Pengertian Ihsan

ihsan

Jibril a.s bertanya kepada Nabi ,

فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِحْسَانِ, قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Beritahu kepadaku tentang Ihsan. Jawap Nabi: ” Ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olahnya engkau nampak Dia. Sekalipun engkau tidak nampak Dia, (ingat!) Dia tetap nampak engkau”.

Pada umumnya makna lughawinyalah (dari sudut bahasanyalah) yang dipakai. Dari sudut bahasa Arab ia bererti berbuat baik, berusaha memperbaiki (amalan dan lain-lain), memperelokkan, berusaha menjadikan (sesuatu amalan dan lain-lain) baik, amalan yang baik, balasan yang baik dan sebagainya.

Dari segi istilahnya ihsan ialah yang disebutkan oleh Nabi S.a.w. di dalam hadits ini. Ia mempunyai dua darjat.

Pertama: Darjat Musyahadah.

Seseorang yang berada pada darjat ini beribadat dalam keadaan seolah-olahnya dia nampak Allah.

Kedua: Darjat Muraqabah.

Seseorang yang berada pada darjat ini pula beribadat dalam keadaan sedar dan penuh yakin bahawa Allah sedang dan sentiasa melihatnya. Kalau darjat pertama ihsan tidak dapat dicapai, sekurang-kurangnya seseorang itu hendaklah berada pada darjat keduanya. Itulah maksud sabda Baginda s.a.w.:

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

“Ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Jika engkau tidak dapat melihatNya, maka (ketahuilah) sesungguhnya Dia sentiasa melihatmu”.

Bagaimanapun kedua-dua darjat itu tidaklah merupakan syarat untuk sahnya sesuatu ibadat yang dikerjakan. Ia hanya syarat untuk kesempurnaan sesuatu amalan semata-mata. Sekadar untuk sah sahaja, menjaga syarat-syarat yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh sudah pun memadai.

Jadi di dalam maksud ihsan istilahi juga tetap terkandung makna lughawinya iaitu memperelokkan, berusaha memperbaiki dan berusaha mengerjakan ibadat dengan sebaik mungkin supaya ganjaran dan balasan yang diperolehi juga merupakan yang terbaik. Usaha itu boleh dicapai apabila seseorang beribadat dengan penuh ikhlas, khusyu’, khudhu’ (penuh dengan rasa rendah diri), cinta dan rindu kepada Allah s.w.t.

Ibadat seseorang akan dikira telah mencapai dua darjat ihsan tersebut sekiranya ia berasa seronok, sedap, nikmat, lazat, puas dan tenang (sama ada biasa atau luar biasa) apabila mengerjakannya. Keadaan inilah yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabda Baginda: وجُعِلَتْ قُرَّة عَينِي في الصلاة Bermaksud: “Ketenangan jiwaku terletak di dalam sembahyang.”

Apa yang disebut Rasulullah s.a.w. di dalam hadits di atas hanya suatu tamsilan untuk memahamkan manusia sahaja. Kerana itulah Baginda s.a.w. bersabda: “seolah-olahnya engkau nampak Dia.” Kita tentunya tidak akan dapat melihat Allah di dunia ini, maka dikatakanlah “seolah-olahnya’. Memandangkan manusia pada ketika melakukan sesuatu pekerjaan, pasti akan lebih bersungguh-sungguh dan lebih memberikan perhatian kepada kerjanya, jika dia nampak sang majikan tercegat di hadapannya.

Manusia yang hidup di zaman moden yang serba canggih ini kiranya akan lebih mudah memahami maksud tamsilan Rasulullah s.a.w. itu. Ambil saja sebagai contoh sebuah pejabat. Bagaimana keadaan pekerja-pekerja yang terdiri daripada pelbagai tahap pangkatnya, pegawai, kerani, peon, pengawal keselamatan dan lain-lain.

Tidakkah semua mereka lebih tekun menjalankan kerja masing-masing jika bos atau majikan ada di hadapan mereka? Dalam keadaan majikan tidak ada di hadapan, suasana pejabat biasanya menjadi lain. Agak lesu. Kadang-kadang jadi seperti pasar! Bagaimana pula kalau semua pekerja itu sedar, walaupun majikan tidak ada di hadapan, mereka juga tidak nampak dia, tetapi dia tetap nampak mereka.

Menerusi kamera litar tertutup (cctv) misalnya. Tidakkah dalam keadaan ini, suasana pejabat tetap akan teratur dan kerja-kerjanya berjalan lancar seperti bos atau majikan ada dihadapan mereka juga?? Ya, tentu kan! Kenapa? Jawabnya ialah kerana “Sekalipun engkau tidak nampak dia, (ingat!) dia tetap nampak engkau.” Macam mana? Macam-macamlah caranya.

Ayat-ayat di bawah jelas menggambarkan peri pentingnya ihsan itu dalam amalan seseorang:

(1)

هَلْ جَزَآءُ ٱلْإِحْسَٰنِ إِلَّا ٱلْإِحْسَٰنُ

Bermaksud: Bukankah tidak ada balasan bagi amalan yang baik melainkan balasan yang baik juga ? (Ar-Rahman:60).

(2)

 إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَٰنِ وَإِيتَآئِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ وَٱلْبَغْىِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan (Dia) melarang (kamu) daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji, kemungkaran dan kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan. (an-Nahl:90).

(3)

 ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ

Bermaksud: laitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan mema’afkan (kesalahan) orang. Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Aali imraan:134).

(4)

وَلَا تُفْسِدُواْ فِى ٱلْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَٰحِهَا وَٱدْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ ٱلْمُحْسِنِينَ

Bermaksud: dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. (al-A’raaf:56).

(5)

وَمِن قَبْلِهِۦ كِتَٰبُ مُوسَىٰٓ إِمَامًا وَرَحْمَةً ۚ وَهَٰذَا كِتَٰبٌ مُّصَدِّقٌ لِّسَانًا عَرَبِيًّا لِّيُنذِرَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ وَبُشْرَىٰ لِلْمُحْسِنِينَ

Bermaksud: (bagaimana mereka tergamak mengatakan al-Quran ini rekaan dusta yang telah lama?) pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa sebagai petunjuk dan rahmat (kepada umatnya); dan Al-Quran pula adalah sebuah Kitab yang membenarkannya dalam bahasa Arab untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang berbuat kebaikan. (al-Ahqaaf:12).

(6)

لِّلَّذِينَ أَحْسَنُواْ ٱلْحُسْنَىٰ وَزِيَادَةٌ ۖ وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلَا ذِلَّةٌ ۚ أُوْلَٰٓئِكَ أَصْحَٰبُ ٱلْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَٰلِدُونَ

Bermaksud: Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik, dikurniakan pahala yang terbaik (syurga) dan satu tambahan lain (yang cukup istimewa itu dapat melihat Allah). Muka mereka (berseri-seri) tidak diliputi sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli syurga. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. (Yunus:26).

(7)

وَقِيلَ لِلَّذِينَ ٱتَّقَوْاْ مَاذَآ أَنزَلَ رَبُّكُمْ ۚ قَالُواْ خَيْرًا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُواْ فِى هَٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ ٱلْءَاخِرَةِ خَيْرٌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ ٱلْمُتَّقِينَ

Bermaksud: dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: “Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan”. Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik. Sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat itu adalah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa. (an-Nahl:30).

(8)

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا

Bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleli, tentulah kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (al-Kahfi:30).

Demikianlah sebahagian daripada ayat-ayat al-Qur’an yang mengandungi perkataan ihsan dan pecahan-pecahan perkataannya. 

5/5 - (1 vote)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *