Takwim Hijriah mula diperkenalkan pada tahun ke-17 selepas peristiwa Hijrah iaitu semasa pemerintahan Khalifah Islam kedua, Khalifah Umar Ibn al-Khattab dalam tahun 638 M.
Penyusunan semula takwim Hijriah ini berlaku apabila beliau menerima 3 pucuk surat yang telah mengelirukan iaitu:
1. Surat daripada Abu Musa al-Ashaari dengan tidak disebutkan tarikhnya;
2. Sepucuk surat daripada Gabenornya di Mesir yang mencatatkan ‘bulan Syaaban’ (syuhur sya’ban) dengan tidak pula menyebutkan bilangan tahun;
3. Beliau juga telah menerima sepucuk surat dari seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Ya’la ibni Umayyah dari Yaman yang mencatatkan tarikh, nama bulan serta tahun yang diasaskan dari tarikh Hijrah Nabi Muhammad SAW.
Khalifah Umar R.A. telah tertarik dengan susunan tarikh yang ditulis Ya’la ibni Umayyah. Beliau kemudian mengadakan mesyuarat dengan para sahabat pada hari Rabu, 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijriah dan memutuskan bahawa takwim Islam disusun semula bermula pada tarikh Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah.
Tarikh 01 Muharram tahun 01 Hijriah adalah bersamaan dengan hari Jumaat 16 Julai 622 M.