Khawarij
Kalimah Khawarij di dalam bahasa Arab : خوارج bermaksud “Mereka yang Keluar” dan hal ini daripada sudut Istilah merujuk kepada kefahaman golongan yang keluar daripada ketaatan kepada Khalifah Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu serta menolaknya.
Terdapat riwayat bahawa Rasulullah SAW telah memberi perkhabaran mengenai kemunculan Khawarij. Yusair bin Amru mengatakan, aku bertanya kepada Sahal bin Hunaif:
هَلْ سَمِعْتَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: فِي الخَوَارِجِ شَيْئًا؟ قَالَ: سَمِعْتُهُ يَقُولُ، وَأَهْوَى بِيَدِهِ قِبَلَ العِرَاقِ: يَخْرُجُ مِنْهُ قَوْمٌ يَقْرَءُونَ القُرْآنَ، لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الإِسْلاَمِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنَ الرَّمِيَّةِ
Maksudnya: “Apakah engkau mendengar Nabi SAW bersabda tentang Khawarij? Ia menjawab: Aku mendengar beliau bersabda – sambil beliau arahkan tangannya menuju Iraq – Dari sanalah muncul sekelompok kaum yang membaca al-Qur’an tidak melebihi kerongkongan mereka, mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah keluar dari busurnya.” Riwayat al-Bukhari (6934)
Mereka adalah kelompok Islam yang paling kuat mempertahankan iktikad mereka dan begitu bersemangat terhadap pendapat mereka. Sikap taksub terhadap pemikiran ini mendorong mereka ke arah perlakuan yang memberi mara bahaya dan bersikap keras hati terhadap orang yang menentangnya.
Kemunculan Aliran Khawarij
Menurut Kitab-kitab Firaq (perpecahan umat) awal kemunculan Khawarij secara rasmi ialah semasa zaman Amirul Mukminin Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu sewaktu terjadinya Majlis Tahkim bersama dengan Muawiyah radiallahuanhu. Mereka berkumpul disuatu tempat yang disebut Harurah (sebuah kawasan di daerah Kufah) dan membantah perlaksanaan Majlis tersebut kerana menganggap ianya membelakangi Kitab Allah dan hukum Allah swt.
Namun hakikatnya itu bukanlah punca sebenar mereka keluar daripada pasukan Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu.
Mereka juga sebelum kemunculan secara rasmi telah bertanggungjawab kepada beberapa siri fitnah dan kejahatan seperti pembunuhan Khalifah Utsman bin Affan radiallahuanhu. Setelah Utsman dibunuh, mereka kemudian bersembunyi ke dalam pasukan dan penyokong Ali bin Abi Tolib untuk mengelakkan diri mereka daripada diburu dan dibunuh balas oleh Muawiyah radiallahuanhu yang memiliki hubungan kekeluargaan dengan Khalifah Utsman bin Affan.
Pembunuh Utsman adalah tidak diketahui kerana jumlahnya ramai dan apabila Ali bertanya kepada golongan Khawarij ini siapakah yang membunuh Utsman maka ribuan manusia daripada penyokong Khawarij ini mengaku telah membunuh Utsman lalu hal itu menyebabkan Khalifah Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu menangguhkan usaha untuk melakukan Qisos ke atas Utsman sehingga menyebabkan ketidak puasan hati di sisi Muawiyah dan juga ramai sahabat yang lain.
Akhirnya terjadilah perang siffin kerana perbezaan pendapat dan juga kerana masing-masing pasukan diapi-apikan oleh golongan munafiqin (seperti kaum Khawarij dan Abdullah bin Saba’ daripada Syiah). Kemudian masing-masing pihak mengirim utusan untuk berunding maka terjadilah perdamaian antara kedua belah pihak dan Majlis Tahkim.
Melihat hal ini orang-orang Khawarij menjadi bimbang bahawa dengan perdamaian di antara Ali dan para sahabat seperti Muawiyah akan menyebabkan mereka ditangkap dan diburu kerana telah membunuh Utsman bin Affan radiallahuanhu maka akhirnya mereka pun melarikan diri dan keluar daripada pasukan Ali bin Abi Tolib dan menubuhkan pasukan mereka sendiri untuk menyelamatkan diri.
Mereka juga kemudian membuat perancangan untuk membunuh para pemimpin Islam seperti Khalifah Ali bin Abi Tolib dan Muawiyah bin Abi Sufyan dan lain-lain sahabat radiallahuanhum tetapi hanya Ali yang berjaya dibunuh sewaktu solat subuh di masjid.
Khawarij menafsirkan Kitab Al-Quran secara zahir.
Mereka menolak tafsiran Al-Quran oleh para sahabat dan memahami Islam secara hukum zahir dan mengambil lafaz-lafaz Al-Quran secara zahir ayat. Hal ini menyebabkan mereka tersesat dan ditambah pula oleh sikap ta’asub mereka kepada diri mereka dan ibadah mereka yang tersangat banyak melebihi ibadah para sahabat menyebabkan mereka memperendahkan para sahabat rasulullah dan tidak mengambil hadis yang bertentangan dengan kefahaman dan tafsiran mereka.
Golongan Khawarij kemudian berkumpul serta berpusat di Nahrawan dan melantik Imam dan ketua perang mereka sendiri serta menubuhkan pasukan ketenteraan dan jamaah mereka dengan memiliki Imam solat, tukang azan dan mendirikan insititusi agama yang diharapkan dapat mengatasi ajaran Islam yang dikuasai oleh para sahabat rasulullah salallahualaihiwasalam.
Mereka mengkafirkan sejumlah besar para sahabat, khalifah-khalifah Islam dan umat Islam yang melakukan dosa besar serta maksiat pada pandangan mereka. Iman di sisi mereka ialah tetap dan tidak boleh berkurang dan jika berkurang pada seseorang kerana maksiat maka orang itu di sisi mereka telah menjadi kafir. Dakyah mereka sangat merbahaya sehingga mengakibatkan ramai para sahabat telah ditangkap dan dibunuh kerana pada anggapan mereka para sahabat rasulullah telah menjadi murtad disebabkan mereka tidak sefahaman dengan kepercayaan Khawarij.
Mereka menuntut agar Ali berikrar terhadap kesalahan dirinya, bahkan mereka mengaggap kafir dengan menerima tahkim. Ali tidak menjawab tuntutan mereka. Lalu mereka bersepakat untuk keluar dari Kufah ke suatu kampung bernama Harura’. Ketika itu kelompok ini dinamakan dengan al-Haruriyah. Mereka diberi nama dengan Khawarij kerana mereka keluar dari imam Ali dan para pengikutnya.
Tiada Hukum Selain Hukum Allah
لا حكم الا حكم الله
Seruan ini dipopularkan oleh Khawarij namun maksudnya adalah benar cuma digunakan oleh Khawarij pada jalan yang salah.
Mereka melaungkan slogan ini bukanlah demi untuk berhukum dengan hukum Allah kerana jika benar sedemikian pasti mereka mahu melaksanakan Qisos (bunuh balas) ke atas pembunuh Utsman sebaliknya mereka melaungkan slogan ini hanyalah sebagai retorik politik demi menolak Majlis Tahkim agar para sahabat berterusan berperang supaya mereka mudah menangguk di air yang keruh.
Perdamaian Ali bin Abi Tolib dan Muawiyah bin Abi Sufyan pasti akan membahayakan mereka kerana hal itu akan menyebabkan mereka akan diburu dan dibunuh oleh gabungan para sahabat (yang telah berhenti berperang) tersebut kerana mahu menuntut balas di atas pembunuhan Utsman bin Affan.
Mereka segera menyisih diri daripada pasukan Ali kononnya kerana membenci dan menolak dihukum dengan Majlis Tahkim hakikatnya mereka ketakutan dan melarikan diri dengan segera ke Nahrawan dan mengangkat Imam, pasukan perang dan melakukan persiapan perang kepada para sahabat.
Asas-asas Mazhab Khawarij
1 . Pemerintahan Abu Bakar, Umar dan Usman adalah sah pada awalnya, namun ia wajib dipecat ketika Abu Bakar mengubah cara pemerintahan dan mendahulukan kaum kerabatnya.
2 . Pemerintahan Ali dianggap sah sehingga berlakunya Tahkim. Apabila dia dianggap sebagai salah, mereka mengkafirkannya, Abu Musa al-Asy’ari dan Amru bin al-Ash.
3 . Pemerintahan wajib dengan pilihan orang yang merdeka dari kalangan umat Islam, samada yang dipilih itu bangsa Quraisy ataupun hamba Habsyi. Dia tidak berhak untuk menarik diri/tidak menghukum atau menghukum/memerintah, Dia juga wajib tunduk dan patuh secara sempurna terhadap perintah-perintah agama. Jika tidak dia wajib dipecat.
4 . Amal itu adalah sebahagian dari keimanan, kerana mereka berpendapat bahawa iman itu adalah pembenaran dan amal. Setiap orang yang memaksiati (melakukan dosa) Allah Taala, maka dia adalah kafir. Semua dosa adalah dosa besar.
5 . Wajib keluar (menyisihkan diri) dari imam/pemerintahan yang zalim. Mereka tidak mengambil pendapat taqiyah sebagaimana Syiah.
Ali r.a. memerangi golongan Khawarij dan mengalahkan mereka. Begitu juga dengan para pemerintah Bani Umawiyah dan Abbasiyah telah memerangi mereka, sehingga golongan ini pupus pada kurun ketiga Hijrah. Sudah tidak wujud lagi golongan ini kecuali golongan Ibadhiyah yang terdapat di Maghrib, iaitu kelompok Khawarij yang paling sederhana.
Ini ciri-ciri khawarij mafhum dari banyak hadis Nabi:
- Kaum yang membaca al-Quran, yang mana bacaan kamu tidak ada nilainya dibandingkan dengan bacaan mereka.
- Mereka membaca al-Quran tetapi bacaan mereka itu tidak melebihi (melampui) kerongkong mereka.
- Akan mencela solat kamu semua dengan membandingkan dengan solat mereka.
- Solat kamu tidak ada nilainya dibandingkan dengan solat mereka.
- Mencerca puasa kamu dibandingkan dengan puasa mereka.
- Puasa kamu tidak ada ertinya dibandingkan dengan puasa mereka.
- Menghina amal perbuatan kamu dibandingkan dengan amal perbuatan mereka.
- Mereka keluar daripada agama (Islam) sederas anak panah yang keluar dari busurnya.
- Mereka itu akan memecah agama Islam sebagaimana keluarnya anak panah dari busurnya.
- Mereka membaca al-Quran sehingga kamu akan menyangka bahawasanya al-Quran itu milik mereka sahaja, padahal sebenarnya al-Quran itu akan melaknat mereka.
- Kaum yang berusia muda (ahdasul asnan), berfikiran pendek (sufahaul ahlam).
- Mereka memperkatakan sebaik-baik ucapan kebaikan.
- Mereka akan terus muncul sehingga keluar yang terakhir daripada mereka bersama Dajjal.
- Mereka itu seburuk-buruk makhluk dan seburuk-buruk khalifah.
- Setiap kali muncul sekelompok dari mereka, (mereka) pasti tertumpas.
- Khawarij adalah Anjing-anjing Neraka.
Politik Khawarij
- Politik Khawarij bahaya kerana jadikan naratif akidah senjata untuk lawan musuh politik dengan label Kafir, Munafik, Liberal Akidah dll.
- Paling kurang mereka panggil ‘musuh Allah’ walhal hadith Nabi saw menegahnya.
- Bila akidah lawannya dianggap sesat, mereka lakukan pelbagai dosa terhadap lawan politiknya seperti fitnah, ugutan jenayah dan Qazaf.
- Matlamat ‘perjuangan Islam’ telah halalkan kaedah dosa.
- Kerja mereka bukan lagi mahu selamatkan akidah umat Islam lain, bahkan semakin ‘sesat’ akidah lawan mereka, lebih baik untuk puak mereka raih sokongan.
- Bacaan Al-Quran kini tersangkut di kerongkong dan tidak lagi mampu halang mereka lakukan dosa demi segera capai matlamat.
- Al-Quran dibaca hanya untuk serang lawan walhal Al-Quran sedang melaknat perlakuan dosa mereka.
- Semua pihak yang berlawan dengan mereka menjadi mangsa dilabel musuh Islam.
- Naratif ekstrim politik pilihanraya telah menjadi pertembungan Islam dan Kuffar hingga tercetus insiden tidak sewajarnya yang mengganggu keharmonian negara.
- Mereka sentiasa punyai cara untuk perkukuh doktrin ini melalui Usrah, Tamrin, ijtimak dan Muktamar.
- Sepertimana pengikut Kultus lain, mereka juga selesa berada dalam ‘bubble’ itu dan sentiasa diperkuat cara fikir itu.
Kesimpulan
Khawarij adalah kalangan yang menuduh kafir kepada kalangan yang berbeza pendapat politik dengan mereka. Kalau semata-mata keluar dari pemerintah, ia tidak boleh dianggap sebagai Khawarij. Saidatina Aisyah pernah keluar dari pemerintahan Saidina Ali. Saidina Muawiyah juga sama.
Dua sahabat besar ini tidak amalkan takfir, walaupun perbezaan mereka dalam kerangka politik.
Semata-mata amalkan takfir, juga tidak boleh dianggap sebagai Khawarij. Kerana, pertembungan antara Asya’irah dan Salafiyyah, terdapat dari pihak masing-masing yang saling tuduh kafir. Lazimnya yang dari kelompok ghuluw.
Khawarij pasti ada kaitan dengan idealogi politik. Ekoran itu, Khawarij di zaman Saidina Ali menuduh khalifah Islam itu sebagai kafir hanya kerana menganggap Saidina Ali tidak berhukum dengan hukum Allah dalam pentadbiran politik.
Khawarij memahami teks wahyu berkaitan politik secara literal. Mereka mengabaikan Maqasid disebalik teks wahyu yang berkaitan politik. Ekoran itu, Saidina Ali pernah kata: perkataan mereka adalah benar. Tetapi kehendak mereka adalah kebatilan.
Literal teks yang dibaca mereka adalah benar. Sebab, ia adalah ayat Al-Quran. Namun, tujuan dan Maqasid ayat Al-Quran terbabit tersasar dari tujuan mereka.