Najis-Najis yang Dimaafkan

najis

Kita diwajibkan menghilangkan sebarang najis dan menghindarinya dalam semua situasi dan keadaan. Membersihkan diri daripada najis sama ada pada anggota badan, pakaian dan tempat merupakan syarat sah solat. Walaupun begitu, Islam telah memberi kemaafan dan pengecualian kepada beberapa jenis najis kerana kesukaran untuk menghapuskan dan mengelak darinya. Semua ini adalah untuk memberi kemudahan dan keringanan oleh syariat kepada penganutnya.

Antara najis yang dimaafkan ini adalah seperti berikut:

  1. Percikan air kencing yang terlalu sedikit dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau dengan pandangan biasa, sama ada terkena pada badan, pakaian atau pun tempat ibadah. sama ada najis tersebut Mughallazah, Mukhaffafah atau Mutawassitah.

  1. Darah dan nanah yang sedikit adalah dimaafkan kecuali jika keluar dengan perbuatannya dan disengajakan, maka ia tidak dimaafkan. Dimaafkan juga darah luka dan bisul walaupun banyak dengan syarat ia keluar dengan sendirinya, bukannya keluar dengan cara disengajakan dan najis tersebut tidak melampaui ke kawasan yang biasa dan tidak terkena tempat lain. Dimaafkan juga najis yang terdapat di kawasan istijmar (kawasan bulatan dubur yang diistinjak dengan menggunakan batu). Ini khusus bagi orang yang beristinjak sahaja.

  1. Air kencing haiwan dan najisnya yang bercampur dengan biji-bijian ketika diirik dan dileraikan. Begitu juga najis haiwan ternakan dan air kencingnya yang terkena susu ketika proses pemerahan dilakukan. Jika sedikit dan tidak menyebabkan berlaku perubahan pada susu tersebut adalah dimaafkan. Demikian juga najis yang terdapat pada labu susu haiwan yang diperah susunya jika terjatuh ke dalam susu sewaktu memerahnya.

  1. Najis ikan adalah dimaafkan kecuali jika berubah air kerana najis itu. Begitu juga dengan tahi burung yang terdapat pada tempat kebiasaan burung tersebut hinggap. Ini adalah kerana ia termasuk dalam perkara yang sukar dielakkan yang disebut sebagai “umumul balwa”(عموم البلوى), kesulitan umum.

  1. Darah yang terpercik dan terkena pada pakaian atau badan tukang sembelih adalah dimaafkan kecuali jika terlalu banyak. Begitu juga darah yang terdapat pada daging binatang yang telah disembelih, ia juga adalah dimaafkan.

  1. Mulut bayi yang terkena najis muntah apabila menghisap susu ibunya. Sama juga dengan air liur yang keluar dari perut orang yang tidur (air liur basi) bagi orang yang menghidapi penyakit sentiasa keluar air liur ketika tidur.

  1. Debu-debu jalanan yang berterbangan atau air becak yang terpercik dan melekat pada tubuh seseorang sekalipun ia merasa yakin ianya bernajis, kerana ini adalah perkara yang sukar dielakkan.

  1. Bangkai serangga yang tidak berdarah jika terjatuh dalam sesuatu cecair seperti lalat, nyamuk, semut dan selainnya, dengan syarat ia jatuh dengan sendirinya dan bukan disengajakan serta tidak menyebabkan berlaku perubahan pada air tersebut.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَ اَلذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ, ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ, فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ دَاءً, وَفِي اَلْآخَرِ شِفَاءً 

Maksudnya: “Jika lalat terjatuh ke dalam bekas minuman kamu, hendaklah kamu selamkan semuanya. Kemudian barulah kamu buang, ini kerana pada salah satu sayapnya terdapat penawar dan pada yang satu lagi terdapat kuman penyakit”.

Sekiranya ia najis, nescaya Rasulullah SAW tidak memerintahkan supaya diselamkan keseluruhannya. Begitu juga dikiaskan dengan lalat semua jenis bangkai haiwan yang mati tidak mengalir darahnya.

Rujukan
al-Mu’tamad
al-Fiqh al-Manhaji

3.3/5 - (12 votes)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *