Mad Fari’e

mad

Mad Fari’e ( مد فرعي ) – iaitu mad yang cabang atau tambahan; iaitu mad yang mempunyai sebab untuk memanjangkannya seperti bertemu dengan huruf hamzah atau sukun.

Mad Fari’e Yang Disebabkan Hamzah:

1. Mad Muttasil ( مد متصل ) : Berlaku apabila huruf mad bertemu dengan huruf hamzah dalam satu kalimah. Muttasil bererti bersambung.

Hukum bacaannya: wajib (semua qiraat membaca dengan dipanjangkan lebih daripada 2 harakat).

Kadar bacaan: 4 atau 5 harakat diseragamkan.

Dikenali dengan adanya tanda panjang ( ~ ) di atas huruf mad.

Contoh:

 ٱلسَّمَآءِ  –  مَآءٗ   –   سَوَآءٌ  – أَضَآءَتۡ  –  أُوْلَٰٓئِكَ  –  مَلَٰٓئِكَةِ  

2. Mad Munfasil ( مد منفصل ) : Berlaku apabila huruf mad bertemu dengan huruf hamzah dalam dua kalimah dan disambungkan bacaan. Munfasil bererti bercerai.

Hukum bacaannya: jaiz (terdapat qiraat yang mengharuskan dibaca dengan 2 harakat dan terdapat juga qiraat yang tidak mengharuskannya dan memanjangkan bacaan lebih daripada 2 harakat).

Kadar bacaan: diseragamkan dengan kadar bacaan mad muttasil.

Sekiranya tidak disambungkan bacaan, huruf mad itu dibaca dengan 2 harakat sahaja.  

Dikenali dengan adanya tanda panjang ( ~ ) di atas huruf mad.

Contoh:

فِيهَآ أَزۡوَٰجٞ – مَاذَآ أَرَادَ – يَسۡتَحۡيِۦٓ أَن – تَكُونُوٓاْ أَوَّلَ

3. Mad Silah Kubra ( مد صلة كبرى ) : mad yang berlaku pada huruf ha’ dhomir atau ha’ kinayah yang terletak di antara dua huruf yang berbaris dan bertemu dengan huruf hamzah selepasnya ketika wasal. Ketika waqaf, ia disukunkan.

Silah bererti sambung; kubra pula bererti besar.

Dapat dikenali dengan adanya tanda panjang di atas wau kecil ( ) atau ya kecil ( ) selepas huruf ha’ dhomir atau ha’ kinayah.

Kadar bacaan: diselaraskan dengan kadar bacaan mad mutassil iaitu 4 atau 5 harakat

Contoh:

مَالَهُۥٓ أَخْلَدَهُۥ – إِنَّمَآ أَمْرُهُۥٓ إِذَآ أَرَادَ شَيْـًٔا

4. Mad Badal :  ( مد بدل ) Berlaku apabila huruf hamzah bertemu dengan huruf mad di awal kalimah atau setiap huruf hamzah yang dipanjangkan sebutannya. Badal bererti tukar.

Terdapat dua jenis mad badal:

a. Mad Badal Asli: mad yang pada asalnya, terdapat huruf hamzah kedua sakinah yang ditukar kepada huruf mad.

ءَامَنَ <– ءَأْمَنَ

أُوتُوا <– أُؤْتُوا

إِيمَانًا <- إِئْمَانًا

b. Mad Menyerupai Badal: mad asli yang kelihatan seperti mad badal dan huruf hamzah itu bukan di awal kalimah.

جَآءُو – مَئَاب – رُءُوسِهِمْ

Kadar bacaan:  2 harakat.

وَأُوذُواْ – إِيمَانًا – ءَادَمَ

Contohnya:

اٰمَنَ الرَّسُوْلُ بِمَآ اُنْزِلَ – زَادَتْهُمْ اِيْمَانًا وَّعَلٰى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُوْنَۙ – وَمَآ اُوْتِيَ مُوْسٰى وَعِيْسٰى

Mad Fari’e Yang Disebabkan Sukun:

  • Mad Fari’e Yang Disebabkan Sukun ‘Aridh

5. Mad Arid Lissukun  ( مد عارض للسكون ) : mad yang berlaku apabila huruf mad bertemu dengan sukun yang mendatang kerana diwaqafkan pada akhir kalimah.

‘Aridh bererti mendatang; lis sukun bererti disebabkan sukun.

Kadar bacaannya: 2, 4 atau 6 harakat diseragamkan.

Contoh:

فَنَادَوا وَّلَاتَ حِينَ مَنَاصٍ – وَمَا ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ بِعَزِيزٍۢ

6. Mad Lin ( مد لين ) : mad yang berlaku apabila huruf lin bertemu dengan sukun yang mendatang kerana diwaqafkan pada akhir kalimah.

Lin bererti lunak; lis sukun bererti disebabkan sukun.

Kadar bacaan:
2, 4 atau 6 harakat diseragamkan tetapi tidak melebihi kadar bacaan mad ‘aridh lis sukun kerana tingkatan mad ‘aridh lis sukun lebih tinggi.

Contoh:

فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَٰذَا الْبَيْتِ – وَءَامَنَهُم مِّنْ خَوْفٍ

  • Mad Fari’e Yang Disebabkan Sukun Asli

7. Mad Lazim Kalimi Muthaqqal ( مد لازم كلمي مثقل ) : mad yang berlaku apabila huruf mad bertemu dengan sukun asli dalam satu perkataan disertai idgham.

Musaqqal bererti berat; iaitu terdapat hukum idgham.

Dapat dikenali dengan adanya tanda panjang ( ~ ) di atas huruf mad diikuti tanda sabdu di atas huruf berikutnya.

Kadar bacaannya: 6 harakat beserta idgham

Contoh:

وَوَجَدَكَ ضَآلًّا فَهَدَىٰ – فَإِذَا جَآءَتِ ٱلطَّآمَّةُ ٱلْكُبْرَىٰ

8. Mad Lazim Kalimi Mukhaffaf ( مد لازم كلمي مخفف ) : mad yang berlaku apabila huruf mad bertemu dengan sukun asli dalam satu perkataan tanpa idgham.

Mukhaffaf bererti ringan; iaitu tiada hukum idgham.

Berlaku pada satu kalimah sahaja yang terdapat pada dua ayat (51 dan 91) di dalam Surah Yunus.

Dapat dikenali dengan adanya tanda panjang ( ) di atas huruf mad diikuti tanda sukun di atas huruf berikutnya.

Kadar bacaan: 6 harakat.

Contoh:

ءَآلْـَٰٔنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ – آلْآنَ وَقَدْ كُنتُم بِهِ تَسْتَعْجِلُونَ

9. Mad Lazim Harfi Muthaqqal ( مد لازم حرفي مثقل ) : mad yang berlaku apabila huruf mad bertemu dengan sukun asli dalam satu huruf disertai idgham.

Musaqqal bererti berat; iaitu terdapat hukum idgham.

Kadar bacaannya: 6 harakat.

Huruf-huruf ringkas (Huruf Muqataat) yang terdapat di awal 29 surah hendaklah dibaca mengikut ejaaannya dan dipelihara segala hukum tajwid yang terdapat di dalamnya.

Contoh:

الٓمٓ – الٓمٓر

10. Mad Lazim Harfi Mukhaffaf ( مد لازم حرفي مخفف ) : mad yang berlaku apabila huruf mad bertemu dengan sukun asli dalam satu huruf tanpa idgham.

Mukhaffaf bererti ringan; iaitu tiada hukum idgham.

Kadar bacaannya: 6 harakat.

Huruf-huruf ringkas (Huruf Muqataat) yang terdapat di awal 29 surah hendaklah dibaca mengikut ejaaannya dan dipelihara segala hukum tajwid yang terdapat di dalamnya.

Contoh:

يسٓ  –    حمٓ  –  طه

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *