عن عُمَرَ بْن الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Umar bin al-Khattab meriwayatkan, kata beliau aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Segala amalan dikira hanya dengan niat. Sesungguhnya setiap orang akan mendapat apa yang diniatnya sahaja. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, hijrahnya dikira kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk (mendapat) dunia atau untuk berkahwin dengan seseorang wanita, hijrahnya dikira untuk tujuannya itu.” (Bukhari- Muslim)
Asbabul Wurud Hadits Niat Di Atas
Latar belakang yang mendorong hadits di atas diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w. dapat dilihat di dalam sebuah atsar sahih yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas`ud. Kata beliau:
من هاجر يبتغي شيئا فهو له قال هاجر رجل ليتزوج امرأة يقال لها أم قيس وكان يسمى مهاجر أم قيس
Bermaksud: “Sesiapa yang berhijrah kerana sesuatu, hijrahnya dikira kerana sesuatu itu.” Beliau (Ibnu Mas`ud) berkata lagi: “Pernah seorang lelaki berhijrah untuk berkahwin dengan seorang perempuan yang dipanggil (dikenali dengan) Ummu Qais. Lelaki itu kemudiannya disebut sebagai ‘Muhajir Ummi Qais”.” (at-Thabaraani di dalam al-Mu`jamu al-Kabir). Begitulah tanggapan sebilangan besar penulis-penulis muta’akhkhirin.
Kemusykilan yang sering kali ditimbulkan di sini ialah Abu Thalhah r.a. ketika masih sebagai seorang kafir pernah melamar Ummu Sulaim. Memeluk agama Islam adalah syarat yang ditentukan oleh Ummu Sulaim untuk menerima Abu Thalhah sebagai suaminya. Maka Abu Thalhah memeluk agama Islam. Bukankah Islam itu jauh lebih besar daripada hijrah. Bagaimana Islam Abu Thalhah dapat diterima tanpa sebarang teguran oleh Nabi s.a.w., sedangkan hijrah Muhajir Ummi Qais tidak, dia bahkan telah ditegur?
Jawapan kepada kemusykilan itu ialah Abu Thalhah r.a. sebelum itu sebenarnya memang sudahpun berhasrat untuk memeluk agama Islam. Beliau memeluk Islam sebelum mengahwini Ummu Sulaim dengan kerelaannya sendiri, bukannya semata-mata untuk memenuhi syarat wanita yang hendak dikahwininya itu. Sebab itulah perbuatan Abu Thalhah tidak mendapat sebarang teguran daripada Nabi s.a.w. Berbeza dengan sahabat yang berhijrah tersebut yang menumpangkan niat berkahwinnya dengan niat hijrahnya.
Walaupun kita yakin bahawa niatnya untuk berhijrah adalah lebih utama baginya, kerana beliau juga adalah seorang sahabat Baginda s.a.w. bukannya seorang munafiq. Namun ia tetap tidak disukai Allah s.w.t. yang menuntut sepenuh ketulusan dalam beribadat kepadaNya. Kita tidak dapat mengatakan hijrahnya betul-betul ikhlas seikhlas Islamnya Abu Thalhah tidak kerana lain melainkan kerana Rasulullah s.a.w. sendiri telah menyebutkan hijrahnya adalah untuk berkahwin.
Tetapi kata Hafiz Ibnu Hajar, a’sar Ibnu Mas`ud itu pun tidak jelas sebenarnya menunjukkan hadits niat di atas diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w. berhubung dengan sahabat yang disebut sebagai ‘Muhajir Ummi Qais’ itu. Saya tidak menemui satu pun saluran riwayat yang menunjukan dengan jelas tentangnya. Demikian juga kata Ibnu Rajab di dalam Syarah Arba`innya: “Sesungguhnya telah masyhur di kalangan orang ramai bahawa kisah ‘Muhajir Ummi Qais’ itulah merupakan sebab wurud’ (latar belakang yang mendorong Nabi s.a.w. mengungkapkan sesuatu hadits) bagi sabda Rasulullah s.a.w. di atas. Ia disebut oleh sekian ramai penulis-penulis muta’akhkhirin. Namun saya tidak pernah menemui asasnya yang sahih.“
Tujuan disyari’atkan niat dalam ibadat
ialah untuk menyatakan perbezaan di antara amal (pekerjaan) ibadat dengan amal (pekerjaan) adat (kebiasaan) atau di antara jenis ibadat itu sendiri. Sebagai contohnya: Duduk di dalam masjid kerana beri’tikaf dan duduk berehat di dalamnya, sama saja zahirnya. Mandi untuk mengangkat hadats besar dan mandi untuk mendapat kesegaran, sama juga zahirnya. Yang membezakan kedua-duanya adalah niat. Sembahyang, puasa dan sedekah wajib (zakat) sama keadaannya dengan sembahyang, puasa dan sedekah sunat. Semuanya dinamakan ibadat. Tetapi yang dapat membezakan di antara jenis dan martabatnya ialah niat atau maksud orang yang melakukannya.
Sementara itu ada pula perbuatan atau amalan yang asalnya bukan merupakan ibadat, kerana ia dilakukan atas dorongan naluri seseorang manusia. Seperti makan, minum, tidur, bersetubuh dan sebagainya. Tetapi ia boleh bertukar menjadi ibadat umum yang mendatangkan pahala sekiranya ia dilakukan dengan niat untuk menegakkan tuntutan agama.
Erti niat dan perbedaannya dengan iradat dan azam.
Dari segi bahasa Arab niat bererti tujuan, maksud, kehendak dan sebagainya. Menurut Syara’ pula niat bererti:
توجه القلب نحو الفعل ابتغاء لوجه الله تعالى
(Tumpuan hati terhadap sesuatu perbuatan yang dilakukan, semata-mata kerana Allah).
Perkataan niat di dalam hadits di atas dipakai dengan erti bahasanya. Sebabnya ialah pembahagian dan perincian tentang hijrah kerana Allah atau kerana selainNya yang tersebut di akhir hadits itu jelas menunjukkan ia tidak dipakai dengan ma`na syar`inya. Malah ia dipakai dengan ma`na lughawinya yang mengandungi erti hijrah dengan maksud dan tujuan mendapat keredhaan Allah atau dengan maksud dan tujuan untuk mendapat sesuatu yang lain selain keredhaan Allah.
Iradat bererti kehendak untuk melakukan sesuatu perkara. Sama ada manfa’at untuk diri sendiri akan diperolehi daripadanya atau tidak. Sedangkan perkataan niat mengandungi erti hajat, kehendak dan kepentingan diri orang yang berniat. Kerana itulah perkataan ini tidak digunakan untuk Allah. Tidak pernah dikatakan نوى الله تعالى (Allah berniat) tetapi sebaliknya sering kali dikatakan اراد الله تعالى (Allah menghendaki).
`Azam ialah tekad atau keputusan muktamad hendak melakukan sesuatu perbuatan tetapi perbuatan itu belum lagi dilakukan. Berbeza dengan niat kerana ia mesti ada sekurang-kurangnya di permulaan sesuatu perbuatan yang dilakukan seseorang.
Tempat niat ialah di hati
Mengucapkan apa yang diniat di dalam hati tidak disyaratkan dan tidak juga diwajibkan dalam semua jenis ibadat. Sepakat ulama’ semua mazhab mengatakan, Mengucapkan dengan lidah semata-mata tanpa berniat di dalam hati hendak melakukan sesuatu ibadat adalah tidak sah. ‘Ulama’ semua mazhab juga bersepakat mengatakan, ada niat di dalam hati sahaja sudah memadai untuk sahnya sesuatu amalan ibadat. Kecuali dalam ibadat haji dan umrah, kerana selain mesti ada niat hendak mengerjakannya, sunat juga diucapkan apa yang diniat. Misalnya diucapkan kalau hendak mengerjakan haji dan umrah atau kalau hendak mengerjakan `umrah sahaja. Alasan kepada pengecualian ini ialah hadits Rasulullah s.a.w., di mana ketika hendak memulakan ibadat berkenaan, baginda telah mengucapkannya dan ia didengari oleh sekian ramai sahabat.
Para `ulama’ hanya berbeza pendapat tentang hukum mengucapkan apa yang diniat, sama ada ia mustahab, sunat, makruh atau bid’ah. Kebanyakan ulama’ dari kalangan Syafi’iyyah dan Hanafiyyah menganggap ia mustahab. Yang berbeza cuma kebanyakan ulama Hanafiyyah mengatakan mustahab itu hanya kepada orang yang was-was atau kepada orang-orang yang sukar menghadhirkan niat di dalam hati tanpa menyebutkannya. Golongan Syafi’iyyah pula berpendapat mustahab kepada semua orang. Hanya seorang dua ulama sahaja dari kalangan Syafi’iyyah berpendapat mengucapkan apa yang diniat untuk sesuatu ibadat adalah wajib.
Imam Malik dan kebanyakan ulama’ dalam mazhabnya berpendapat ia makruh. Sementara kebanyakan ulama’ dalam mazhab Hambali dan Ahlul Hadits pula berpendapat ia bid’ah kerana tidak tsabit di dalam mana-mana hadits sama ada sahih atau dha’if, musnad atau mursal, Nabi s.a.w. atau mana-mana sahabat baginda pernah melakukannnya. Tidak tsabit di dalam mana-mana hadits, Nabi s.a.w. pernah mengucapkan niat sembahyang atau puasanya. Ibnu Amiril Haaj berkata: “Tidak tsabit juga daripada mana-mana imam empat mazhab bahawa mereka menganjurkan para pengikut mereka supaya mengucapkan niat.” Bagi penulis, pendapat inilah yang benar. Langkah cermat juga ada pada pendapat ini. Kerana qaedah fiqh menegaskan, jika terdapat khilaf tentang sesuatu perkara, sama ada ia sunat atau bid’ah. Perkara itu lebih baik ditinggalkan.

