Ilmu Mantik

ilmu mantik

Ilmu mantik atau dikenali juga sebagai ilmu logik telah digunakan secara meluas sejak sekian lama. Dalam bahasa Inggeris, istilah logic diambil dari perkataan Greek, iaitu logos, antaranya membawa maksud sebab atau fikir (reason), asas rasional (rational ground), dasar (basic), pemikiran (thought) atau ucapan (speech). Menurut bahasa Arab pula, perkataan mantiq bererti pertuturan atau percakapan. Manakala ungkapan mantik dalam bahasa Melayu difahami sebagai ilmu yang membahaskan sesuatu menggunakan akal.

Menurut Istilah

Dari aspek terminologi pula, menurut Ibn Khaldun (m. 808H), mantik adalah berkaitan kaedah-kaedah yang boleh menjelaskan pengetahuan seseorang tentang pemikiran yang benar atau salah berdasarkan definisi dan hujah terhadap al-tasdiqat. Manakala al-Ghazali (m. 505H) menyatakan bahawa mantik bermaksud kaedah-kaedah yang boleh membezakan antara definisi dan al-qiyas yang benar daripada yang rosak. Sedangkan alJurjani (m. 816H) mendefinisikan mantik sebagai kaedah-kaedah dalam mengawal akal pemikiran manusia daripada melakukan kesilapan atau kesalahan ketika proses berfikir.

Semua pengertian mantik yang dikemukakan menunjukkan bahawa mantik secara umumnya bermaksud sebuah alat yang membahaskan kaedah-kaedah untuk berfikir secara tepat. Namun secara lebih tepat sebagai sebuah disiplin ilmu, mantik adalah merujuk kepada kaedah-kaedah yang terkandung dalam tiga bahagian ilmu iaitu al-tasawwurat, al-tasdiqat dan al-istidlalat.

Berdasarkan definisi ini juga, difahami bahawa dasar ilmu mantik adalah penggunaan logik akal, untuk berfikir secara tepat, terbina daripada kaedah-kaedah yang terdapat dalam ketiga-tiga bahagian ilmu mantik tersebut. Sehubungan itu, wacana ilmu mantik telah dimanfaatkan dalam pelbagai bidang ilmu pengajian Islam, terutamanya dalam metodologi pendalilan akidah melibatkan dalil ‘aqli. Ilmu mantik digunakan dalam mempertahankan akidah daripada serangan musuh-musuh Islam yang menggunakan hujah logik. Atas faktor ini, majoriti ulama Ahl al-Sunnah wa al Jama‘ah aliran Asha‘irah dan Maturidiyyah bersetuju menerima akal, berserta ilmu mantik, sebagai salah satu sumber hujah dalam akidah yang boleh mendatangkan keyakinan keimanan.

Pandangan Ulama

Dalam hal ini, kedudukan dalil ‘aqli dalam akidah adalah untuk mengukuhkan dalil naqli dan bukan bermaksud untuk mencipta suatu perkara baru (bidaah) yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis sebagaimana pegangan Mu‘tazilah. Walau bagaimanapun, pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah ini ditolak oleh golongan Mujassimah atau Mushabbihah dan Hashawiyyah (Ghulat al-Hanabilah) yang memandang akal tidak mempunyai sebarang kemampuan untuk menghasilkan keyakinan. Mereka juga berpandangan bahawa sumber pendalilan akidah hanya zahir dalil naqli daripada al-Quran dan hadis sahaja, tanpa memerlukan huraian atau campur tangan akal.

Manakala Mu‘tazilah pula menyatakan bahawa akal adalah sumber pendalilan utama dalam akidah sehingga
berlaku percanggahan dengan dalil naqli daripada alQuran dan hadis. Ini bermaksud, Mu‘tazilah terlalu melebihkan penerimaan akal, manakala Mujassimah atau Mushabbihah dan Hashawiyyah pula sebaliknya, iaitu terlalu menolak peranan akal.

Perselisihan tersebut mengundang keresahan dan pertikaian dalam kalangan umat Islam sehingga membawa kepada gejala sesat-menyesat serta kafir-mengkafir. Lebih membimbangkan, Ibn Taymiyyah (m. 728H) selaku tokoh utama rujukan aliran Salafiyyah Wahhabiyyah menyatakan bahawa Asha‘irah telah mengambil kaedah pendalilan ‘aqli mantik tersebut daripada metodologi sesat Mu‘tazilah dan juga Greek. Bertitik tolak daripada polemik ini, ilmu mantik yang dihubungkan dengan logik akal turut menerima nasib yang sama kesan dari kritikan tersebut.

Disebabkan itu, golongan yang menolak ilmu mantik menghukum haram dan sia-sia mempelajari ilmu mantik kerana beranggapan ia boleh membawa kesesatan sebagaimana fahaman Mu‘tazilah. Justeru, berdasarkan latar belakang permasalahan yang dipaparkan, makalah ini diketengahkan bagi menganalisis pendirian para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah terhadap kedudukan ilmu mantik dalam pemikiran Islam. Penjelasan mengenainya adalah penting kepada umat Islam, khususnya di Malaysia, bagi meluruskan salah faham dan seterusnya menolak persepsi yang tidak tepat berkaitan ilmu mantik. Sebagai permulaan, makalah ini terlebih dahulu akan menyoroti secara ringkas mengenai pengaruh ilmu mantik dalam pengajian Islam.

Bersambung…

Sumber
Muhammad Rashidi & Mohd Fauzi, “Kedudukan Ilmu Mantik dalam Pemikiran Islam,” Afkar Vol. 22 Issue 2 (2020): 1-42

4.6/5 - (5 votes)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *