Beriman Kepada Qadha’ dan Qadar

ketentuan allah

Qada’
Dari sudut bahasa Arab, Qada’ bermaksud meletakkan dan memutuskan sesuatu hukum.

Manakala dari sudut syarak, Qada’ ialah perkara yang diputuskan oleh Allah SWT terhadap segala makhluknya samada dari sudut menciptakannya, meniadakannya, atau mengubahnya.

Qadar
Dari sudut bahasa Arab, Qadar ialah menetapkan suatu kadar tertentu.

Manakala dari sudut syarak, Qadar ialah perkara yang telah ditetapkan kadarnya oleh Allah SWT semenjak azali, supaya ia terjadi mengikut ilmu-Nya yang mendahulu setiap perkara.

Perbezaan antara Qada’ dan Qadar

Qadar ialah menetapkan kadar sesuatu sebelum memutuskannya agar ia berlaku. Manakala Qada’ pula ialah menjadikannya ia berlaku mengikut apa yang ditetapkan. Ini bermakna, Qadar berlaku lebih dahulu daripada Qada’, dan kedua-duanya adalah saling lazim-melazimi dan tidak mungkin berpisah.

Persoalan Takdir

Beriman dengan qada’ dan qadar bererti menerima segala ketentuan dan ketetapan Allah S.W.T dengan hati yang redha.

Berkaitan dengan rukun iman keenam ini, Rasulullah  bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ r.a yang bermaksud,

لكلِّ شيءٍ حقيقةٌ ، و ما بلغ عبدٌ حقيقةَ الإيمانِ حتى يعلمَ أنَّ ما أصابَه لم يكن لِيُخطِئَه ، و ما أخطأه لم يكن لِيُصيبَه

Setiap sesuatu pasti ada hakikatnya, tidak akan sampai seorang hamba kepada hakikat keimanan sehinggalah dia mengetahui bahawa sesungguhnya apa yang menimpanya tidak akan dapat dielaknya dan apa yang dapat dielaknya pasti tidak akan menimpanya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Diriwayatkan oleh Saidina Umar bin Khattab r.a, Jibril a.s bertanya kepada Nabi , “Beritahu akan aku berkenaan dengan Iman.” Lalu Baginda  bersabda:

               أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

Maksudnya: “Beriman kepada Allah S.W.T, para MalaikatNya, Kitab-kitabNya, para RasulNya dan Hari Akhirat, serta beriman kepada takdir yang baik dan buruk.”

Dalam kehidupan harian, setiap saat kita tidak terlepas daripada qada’ dan qadar Allah S.W.T. Segala sesuatu yang berlaku adalah dengan ketentuan dan ketetapan dari Allah S.W.T.

Allah S.W.T telah berfirman:

           إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَٰهُ بِقَدَرٍ                        

 Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).”  (Surah al-Qamar, ayat:49)

Pengertian Takdir

Kepercayaan kepada Qadha dan Qadar bermaksud bahawa segala sesuatu yang terjadi di alam dan manusia sendiri, semuanya tidak terlepas dari taqdir atau ketentuan Allah. Qadha bermakna ketentuan, dan Qadar bermakna jangka yang telah tertentu. Seumpama persoalan rezeki dan ajal, semuanya sudah ditentukan sejak zaman azali.

Dalam menghadapi persoalan taqdir atau ketentuan Allah ini, umat islam terpecah kepada tiga aliran besar. Pertama, mazhab Qadariah yang mempertahankan prinsip kebebasan kemahuan (free will), dan manusia mempunyai kudrat setiap perbuatannya. Kedua, aliran Jabariah yang menyerahkan segala-galanya kepada taqdir belaka, dan manusia ibarat kapas diterbangkan angin sahaja kedudukannya. Dan ketiga, mazhab Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bersifat pertengahan (I’tidal) di antara dua titik ekstrim (ifrat wal-tafrit) Qadariah dan Jabariah. Walaupun segala-galanya di bawah taqdir atau qudrat Allah belaka, tetapi taqdir itupun tidak terlepas dari hukum sebab-akibat atau Sunnatullah.

Kita disuruh berikhtiar mencari sebab-sebab terjadinya sesuatu, di samping bertawakkal kepada Allah. Dan diantara sebab-sebab yang boleh mengubah takdir ialah berusaha dan doa. Jelasnya, takdir dikejar atau lari ke takdir dengan berusaha dan berdoa, bukan lari dari takdir tanpa berusaha dan tanpa doa.

2 Jenis Konsep Takdir

Disini timbulnya dua konsep taqdir yang perlu difahami. Pertama, taqdir mubram yang sudah tetap dan pasti, seperti ketentuan hari qiamat, ajal, jantina lelaki dan perempuan. Jenis taqdir ini tidak memberi kesempatan kepada manusia berikhtiar untuk mengelak daripadanya. Yang kedua ialah taqdir muallaq yang bergantung kepada sebab-sebab tertentu untuk mengubahnya kepada keadaan yang lain (seperti doa, usaha dan ikhtiar).

Hikmah Beriman Dengan Takdir

Sesungguhnya nikmat dan fadhilat beriman kepada Qadha’ dan Qadar besar sekali. Jika kepercayaan yang salah terhadap taqdir boleh membawa kemunduran kepada umat Islam (lantaran anggapannya bahawa semuanya sudah ditentukan, dan kita tidak perlu lagi berusaha), sebaliknya kepercayaan yang betul kepada taqdir akan membawa kejayaan kepada umat Islam.

Dengan penuh berani dia berjuang dan berjihad tanpa takut mati, kerana dia percaya melalui usaha dan doa, harapan mencapai kemenangan tetap ada, walaupun musuh dan peluru di sekeliling kita. Jika dalam perjuangan itu kita berjaya, bersyukurlah diatas pemberianNya. Tetapi sekiranya gagal, hendaklah bersabar menerima ketentuanNya. Yakni, redha menerima Qadha’ dan Qadarnya. Hikmat kegagalan dalam sesuatu perjuangan ialah dapat menginsafkan manusia betapa lemahnya kita dan betapa berkuasanya Allah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *