30 Tips Untuk Menghadapi Temuduga

temuduga kerja

Sempena tahu baru 1446 Hijrah ini saya nak belanja 30 tips untuk menghadapi temuduga. Ia dicatat berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya menemuduga beratus-ratus calon ke universiti sejak beberapa tahun yang lalu. Ia khusus untuk calon mahasiswa tetapi sesuai juga digunakan untuk calon temuduga umum yang lain.

Tips ini boleh digunakan untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri serta menjadikan diri lebih bersedia.

Ps: Disusun secara rawak, anda sort sendiri nanti.

1. Suara dan sebutan yang jelas dan lantang, tetapi tidak keras.

2. Gaya duduk yang betul posturnya. Jangan bersandar malas atau melunjur kaki ke hadapan mengadap penemuduga.

3. Jangan silang kaki atau mengangkang.

4. Tak perlu ulang ucap Salam setiap kali menjawab soalan. Straight to the point, masa tak banyak.

5. Elakkan gangguan wacana. Contoh: ‘’emmm, aaaa, errrr’. Kekerapannya boleh mengganggu pemahaman dan minat penemuduga. Jika hilang perkataan atau idea, berhenti sebentar, fikir dan bercakap semula.

6. Jawab soalan, usah menerawang. Spesifik.

7. Kuasai bidang sesuai dengan bidang atau kerja yang dipohon.

8. Perkemaskan diri dengan general knowledge. Sangat penting untuk beri impresi baik.

9. Tepati masa. Jika penemuduga kata, ‘dalam seminit nyatakan pandangan anda tentang…’ maka gunakan seminit, jangan panjang-panjang. Setiap sesi ada peruntukan masanya yang perlu ditepati.

10. Pakai pakaian yang sesuai. Baju cerah seluar gelap adalah yang terbaik. Kalau tudung usahlah terlalu fancy. Don’t have to be too colourful and flowery. Paling baik ringkas dan kemas.

11. Kasut yang sesuai. Jangan terlalu kluk-klak. Kadang-kadang pintu masuk dengan kerusi calon jauh, lalu bunyinya mengganggu dan tak menyenangkan, apatah lagi jika pakai tumit tinggi yang nampak janggal. Kecuali anda mohon kerja Setiausaha Peribadi atau Model, mungkin.

12. Gunakan peluang untuk jelaskan kelebihan diri ketika sesi pengenalan. Ini masanya untuk ímpress penemuduga. Nyatakan kelebihan diri anda yang eksklusif. Bekerja dalam pasukan bukannya kelebihan diri yang eksklusif. Kalau anda bisa berbahasa Arab dan Mandarin misalnya, itu poin penting. Kalau menguasai alat muzik, itu penting.

13. Confident. Yakin dengan diri anda, jangan nampak kusam dan tak bertenaga. Ceriakan diri.

14. Susun sijil anda mengikut keutamaan dari segi pencapaian. Kalau mohon masuk universiti tak perlulah sijil zaman tingkatan tiga. Kalau ada peringkat antarabangsa dahulukan. Kemudian kebangsaan, sampailah daerah. Kalau peringkat antara kelas di sekolah, tak perlu. Penemuduga nak tengok yang paling menarik dan impresif dalam jangka masa yang singkat begitu.

15. Jaga bahasa badan. Body language. Sopan dan sesuai. Usah terlalu kaku atau terlalu banyak gerakkan badan dan tangan. Tapi gayakan juga tangan sebaiknya.

16. Gunakan perkataan atau istilah yang sesuai Ketika bercakap.

17. Sediakan sapu tangan atau kain jika anda batuk atau selesema.

18. Jangan buat muka sombong atau ketat walaupun anda anda pointer 4.0 STPM atau ada sijil lanjutan bahasa Hebrew sekalipun.

19. Berani. Usah reserve. Usah malu-malu. Nyatakan pendapat anda berserta bukti, dengan berani. Selalunya penemuduga nak tengok anda bercakap kerana idea anda boleh diperbaiki setelah diterima masuk nanti.

20. Pakai nametag jika ada atau jika mampu. Sangat membantu penemuduga untuk mengenali anda terutamanya jika sesi temuduga tersebut melebih dua orang dalam satu masa.

21. Bercakap guna bahasa standard. Elakkan dialek tempatan anda. Kalau tertubik juga, maaf, dan ulangi dalam bahasa standard.

22. Bercakap dalam nada atau intonasi yang sesuai dengan jawatan atau kedudukan yang dipohon. Kalau nak jadi guru mesti jelas dan bertenaga. Saya taknak ambil calon guru yang lemau dan lembik.

23. Menguasai bahasa secara betul.

24. Apabila ditanya, tak perlu ulang soalan. Jawab, bukan ulang soalan. Kalau perlukan masa, tarik nafas, senyum dan minta beberapa saat. Penemuduga faham kegugupan anda.

25. Jangan terlalu kerap berdehem atau meletupkan jari misalnya.

26. Bersihkan muka daripada anasir seperti tahi mata atau tahi hidung.

27. Pandang muka penemuduga ketika bercakap. Establish eye contact.

28. Gunakan masa yang diperuntukkan sebaiknya. Bercakap sampai anda dihentikan atau anda tahu dah capai masanya. Jangan rugikan peluang.

29. Jangan tengok jam ketika penemuduga bercakap. Tak sopan kerana kelihatan seolah-olah anda tak fokus atau tak sabar nak keluar.

30. Fail yang anda bawa, elok ada gambar dan nama pada muka hadapan (cover), supaya senang penemuduga tarik keluar jika calon melebihi dua orang pada setiap masa.

Kongsikan jika bermanfaat.

-Sahul HM-

5/5 - (1 vote)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *