Beberapa doa yang diajar oleh Rasulullah S.A.W agar dijauhkan daripada perkara-perkara yang memudharatkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh sebahagian sahabat Nabi S.A.W.
Antaranya:
Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Nabi S.A.W bersabda:
مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca: (Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”) sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” Riwayat Abu Daud (5088)
Daripada Abu Hurairah RA berkata:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا لَقِيتُ مِنْ عَقْرَبٍ لَدَغَتْنِي الْبَارِحَةَ، قَالَ: أَمَا لَوْ قُلْتَ، حِينَ أَمْسَيْتَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، لَمْ تَضُرَّكَ
Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi S.A.W lalu berkata: Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi S.A.W bersabda: Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu: (Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta)” nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudharatkan kamu.” [Riwayat Muslim (2709)]
Daripada Ibn Umar RA, bahawa aku mendengar Nabi S.A.W bersabda:
لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَعُ هَؤُلَاءِ الدَّعَوَاتِ، حِينَ يُمْسِي، وَحِينَ يُصْبِحُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
Maksudnya: “Nabi S.A.W tidak pernah meninggalkan doa tersebut ketika petang dan pagi iaitu: (Ya Allah aku memohon kepada-Mu keselamatan di dunia dan akhirat”). [Riwayat Abu Daud (5074)] [Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’outh sanad hadith ini adalah sahih]
Menurut Syeikh Abu al-Hasan al-Mubarakfuri maksud keselamatan (العافية) di dalam tersebut adalah keselamatan daripada perkara-perkara merosakkan agama serta kesusahan dunia. Dikatakan juga, keselamatan daripada penyakit-penyakit dan bala-bala. [Lihat: Mir’ah al-Mafatih, 139/8]
Daripada Anas bin Malik RA berkata:
كَانَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: Adapun Rasulullah S.A.W berdoa: (Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak[1], gila, kusta[2] dan penyakit-penyakit yang buruk)”.” [Riwayat Abu Daud (1554)] [Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’outh sanad hadith ini adalah sahih]
Melihat kepada beberapa doa di atas, maka wabak yang melanda itu boleh dimasukkan ke dalam penyakit-penyakit yang buruk atau memudharatkan.
Tambahan pula, kitab boleh sahaja berdoa dengan apa jua doa yang ingin kita panjatkan kepada Allah SWT dan tidak semestinya dengan bahasa Arab. Oleh itu, tidak menjadi satu kesalahan bagi seseorang yang ingin berdoa dengan sesuatu doa walaupun doa tersebut tidak pernah diajar oleh Rasulullah S.A.W.
Selain itu, kita juga boleh beramal dengan doa-doa di atas kerana ia merupakan perisai buat kita agar dihindari daripada segala penyakit atau perkara-perkara yang tidak baik.
Kita juga perlu meraikan adab-adab, syarat-syarat dan garis panduan di dalam berdoa agar doa yang dipanjatkan itu merupakan satu doa yang berkualiti tinggi.
Akhirnya, semoga Allah SWT menyelamatkan kita daripada wabak ini dan wabak-wabak lain yang berbahaya serta mengurniakan keselamatan jua di dunia mahupun di akhirat. Amin.
Wallahua’lam