tembok pemisah tinggi di Tebing Barat pada 23 Jun bagi menjamin keselamatannya. Tembok ini memisahkan kawasan tradisi termasuk Jerusalem dan banyak keluarga Palestin.
Projek membina pagar elektrik dan tembok konkrit di sempadan Gaza bermula sejak 1995.
2004
Apabila tokoh utama PLO Yasser Arafat meninggal dunia pada 11 November, Intifadah berakhir.
Setahun kemudian, 9,000 pendatang Israel dan tenteranya berundur dari Gaza.
2006
Hamas menang pilihan raya pada 25 Januari bagi melantik anggota majlis perundangan Pihak Berkuasa Palestin.
Gerakan ini menang 74 daripada 132 kerusi, manakala Fatah meraih 45 kerusi.
Namun, kemenangan ini bertukar konflik baharu apabila tentera Israel menyusup ke Gaza dan melancarkan serangan tengah malam 28 Jun.
Esoknya, negara itu menahan lapan menteri Hamas dan 26 anggota majlis perundangan di Tebing Barat.
Sehingga Ogos, Israel menahan 49 pegawai kanan Hamas, semuanya dari Tebing Barat, termasuk 33 anggota parlimen dengan alasan gerakan itu “pengganas”.
2007
Walau Hamas menang besar, Fatah berperang dengan gerakan ini yang menyebabkan banyak nyawa terkorban.
Hamas berjaya menolak keluar pencabarnya dalam perang saudara.
Susulan itu, Israel menguatkan sekatan udara, laut dan darat terhadap Gaza. Sekatan negara ini bersama Mesir bermula sejak 2005, tidak lama selepas berundur.
Dengan penduduk 2.3 juta di atas tanah 365 km persegi, Gaza dianggap “penjara terbuka” di kawasan antara paling padat di dunia!
Israel melancar empat serangan besar terhadap wilayah ini: 2008, 2012, 2014 dan 2021. Ribuan penduduk Gaza terbunuh dan ribuan bangunan runtuh.
Pada 2014 sahaja, serangan mengorbankan 2,100 termasuk hampir 500 kanak-kanak. Seramai 11,000 cedera dan 20,000 rumah ranap.
2023
Hamas lancar serangan mengejut melalui darat dan udara pada 7 Oktober. Israel melancarkan serangan balas bertubi-tubi termasuk penaklukan darat di utara Gaza.
Setakat petang 31 Oktober, 8,525 orang termasuk 3,542 kanak-kanak dan 2,187 wanita terbunuh.
Lebih 21,000 termasuk 6,300 kanak-kanak cedera, sementara ribuan lagi hilang bawah runtuhan bangunan. Lebih 1,400 orang terbunuh dan 5,400 lagi cedera di Israel.
Jutaan orang berdemonstrasi di bandar-bandar utama dunia bagi membantah serangan di Gaza.
Bagi aktivis Palestin, slogan pembebasan mereka tetap “dari sungai (Jordan) hingga laut (Tengah), Palestin pasti merdeka.”
KETERANGAN:
Peta di atas menunjukkan tanah Palestin makin menguncup daripada sempadan 1917 kepada 1947, ketika PBB menyarankan pembentukan negara Israel dan negara Arab Palestin.
Kawasan ini lebih kecil lagi pada 1948 ketika Israel mengisytihar kemerdekaan dan Perjanjian Oslo Kedua pada 1995 membahagikan kepada tiga zon.
Sejak tahun ini, wilayah yang ditadbir organisasi Palestin berada dalam kawasan berwarna hitam. Hamas menguasai Gaza, sementara Fatah mentadbir Tebing Barat.