Kitab Misykat al-Masobih disusun oleh Waliud-din Abdullah Muhammad bin ‘Abdullah al Khatib al-Umari at-Tibrizi ( w. 741 H) atau lebih dikenali Khatib al-Tibrizi. Kitab ini menambah baik kekurangan yang terdapat dalam kitab Masobih al-Sunnah oleh Imam Al-Baghawi (W. 516 H).
Kitab ini boleh diibaratkan sebagai ringkasan kepada Sahih Bukhari di mana penyusunan isi kandungannya hampir sama dengan sahih tersebut. Apa yang membezakan di antara keduanya ialah bilangan hadis yang lebih banyak terdapat di dalam Sahih Bukhari dan juga taraf hadis. Pembaca kitab ini akan dapat menghayati tuntutan hidup seorang muslim berdasarkan sunnah Rasulullah SAW. Selain dari itu, perbahasan dipecahkan kepada beberapa fasal mengikut orientasi isi kandungan hadith memudahkan pembaca membuat rujukan kepada mana-mana hadith yang dikehendaki.
Penulis iaitu Imam Baghawi dan Imam al-Tibrizi ternyata tidak meletakkan hadith-hadith yang dianggap sahih sahaja di dalam kitab mereka. Ini menyebabkan bercampurnya hadith-hadith yang dhaif dan tidak boleh dijadikan hujjah dengan hadith-hadith yang sahih.
Imam al-Tibrizi masih mengekalkan susunan bab seperti kitab asalnya tetapi hadis-hadisnya dibahagikan kepada tiga fasal pada setiap bab:
Fasal pertama: Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim atau salah seorang daripada mereka berdua.
Fasal kedua: Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh selain al-Bukhari dan Muslim.
Fasal ketiga: Hadis-hadis tambahan yang tidak disebutkan oleh al-Baghawi dalam kitabnya Masabih al-Sunnah.
Selain hadis-hadis Kutubus Sittah, beliau juga memasukkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik, Imam Ahmad, al-Darimi, al-Daraqutni, al-Baihaqi dan Razin. Hadis-hadisnya turut dinyatakan takhrijnya, selain disebutkan juga nama sahabat yang meriwayatkan hadis-hadis tersebut, kerana sebahagiannya tidak disebutkan oleh al-Baghawi. Beliau juga telah membetulkan kesilapan al-Baghawi yang meletakkan beberapa buah hadis di kategori al-Sihah sedangkan hadis tersebut tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari atau Muslim.
Kitab ini merupakan huraian kepada kitab Mashabih al-Sunnah yang disusun oleh Imam al-Baghawi. Ia merupakan kitab hadith yang memuatkan hadis-hadis berkaitan persoalan iman (Penyusunan bab di dalam kitab ini mirip kepada penyusunan Imam al-Bukhari di dalam sahihnya), ilmu dan seterusnya persoalan ibadat, muamalat, munakahat dan jinayat. Di dalam menyusun kitab ini, Imam al-Baghawi pada asalnya meletakkan hadis-hadis tanpa sanad dan tidak dijelaskan sumber ambilannya. Menyedari hakikat ini, Imam al-Tabrizi yang dilahirkan beberapa ratus tahun kemudian telah mengambil inisiatif untuk menyusun semula hadis-hadis ini, diletakkan sanad, dinyatakan sumber ambilannya dan diberikan sedikit komentar. Ini dinyatakan sendiri oleh Imam Tabrizi di dalam mukaddimahnya.
Mengenai penyusunan bab-bab di dalam kitab ini, Imam Tibrizi mengekalkan susunan yang dilakukan oleh Imam Baghawi. Ia dimulakan dengan kitab Iman diikuti dengan kitab ilmu, taharah, solat, janaiz, zakat, puasa, kelebihan al-Quran, doa, manasik, jual beli, faraid dan wasiat, nikah, ‘itq, sumpah dan nazar, qashash, hudud, imarah dan qadha’, jihad, buruan dan sembelihan, makanan, minuman, pakaian, perubatan, mimpi, adab, riqaq, fitan, hal ehwal kiamat, fadhilat dan akhir sekali manaqib.
Apa Makna Misykat dan Mashabih?
Misykat ialah ceruk (lubang di dinding rumah yang tidak tembus sampai ke sebelahnya) pada dinding bahagian dalam rumah. Ia adalah sesuatu yang mesti dalam seni bina abad-abad pertengahan. Di dalamnya diletakkan barang-barang kecil atau lampu. Tujuan lampu diletakkan di dalamnya ialah supaya cahayanya bertambah terang. Mashabih pula ialah kata jama bagi perkataan Mishbah, bererti lampu-lampu.
Maksud tersirat di sebalik penamaan kitab ini dengan Misykat al-Mashabih ialah:
(1) Kitab yang merupakan landasan asas bagi kitab Misykaat bernama Mashabih as-Sunnah (Lampu-Lampu as-Sunnah), karangan Imam Baghawi. Lampu-lampu as-Sunnah itu jika diletakkan di dalam ceruk dinding (Misykaat), diharap akan bertambahlah sinar cahayanya.
(2) Hadits-hadits Rasulullah s.a.w. itu bagaikan lampu-lampu yang menyuluhi manusia supaya mengikuti jalan yang benar. Kitab Misykaat ini pula bagaikan ceruk pada dinding di mana diletakkan lampu-lampu itu untuk menambah dan menyerlahkan lagi cahayanya.
(3) Mengambil sempena daripada firman Allah di dalam Surah an-Nuur (cahaya). Di dalamnya juga tersebut perkataan مِصْبَاحٌ , نُّورٌ dan مِشْكَاةٍ . Berikut ialah firman Allah itu:
اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ ۖ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Bermaksud: Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah misykaat (ceruk pada dinding) yang berisi sebuah lampu. Lampu itu dalam geluk kaca (qandil). Geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang. Lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfa’atnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya (kerana jernihnya), walaupun ia tidak disentuh api. Cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu, dan Allah mengemukakan berbagai-bagai perumpamaan untuk umat manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu. (An-Nuur:35).
Syah Abdul Aziz di dalam Bustan al-Muhadditsin menulis bahawa bilangan hadits di dalam kitab Mashabih as-Sunnah Imam Baghawi adalah 4484. Demikian juga tulis Ibnu al-Malik. Pengarang Misykaat menambahkan sejumlah 1511 hadits. Jadi semua hadits yang terkandung di dalam Misykaat berjumlah 5995.
Tetapi pengarang syarah Misykat yang bernama Mazaahiri Haq (dalam bahasa Urdu) dan pengarang at-Ta`liq as-Shabiih (dalam bahasa Arab) mengatakan hadits-hadits yang terkandung di dalam kitab Mashaabiih berjumlah 4434. Jadi berdasarkan keterangan mereka ini hadits-hadits yang terkandung di dalam Misykat hanya berjumlah 5945.
Di dalam kitab Tarikh al-Hadits tersebut bahawa kitab Misykat mengandungi 29 kitab, 327 bab dan 1038 fasal kesemuanya.
Kelebihan Kitab
Pembaca kitab ini akan dapat menghayati tuntutan hidup seorang muslim berdasarkan sunnah Rasulullah SAW. Selain dari itu, perbahasan dipecahkan kepada beberapa fasal mengikut orientasi isi kandungan hadith memudahkan pembaca membuat rujukan kepada mana-mana hadith yang dikehendaki.
Sesetengah ulama mengatakan kitab Hujatullah Balighah (Shah Waliyullah Dehlawi) adalah syarah kpd jauhar/inti hadis-hadis Mishykat.
Maulana Sayyid Ahmad Berelwi dan Shah Ismail Syahid yang merupakan ulama dan pejuang kemerdekaan India menjadikan kitab Mishykat sebagai kitab yang perlu dibaca kepada mujahidin mereka semasa peperangan menentang Ingeris di India.
Kitab Misykat juga mendapat paling banyak tempat untuk penulisan hawashi dan syarah di kalangan ulama selepas kitab Bukhari Muslim.